Jika semua suami tahu tanggungjawab mereka dalam hal nafkah, maka tiadalah kes nafkah naik turun mahkamah.
Jika semua suami yang diperintahkan membayar nafkah itu membuat bayaran secara potong gaji atau secara tetap ke dalam akaun bank isteri, maka tiadalah isteri yang terpaksa meminta-minta dari Baitulmal atau zakat untuk membiayai diri dan anaknya.
Jika semua suami tahu bahawa perkara pertama yang akan Allah tanya kepadanya semasa hari pengiraan nanti ialah tentang tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anaknya, saya pasti semua suami akan bertanggungjawab dan membayar nafkah tanpa perlu ke mahkamah dan diperintahkan oleh mahkamah.
Jika semua suami faham hukum Allah dan taat serta mentakuti Allah, saya pasti tidak perlu menulis mengenai nafkah dalam ruangan ini.
Realitinya, isu nafkah sangat penting dibincangkan dan difahami. Isu ini banyak menjadi punca kepincangan rumah tangga dan penderitaan yang tiada berkesudahan kepada isteri dan anak-anak. Hendak berkahwin mesti mampu daripada segala segi material dan fizikal. Bermakna, mampu menanggung isteri dan anak-anak.
Daripada penulisan yang lau, saya mendapat banyak e-mel mengenai nafkah. Saya bahagikan isu yang dibangkitkan kepada tuntutan nafkah idah, suami yang tidak bekerja, isteri yang berpendapatan lebih tinggi daripada suami dan pasangan yang hidup berjauhan kerana bertugas/kerja - siapa tanggung apa?
Tuntutan nafkah idah - Hari ini, oleh kerana isteri bekerja dan mampu menanggung dirinya, dalam kebanyakan masa semasa bercerai, isteri tidak memohon nafkah idah. Antara sebab yang diberikan tidak mahu melengahkan perceraian. takut suami enggan lafaz talak dan menyebabkan kes perceraian berpanjangan atau lewat diputuskan.
Bagi bukan Islam, permohonan cerai dibuat bersekali dengan peruntukan nafkah dan Mahkamah Tinggi tidak akan memberikan perintah cerai kecuali isu nafkah isteri dan anak diselesaikan.
Berbeza di Mahkamah Syariah, biasanya isteri yang memohon untuk diceraikan akan mengisi borang permohonan cerai dahulu.
Selepas kesnya selesai, iaitu apabila suami melafaz talak, barulah memohon nafkah idah dan harta perkahwinan serta hadanah. Jika tidak dipohon, hakim tidak memerintahkan.
Dalam banyak kes, bukan sahaja isteri takut memohon nafkah kerana takut tidak dapat cerai, tetapi takut suami pula akan memohon hadanah.
Semua kekeliruan ini menyebabkan nafkah idah tidak dipohon. Ada satu dua kes yang setelah mendapat perintah nafkah idah, suami buat tidak tahu kepada perintah tersebut dan tidak membayarnya.
Jadi isteri hanya dapat sekeping kertas perintah nafkah yang tidak memberinya apa-apa kecuali kekecewaan dan kesedihan.
Isteri perlu ke mahkamah semula untuk mendapat perintah pelaksanaan atau penghinaan mahkamah. Semua urusan ini memerlukan perbelanjaan besar. Hutang lama belum habis, isteri terpaksa membuat hutang baru. Akhirnya, dia mungkin tak dapat apa-apa kerana suami tetap enggan membayar.
Malah setelah dikeluarkan perintah tangkap, ia tidak dilaksanakan tanpa bantuan pihak berkuasa.
Diperlekeh
Ini bukan cerita dongeng atau ciptaan. Tetapi realiti yang dihadapi beribu-ribu isteri orang Islam di Malaysia. Kebelakangan ini, ramai isteri tidak mahu memohon nafkah idah kerana sudah menduga tidak akan sampai ke mana dan tiada kesannya. Yang malu siapa? Mahkamah Syariah dan semua institusi Islam yang lain.
Allah SWT menjadikan Islam agama yang syumul atau lengkap dan penuh dengan hikmah dan nikmat. Isteri mempunyai hak yang jelas terhadap nafkah dan suami mempunyai tanggungjawab yang jelas menunaikan nafkah tersebut.
Namun, perintah mahkamah syariah diperlekeh dan tidak dihormati oleh orang Islam sendiri. Pelbagai penambahbaikan telah diwujudkan untuk memastikan isu nafkah isteri dan anak dapat diselesaikan secara terbaik tetapi masih banyak kes tidak dapat diselesaikan kerana, sama ada orang yang diperintahkan itu jahil atau sengaja enggan membayar kerana sombong dan ingkar perintah Allah.
Isteri juga perlu tahu haknua kepada nafkah idah kecuali dia nusyuz. Ada beberapa kes isteri itu nusyuz, misalnya secara jelas menduakan suami atau ingkar perintah suami tanpa sebab. Kes seperti ini tidak banyak, tetapi telah mula berlaku di Malaysia. Akhirnya, kerana ingin bercerai segera setelah ada yang baru, isteri memohon ditalak dan berjanji tidak memohon apa-apa daripada suami.
Selain daripada kategori tersebut, isteri berhak memohon nafkah idah. Suami tidak boleh sewenang-wenang menuduh isterinya nusyuz tanpa memikirkan implikasinya. Suami sebenarnya jika dapat membuktikan isterinya nusyuz perlu menceraikannya kerana isteri tersebut hidup dalam dosa. Perpisahan dibenarkan dalam Islam demi menjaga maruah dan nasab.
Suami perlu ingat, menuduh isterinya nusyuz seperti menepuk air didulang, terpercik kena muka sendiri. Mahu tidak mahu suami perlu akur bahawa isteri yang nusyuz itu adalah kegagalannya sebagai suami membentuk isterinya.
Tidak kurang juga suami yang nusyuz kerana menyiksa isteri dengan memukul dan menyeksa, menuduh isteri curang, memanggil isteri bodoh, gila dan menderanya secara emosi. Semua ini menyebabkan isteri lari dari rumah dan dilihat seperti nusyuz.
Bagaimana pula dengan isteri yang menyembunyikan hubungan / kenalan dari pengetahuan suami,sedangkan suami tersebut tidak pernah memukul,mendera,bahkan isteri tersebut ditatang sepertimenatang minyak yang penuh,si suami sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga si isteri dan akhirnya pengorbanan dan kasih sayang si suami dibalas dengan pengkhianatan si isteri..adakah ini tidak curang atau sekadar mainan kawan-kawan.Apakah hukum sekiranya si isteri menceritakan aib rumahtangga kepada saudara mara kawan-kawan sepejabat?Adakah mulia perlakuannya?Si isteri pula sanggup menceritakan kepada suami bahawa si isteri mempunyai "Peminat@secret lover"dipejabat.
ReplyDeleteJika si suami di duga oleh allah swt dengan punca rezeki di tarik secara tiba-tiba,adakah wajar si suami ditinggalkan atau diberi semangat"susah sama susah senang sama senang"atau "senang sama senang.susah sorang-sorang".Sama-sama fikirkan