Monday, December 10, 2012

Eksperimentasi resipi Chef Adu

CHEF Adu menunjukkan buku resipi olahan ideanya bersama magnet hiasan peti sejuk yang dijual secara dalam talian.


PERNAH mengendalikan sebuah restoran di London iaitu Champor-Champor, Chef Adu Amran Hassan ternyata tidak pernah melupakan di mana asal-usulnya dalam bidang masakan. Masakan Melayu menjadi salah satu signatur yang sentiasa dibawa olehnya untuk diperkenalkan kepada umum terutamanya ketika dia giat menjalankan perniagaan restoran di luar negara.
Dia semakin dikenali setelah pulang ke tanah air apabila menjadi salah seorang juri tetap dalam program realiti masakan di saluran Astro iaitu, MasterChef Malaysia siri kedua dan MasterChef Selebriti.
Kini, Chef Adu Amran atau lebih dikenali sebagai Chef Adu mengorak langkah baharu dalam kerjayanya apabila berkongsi resipi ciptaannya kepada umum menerusi sebuah buku resipi yang bertajuk Nasi dan Seni: Chef Adu Amran Luahan Kreativiti, Resipi dan Tip Masakan.
“Buku ini menggunakan nasi sebagai elemen utama kerana ia merupakan makanan ruji bagi penduduk yang tinggal di rantau Asia. Menerusi buku ini juga, saya gambarkan bahawa elemen seni juga boleh diterapkan dalam penyediaan nasi,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya baru-baru ini.
Resipi tanpa bahan kimia
Buku ini menyediakan lima jenis resipi nasi iaitu nasi hitam/ungu, nasi kerabu, nasi hijau daun selasih, nasi kunyit dan nasi teh Cina bunga melur.
Setiap resipi yang disediakan merupakan resipi hasil ciptaan Chef Adu yang mempunyai bahan serta kaedah terperinci dalam penyediaannya.
Selain itu, gambar hiasan lima resipi itu juga memberi idea mengenai cara penyediaan serta panduan mengenai bagaimana warna nasi itu apabila ia siap dimasak.
Menurut Chef Adu, dia alah dengan penggunaan ramuan yang berunsurkan bahan kimia dalam masakannya terutamanya bahan pewarna.
“Kelima-lima penyediaan resipi nasi ini mempunyai warna yang berbeza. Namun, ia bebas daripada bahan kimia kerana ia menggunakan bahan-bahan semula jadi yang biasa digunakan dalam masakan harian masyarakat Melayu.
“Cara memasak nasi adalah sama dengan cara memasak nasi biasa. Apa yang menariknya ialah warna yang nasi tersebut serta rasa yang berbeza. Ia memberikan satu eksperimentasi baharu dalam masakan,” ujarnya yang menganggap makanan merupakan salah satu cabang seni spiritual dalam setiap masakan.
Sehingga kini, buku yang hanya dicetak sebanyak 2,000 naskhah itu hanya dijual di laman Facebook Chef Adu dan telah mendapat tempahan daripada peminatnya di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Resipi yang menjadi tumpuan dalam buku itu ialah nasi kunyit kerana ia dicipta menerusi hasil campuran nasi dan juga masakan yang terkenal di Negeri Sembilan iaitu masak lemak cili padi.
“Resipi ini memberi idea bahawa sekiranya lauk ataupun kuah yang tidak habis, ia boleh digunakan dalam masakan tanpa perlu membazirkan lebihan kuah itu. Ia tidak terhad kepada lauk masak lemak cili padi sahaja, untuk lauk masak merah dan sambal,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: