Sunday, December 16, 2012

Fareeda bantu kumpul dana

Para model Pencarian Model Fareeda beramah mesra dengan penghuni rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak Wahidayah dalam program Pautan Kasih Fareeda di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.
SEJAUH mana tahap keprihatinan anda terhadap golongan HIV/AIDS? Adakah persepsi negatif yang membuatkan anda terus prejudis terhadap golongan itu?
Hentikan stigma anda dengan memberi sokongan dan bantuan dalam bentuk kewangan mahupun sokongan padu buat mereka mendapatkan kehidupan yang sempurna seperti orang lain.
Laporan terbaharu daripada Kementerian Kesihatan mendapati sebanyak 3,479 orang telah disahkan menghidap HIV pada 2011 dan dianggarkan sembilan kes baru direkodkan setiap hari.
"Terdapat 17 pusat pelindungan wanita, kanak-kanak dan mereka yang dijangkiti virus ini mendapatkan rawatan dan pemulihan.
"Kami memerlukan lebih ramai sukarelawan terutama syarikat-syarikat dan usahawan Muslim tempatan bagi membantu dalam tanggungjawab sosial seperti mana yang telah dilakukan oleh kebanyakan syarikat dari luar yang lain.
"Walau apa jua bantuan dan sumbangan yang diberikan, ia adalah untuk kebaikan bersama bagi membantu mereka yang memerlukan," kata Pengarah Eksekutif Majlis AIDS Malaysia, Roswati Ghani ketika program Pautan Kasih Fareeda sempena Hari AIDS Sedunia 2012 di Rumah Perlindungan Wahidayah di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.
Bersempena sambutan Hari AIDS Sedunia 2012, Roswati berbesar hati atas usaha syarikat pengeluar tudung Muslimah, Fareeda dalam membantu mengumpul dana di samping menjalankan beberapa program lain bagi memberi kesedaran terhadap HIV/AIDS.
Pautan Kasih Fareeda merupakan salah satu program tanggungjawab sosial yang berlangsung di Rumah Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak Wahidayah, merupakan program lawatan amal bagi mengubah stigma masyarakat terhadap realiti sebenar HIV/AIDS.
Fareeda turut membawa model-model program Pencarian Model Fareeda dalam mengeratkan hubungan dengan penghuni rumah melalui aktiviti seperti membuat kek cawan, memakai inai dan sebagainya.
"Komitmen Fareeda ini sememangnya wajar diteladani dan diangkat sebagai contoh oleh warga-warga korporat di negara ini yang belum meletakkan tanggungjawab sosial sebagai keutamaan mereka," katanya.
Program itu juga telah diserikan dengan kehadiran artis jemputan Fahrin Ahmad dan Bob Yusof sebagai Selebriti Sokongan Reben Merah Majlis AIDS Malaysia.
Dalam pada itu, jurucakap Fareeda, Suhaili Mohamad, berkata, program tersebut merupakan permulaan kerjasama jangka panjang antara Fareeda dan Yayasan AIDS Malaysia (YAM).
"Selain program ini, kami bakal mengadakan satu majlis makan malam bagi mengumpul dana untuk menyokong operasi rumah perlindungan Wahidayah dan sebuah lagi rumah perlindungan yang bakal dibina untuk Orang yang Hidup Dengan HIV di Kota Bahru, Kelantan," ujarnya.
Majlis makan malam yang dijangka berlangsung pada Januari 2013 ini bakal menjemput Datuk Siti Nurhaliza sebagai tetamu istimewa yang akan bersama-sama dalam menyokong dan membantu golongan HIV/AIDS.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: