Monday, December 3, 2012

Asmidar tak guna botox






JUARA program realiti nyanyian Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama, Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad semakin mendapat perhatian ramai sejak kebelakangan ini.
Bukan saja kualiti vokalnya yang dilihat bercambah cemerlang bahkan juga, personaliti dan fizikalnya yang berbeza berbanding mula-mula melangkah ke alam hiburan.
Bertemu dengannya baru-baru ini, Asmidar mengakui perubahan dirinya dari segi fizikal adalah perlu demi tuntutan kerja.
Dalam pada itu, dia turut menafikan membuat sebarang suntikan suplemen tambahan, antaranya botox atau kolagen pada wajahnya memandangkan timbul dakwaan bahawa pelantun lagu Biar Sampai Ke Bintang itu mendapatkan rawatan alternatif tersebut.
“Mana ada saya ambil suntikan kecantikan seperti botox. Pada saya, biarlah wajah berubah secara semula jadi. Bagaimanapun, saya mengaku ada menggunakan sebuah produk kecantikan sebulan lepas yang saya rasa sesuai dengan saya dan efektif.
“Selain itu biasanya saya berjoging dan bersenam beberapa kali seminggu untuk mengekalkan stamina dan menurunkan berat badan.
“Saya juga tidak pernah mengamalkan diet yang ekstrem sampai tak makan sebab saya menghidap penyakit gastrik. Saya akan makan, cuma ia diambil dalam kuantiti berpatutan,” ujarnya yang kini telah susut berat badan daripada 63 kilogram kepada 58 kilogram.
Album
Menegaskan dia perlu berusaha untuk menampakkan personaliti dirinya sebagai seorang selebriti, Asmidar juga berdepan tekanan dari segi penampilan.
“Saya ingin kelihatan elok pada mata orang ramai, terutama peminat yang selama ini sentiasa menyokong karier saya. Kadang-kadang terfikir sampai bila saya nak kekal macam dahulu?
“Maka, disebabkan itu saya mengambil inisiatif untuk mencari kesempurnaan diri. Tekanan memang ada sebab orang akan melihat saya, langkah terbaik adalah memperbaiki diri saya dan berusaha untuk kekal sihat,” katanya yang turut mendapat tunjuk ajar daripada segi berpakaian daripada bapa saudaranya yang juga seorang jurusolek selebriti, Tiar Zainal.
Dalam perkembangan lain, gadis kelahiran Kuala Lumpur itu sedang bertungkus-lumus menyiapkan album pertamanya.
Kata Asmidar, dia baru selesai merakamkan tiga buah lagu untuk album pertamanya yang dijangka keluar sekitar bulan ini.
“Kini saya dalam proses keluar masuk studio untuk menyiapkan rakaman lagu album pertama saya yang tidak lama lagi akan dilancarkan. Album itu akan mengandungi tujuh buah lagu termasuk lagu hit Biar Sampai Ke Bintang dan konsep album itu adalah pop dengan sedikit elemen rock,” jelasnya.
Irama Malaysia
Antara komposer yang terlibat untuk penghasilan album tersebut ialah Audi Mok, Taja, Acap, Awi Rafael dan Ana Raffali.
Ditanya mengenai minatnya dalam lagu bergenre irama Malaysia, Asmidar menegaskan dia belum berhajat untuk menyelitkan lagu-lagu daripada genre itu dalam album pertamanya.
“Lagu irama Malaysia adalah akar saya dan dari situ, saya bermula sebagai seorang penyanyi, cuma buat masa sekarang saya akan memfokuskan lagu balada terlebih dulu. Apabila sudah betul-betul terkenal, Insya-Allah saya akan mengetengahkan lagu-lagu sedemikian terutama lagu-lagu asli,” katanya yang mempunyai dua buah band sendiri yang diberi nama Suhu dan Moustache.
Sementara itu, Asmidar juga menyuarakan hasratnya untuk berlakon. Ujarnya, dia ingin mencabar keupayaan dirinya selain menyanyi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: