
MALAYSIA perlu memberi buluh yang sesuai sebagai makanan untuk Fengyi dan Fuwa.
WALAUPUN belum diketahui dengan pasti bilakah dua panda gergasi bernama Fengyi dan Fuwa akan tiba di Taman Wetland Putrajaya, namun demam panda atau ‘pandamania’ sudah mula dirasai di Malaysia. Fengyi dan Fuwa adalah antara lapan ekor panda yang mendapat perhatian ramai kerana turut menyerikan Sukan Olimpik Beijing 2008.
Dua haiwan unik itu akan dipinjamkan kepada Malaysia selama 10 tahun. Kerajaan China menawarkannya untuk memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik negara berkenaan dengan Malaysia pada 2014.
Fengyi dan Fuwa dilahirkan pada 23 Ogos 2006, di Pusat Pemuliharaan Panda Gergasi Wolong di wilayah Sichuan. Kini dua ekor panda itu tinggal di Ya’an Bifengxia Panda Base.
Fengyi, panda betina berusia enam tahun, sama saiznya dengan manusia dewasa, manakala Fuwa adalah panda jantan.
Fengyi dan Fuwa masing-masing mempunyai berat badan lebih 100 kilogram. Ditanya bagaimana hendak membezakan antara Fengyi dan Fuwa, penjaga dua panda itu Fuzhi, berkata, Fuwa mempunyai hidung yang lebih ketara, berdahi bulat dan kelihatan kuat.
“Fengyi pula bermuka bulat dan bermulut luas. Dia lebih mudah naik berang berbanding Fuwa,” ujar
Fuzhi mula bertugas di Ya’an Bifengxia Panda Base sejak 10 tahun lepas.
Habitat berbuluh
Ketika rakyat Malaysia tidak sabar menunggu ketibaan Fengyi dan Fuwa, ramai orang tertanya-tanya mampukah Malaysia menyediakan habitat dan makanan yang sesuai untuk haiwan itu.
Ini kerana, pertama, Malaysia tidak memiliki iklim dan pohon buluh yang sesuai untuk kedua-dua ekor Panda itu.
Bagaimanapun, seorang pegawai di Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Panda Gergasi, Tang Chunxiang, memberi jaminan bahawa terdapat cara untuk mengatasi masalah berkenaan.
Ahli veterinar kanan itu berkata, Malaysia perlu mencontohi cara Singapura menanam buluh yang mampu membolehkan panda tersebut menyesuaikan diri dengan cuaca tempatan.
Ditanya tempoh yang perlu diambil oleh panda untuk menyesuaikan diri dengan rumah baharunya, Tang berkata: “Selalunya, panda akan mengambil masa setengah tahun hingga satu tahun untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.”

PANDA yang akan dipinjamkan Kerajaan
China kepada Malaysia, Fengyi dan Fuwa sedang bermain di Pusat
Pemuliharaan Panda Gergasi Wolong di Wilayah Sichuan.
“Setiap hari, panda gergasi menghabiskan 70 peratus masanya untuk makan. Ini kerana ia memiliki sistem penghadaman yang sama dengan haiwan karnivor. Jadi, mereka boleh menghadamkan makanan dengan cepat dan ini menjadikan mereka cepat lapar,” katanya kepada petugas media yang melawat Ya’an Bifengxia Panda Base baru-baru ini.
Lagipun, kata beliau, jenis buluh yang menjadi makanan panda mempunyai khasiat makanan yang rendah. Oleh itu, panda perlu makan kira-kira 50 kilogram buluh sehari untuk memberinya cukup tenaga.
Beliau berkata, bagaimanapun panda makan hanya 10 peratus daripada 50 kilogram itu kerana ia hanya makan bahagian tertentu sahaja daripada tumbuhan itu iaitu daun, batang dan pucuk.
Di Ya’an Bifengxia Panda Base, penjaga itu juga memberi Fengyi epal dan kek panda yang diadun daripada nasi, telur, kacang soya, jagung, serbuk buluh dan air suling.
Tang bagaimanapun berkata, beliau tidak pasti sama ada lima jenis buluh yang dikenal pasti di Malaysia memenuhi keperluan Fengyi and Fuwa.
Membiak panda
Namun, dia yakin Taman Wetland Putrajaya adalah habitat sesuai bagi panda berkenaan. Oktober lepas, sekumpulan penyelidik dan delegasi daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia melawat Ya’an Bifengxia Panda Base untuk meninjau habitat panda.
“Kami memberi beberapa idea dan mengesyorkan pengubahsuaian yang perlu dibuat terhadap kandang panda di Taman Wetland. China menghantar panda ke banyak negara dan sehingga kini, belum ada laporan tentang kematian haiwan ini. Oleh itu, kami yakin akan sama juga halnya dengan Malaysia,” kata Tang sambil menyuarakan harapan agar seekor anak panda akan lahir di Malaysia.
Beliau berkata, Fengyi dan Fuwa sudah cukup dewasa untuk mempunyai anak. Mereka juga sihat dan subur untuk membiak.
Akuinya, Fengyi dan Fuwa bukan sahaja akan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China, tetapi juga mencetuskan kesedaran orang ramai tentang perilaku panda dan proses pemuliharaan haiwan itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: