Saturday, December 1, 2012

Berlumba untuk gaya hidup sihat

Rakyat Malaysia berusia 18 hingga 65 tahun mempraktikkan gaya hidup sihat melalui pertandingan AXA AFFIN Health for Life AXN Big Challenge.
Salah seorang peserta final wanita tidak berputus asa menempuh salah satu cabaran yang sukar.


BERPEGANG kepada misi untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai kepentingan hidup sihat, AXA AFFIN Health for Life AXN Big Challenge yang diadakan baru-baru ini berjaya menarik minat seramai 1,438 peserta.
Kelompok individu pelbagai lapisan masyarakat berusia 18 hingga 65 tahun itu tampil untuk menguji tahap fizikal dan mental mereka di samping memantapkan pengetahuan mengenai pemakanan berkhasiat bagi mengekalkan gaya hidup yang sihat.
Acara tersebut diadakan di tiga buah lokasi baru-baru ini iaitu Paradigm Mall, Kelana Jaya (Zon Tengah), KSL City Mall, Johor Bahru (Zon Selatan) dan Straits Quay Mall, Pulau Pinang (Zon Utara).
Para peserta di setiap lokasi kelihatan bersemangat untuk mengetahui apakah halangan yang perlu diatasi mereka dalam pertandingan itu.
Antara cabaran yang perlu ditempuhi mereka termasuklah halangan bertayar, memanjat dinding, bergayut pada monkey bar dan memanjat menggunakan tali.
Bagi kategori lelaki pemenang pertama di ketiga-tiga lokasi ialah Khairul Hafiz Abu Hassan (Zon Tengah), Abdul Qayum Abdul Jalani (Zon Selatan) dan Muhammad Irwan Yusuf Abdullah (Zon Utara).

ENG HOE merupakan peserta paling senior yang menyahut cabaran AXA AFFIN Health for Life AXN Big Challenge di Pulau Pinang.


Bagi kategori wanita pula pemenang tempat pertama pula disandang Sarah Gayle Lee (Zon Tengah), Lim Pei Shan (Zon Selatan) dan Wann Iryani Arifin (Zon Utara).
Menurut Sarah Gayle, baginya erti sebenar menikmati hidup ialah sihat dan gembira.
"Amalkan kehidupan yang sihat dan sentiasa ceria, itulah cara saya melihat Health for Life," ujar wanita ceria yang berusia 25 tahun itu.
Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga kategori lelaki di Kuala Lumpur, Idzafar Omar, 35 menyifatkan Health for Life yang menjadi slogan pertandingan memberi makna hidup bebas daripada penyakit.
"Jaga diri dengan mengamalkan diet atau pemakanan seimbang dan sentiasa bersenam," katanya.
Sejumlah wang tunai bernilai RM84,000 telah ditawarkan sebagai hadiah bagi pemenang-pemenang di tiga buah negeri. Pemenang tempat pertama menerima RM8,000, tempat kedua, RM4,000 dan tempat ketiga sebanyak RM2,000.
Paling mencabar
Pemenang pertama kategori wanita dari Johor Bahru, Pei Shan memberitahu, cabaran akhir paling sukar untuknya.
"Cabaran-cabaran lain boleh diatasi dengan keseimbangan, koordinasi dan stamina yang tinggi.
"Bahagian mendaki di cabaran akhir memerlukan saya menggunakan sepenuhnya kekuatan dan tenaga. Hanya keazaman dan kekuatan semangat berjaya mencetus kemenangan saya," ujarnya.
Wanita berusia 21 tahun yang gemarkan aktiviti mendaki itu menggalakkan golongan muda untuk menyertai aktiviti fizikal seperti AXA AFFIN AXN Big Challenge yang membantu memberikan keyakinan dan menjaga kesihatan fizikal.

KETUA Pegawai Eksekutif, AXA Affin Life Insurance Berhad, Loke Kah Meng (kiri) dan Pengarah Jualan Iklan Saluran SPE Network Asia, Lawrence Ng (kanan) menyampaikan hadiah replika RM8,000 kepada pemenang tempat pertama kategori wanita di Kuala Lumpur, Sarah Gayle.


"Apabila melihat kepada cabaran-cabaran perlu dilalui, anda pasti berasa ia sesuatu yang mustahil dan sukar untuk dilaksanakan.
"Sebaik sahaja anda berjaya melepasinya, anda akan bangga dengan diri sendiri," jelasnya.
Peserta emas
Sementara itu, ternyata faktor usia bukan penghalang bagi peserta paling senior, Lim Eng Hoe, 65, yang menyertai AXA AFFIN AXN Big Challenge di Pulau Pinang.
Walaupun Eng Hoe tidak dapat memasuki Cabaran Akhir, dia masih berpuas hati dengan prestasi keseluruhannya.
"Senaman merupakan salah satu rejim kesihatan saya selain mengekalkan diet terkawal dan sihat. Jenis senaman yang kerap saya lakukan ialah berlari di treadmill, angkat berat dan berbasikal. Ia merupakan rutin senaman harian sebagai persediaan memasuki pertandingan ini," ujarnya.
Selain cabaran-cabaran yang perlu ditempuhi, pemeriksaan kesihatan percuma juga disediakan sepanjang acara berlangsung bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan pengunjung.
Pengunjung juga dapat mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan di gerai yang disediakan AXN.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: