Firman Allah SWT: Sesungguhnya penduduk syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan. (Yasin: 55)
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang penghuni syurga, di mana pada Hari Kiamat, ketika bangkit daripada kematian, mereka turun dari taman-taman syurga dalam keadaan mereka sedang menikmati keindahan yang begitu indah sehingga tidak mempedulikan orang lain."
Al-Hasan al-Basri dan Ismail bin Abi Khalid berkata: "Mereka tidak merasai azab yang dialami oleh penghuni neraka."
Mujahid berkata: "Bersenang-senang dalam kenikmatan iaitu keindahan yang mempesonakan mereka."
Al-Maraghi berkata: "Para penghuni syurga akan menikmati kesenangan dan kelazatan sehinggakan mereka tidak memikirkan perkara lain. Di sana mereka menikmati kenikmatan dan kelazatan yang sebelum ini tidak pernah dilihat oleh mata mereka, apatah lagi mendengar, bahkan tidak pernah terdetik dalam hati mereka."
Mereka sedikit pun tidak berasa sedih kerana kehidupan mereka tenteram, bersuka ria dan ketawa menghiasi kehidupan mereka di syurga. Kemudian Allah SWT menyebut perkara lain yang menambah kegembiraan dan kesenangan mereka di syurga.
Firman Allah SWT: Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin. (Yasin: 56)
Mujahid berkata: "Maksud pasangan ialah bidadari yang diteduhi pohon-pohon yang menaungi mereka."
Al-Maraghi berkata: "Mereka bersama dengan pasangan masing-masing berada di tempat yang teduh dan rendang, tidak terkena sinaran matahari kerana memang tidak ada matahari di sana." Bagi orang Arab mereka berasa nyaman apabila melihat suatu tempat yang rendang, dan di sekelilingnya pula terdapat sungai-sungai dan pohon-pohon yang rimbun. Di sana mereka bersandar di bangku panjang yang penuh dengan perhiasan dan benarlah syurga itu merupakan puncak kenikmatan bagi seseorang."
Firman Allah SWT: Mereka beroleh dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki. syurga itu merupakan puncak kenikmatan bagi seseorang. syurga itu merupakan puncak kenikmatan bagi seseorang. (Yasin: 57)
Di dalam syurga mereka boleh meminta apa sahaja buah-buahan yang akan diberi secara langsung. Mengikut riwayat yang disampaikan oleh Ibnu Abi Hatim daripada Sulaiman bin Musa, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Ketahuilah. Apakah ada orang yang bersegera menuju ke syurga. Sesungguhnya syurga itu tidak pernah terlintas keindahan syurga di hati kami. Demi Tuhan penguasa ke atas Kaabah, dia semuanya cahaya yang bersinar, baunya harum semerbak, istana yang megah, sungai yang mengalir, buah-buahan yang ranum, pasangan yang baik serta cantik, para bidadari yang ramai, tempat yang kekal di rumah yang selamat, buah-buahan yang menghijau, enak dan nikmat serta tempat-tempat yang tinggi dan menyenangkan."
Maka mereka menjawab: "Ya Rasulullah SAW, kami adalah orang-orang yang bersegera. Maka Rasulullah SAW bersabda: "Insya-Allah." Lalu mereka semua mengucapkan: "Insya-Allah."
Al-Maraghi berkata: "Di syurga mereka menikmati pelbagai buah-buahan yang segar dan makanan yang lazat seperti di dunia dahulu yang dinikmati oleh orang yang hidup mewah. Di samping itu, mereka juga akan mendapat apa sahaja yang mereka ingini dan idam-idamkan."
Menurut pendapat Abu Ubaidah, orang Arab sering berkata, apa yang diangan-angankan akan tercapai seperti apa yang mereka ucapkan oleh setiap individu untuk memperoleh sesuatu kebaikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: