Sunday, October 7, 2012

Yatt ingin wakili negara

TERBANG...Yatt terapung di udara.
TERBANG...Yatt terapung di udara.
BERANI...Yatt penunggang tunggal wanita.
BERANI...Yatt penunggang tunggal wanita.
BERMULA dengan hanya membaca majalah lasak edisi luar negara mengenai sukan BMX, kemudian menonton aksi di ‘YouTube’, keinginannya untuk menyertai arena ekstrem itu kian memuncak.
Azamnya makin utuh tatkala menemui rakan yang turut mempunyai minat sama dalam kem kecemerlangan disertainya awal tahun lalu, meskipun pada awal pembabitan dia menerima tentangan keluarga.
Nur Hidayati Mohd Noor, 17, berkata, keluarganya keberatan memberi kebenaran disebabkan peribadinya yang lembut berbanding adik-beradik lain.

“Keluarga tidak menyokong atas faktor sukan ini berisiko, tambah pula karakter saya yang lembut membuatkan mereka meragui kemampuan saya.

“Namun saya keraskan hati dengan mengikuti rakan yang terlebih dulu terbabit dalam sukan itu lalu meminjam basikalnya.

“Minat saya akhirnya mendapat sokongan abang sulung, Mohd Khairul Anuar, 29, yang turut memujuk bapa supaya merestui pembabitan saya.

“Alhamdulillah, saya menerima BMX sempena hari lahir baru-baru ini, sekali gus menunjukkan mereka akur dan menyokong minat saya,” katanya.

Melihat kehadirannya sebagai wanita tunggal dalam sukan lasak terbabit, gadis ini yang mesra dengan panggilan Yatt berkata, sebelum ini dua kenalan perempuan sering mengikuti latihan.

Namun, katanya, mereka tidak bercita-cita tinggi sebagaimana dirinya yang serius ingin mencipta nama selaku wanita tunggal dalam disiplin lasak itu.

“Saya akui kekok, namun perasaan teruja mengatasi segala-galanya apabila nama besar sukan ini seperti Sunny (Shahrul Nizam) dan Botaxxx (Zafrin Shah) melayan saya sebagaimana ahli BMX lain.

“Mereka turut berkongsi teknik asas seperti ‘bunny hop’ serta ‘trick’ lebih ‘advance’, membuatkan saya selesa walaupun saya ahli perempuan tunggal,” katanya.

Mengagumi atlet wanita BMX dari Chile, Carmilia Harambour, pemenang Kejohanan BMX Simple Session 2012 ini menyimpan hasrat mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa yang sama.

“Saya memang serius untuk pergi jauh dalam sukan BMX, namun keutamaan saya ketika ini masih pada pelajaran iaitu Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal saya duduki bulan depan.

“Mungkin dengan kecemerlangan dalam pelajaran, saya dapat membuktikan sesuatu iaitu sukan lasak bukan penghalang tetapi pemangkin kejayaan saya dalam akademik,” katanya yang ingin menguasai teknik ‘Tuck No Handle’ serta 360 darjah.



PROFIL:

NAMA: Nur Hidayati Mohd Noor
UMUR: 17 tahun
KERJAYA: Pelajar Beaconhouse Sri Lethia, Klang
PEMBABITAN: Pernah menyertai Kejohanan Ekstrem sempena Hari Wilayah 2012
SKIL: Bunny Hog dan ‘Back Flip’ atau ‘Somersault’

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: