Monday, December 10, 2012

Mahu Aaron, pilih Apek

SHARIFAH ZARINA menaruh harapan yang tinggi terhadap single terbaharunya, Memandang Awan.


LAMA tidak kelihatan kelibat penyanyi, Sharifah Zarina muncul menghiasi dada-dada akhbar mahupun di kaca televisyen.
Biarpun wajahnya jarang terpampang di media massa, namun, gemersik alunan suara lagunya masih tetap dimainkan di corong-corong radio. Ia jelas membuktikan penyanyi yang terkenal dengan lagu Langit Ketujuh ini masih lagi wujud dan kehadirannya dalam dunia muzik tanah air tetap disedari umum.
Terbaharu, ketika ditemui di Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini, bekas naib juara Bintang RTM 1999 itu memberitahu klip video single terbaharunya, Memandang Awan bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Lebih menarik, Zarina menggunakan khidmat penjaga gol bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mata sebagai bintang undangan klip video lagu tersebut.
Ketika ditanya kenapa dia memilih penjaga gol Malaysia yang lebih mesra disapa Apek itu, Zarina memberitahu: “Pada mulanya, saya mahu ambil Aaron Aziz. Bagaimanapun, kemudian saya membuat keputusan untuk pilih Apek berlakon dalam klip video single Memandang Awan ini sebab mahu cari kelainan. Lagipun nama dia sekarang tengah ‘meletup’.”
Menceritakan lebih lanjut mengenai Apek, Zarina mengakui dia terkejut dengan bakat yang ditonjolkan Apek sepanjang sesi penggambaran berlangsung.
“Saya tidak sangka yang dia sangat pandai berlakon. Saya sendiri sangat terkejut. Dia benar-benar menghayati wataknya di dalam klip video ini,” ujar Zarina yang memberitahu dirinya cukup berasa senang bekerjasama bersama pemain bola sepak itu.
Lirik bekas suami Aleya
Lebih menarik lagi, klip video single Memandang Awan turut menampilkan pelakon dan deejay Sharifah Aleya. Katanya, dia memilih Aleya untuk bergandingan dengan Apek kerana lagu itu sendiri lebih bersesuaian dengannya memandangkan lagu dicipta oleh bekas suami Aleya sendiri, Muhammad Ashraf Aasimudin.
“Kalau kita lihat pada lirik lagunya itu, mungkin Aleya boleh beri lebih penghayatan kepada lagu tersebut sebab penulis lirik lagu itu dahulu pun bekas suaminya,” ujar penyanyi kelahiran Sarawak itu.
Sementara itu, Zarina memberitahu, dia kini sedang berusaha mencari lagu baharu dan pernah menyuarakan hasratnya itu kepada beberapa kumpulan muzik tempatan.
“Sekarang ini saya memang sedang mencari lagu baharu. Kalau ada orang ingin beri lagu kepada saya, saya akan menghayatinya terlebih dulu. Setakat ini, saya sudah bertanya kepada Klangit, Hyper Act dan juga Tam Spider.
“Sebelum ini juga pernah minta pada Amir Jahari, tetapi dia sibuk, jadi tidak dapatlah kami berkolaborasi,” ujarnya yang mengakui teringin untuk masuk bertanding dalam Anugerah Juara Lagu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: