Sunday, December 16, 2012

Dari komputer riba ke tablet

Hanya dengan petikan pada satu butang, komputer riba ini mampu ditukar kepada mod tablet bagi memudahkan pengguna mengendalikan sebarang aktiviti
JIKA impian anda untuk memiliki sebuah komputer riba yang boleh ditukar kepada peranti yang ringan, mudah dikendali serta lebih konvensional, Ultrabook XPS Dell 12 mungkin menepati ciri-ciri tersebut.
Dikuasakan oleh sistem operasi Windows 8 yang menjadi pilihan masyarakat masa kini, reka bentuknya juga turut menepati ciri-ciri tablet bagi memudahkan pengguna membawa ke mana sahaja tanpa perlu bimbang akan ruang yang diperlukan untuk tujuan penyimpanan.
Reka bentuk fizikal yang berukuran 12.5 inci menjadikan model baharu ini merupakan antara ultrabook yang ternipis pernah dicipta sekali gus menepati ciri-ciri kesempurnaan sesebuah tablet.
Hanya dengan petikan pada satu butang, komputer riba ini mampu ditukar kepada mod tablet bagi memudahkan pengguna mengendalikan sebarang aktiviti sama ada melayari internet, atau menjawab emel dalam suasana yang lebih santai dan mudah.
XPS 12 dibina dari bahan tahan lasak seperti cermin Corning Gorilla serta alat gentian karbon bagi melindunginya dari sebarang kesan calar mahupun hentakan kuat.
Dengan luas permukaan skrin 12.5 inci serta sudut pemerhatian sehingga 170 darjah, resolusi definisi tinggi penuh (full HD) dengan 1080p serta kecerahan mencecah 400 nit menjadikan paparannya kelihatan jelas dan tajam.
Dikuasakan oleh pemproses Intel Core Generasi ke-3, XPS Dell 12 mampu menyimpan memori sehingga empat giga bait (GB) serta 128 GB pada Solid State Drive (SSD).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: