Sunday, October 7, 2012

Harga berbaloi dengan khidmat

pix_middle
TIADA manusia ingin dilahirkan cacat, jauh sekali untuk menghadapi kecacatan atas insiden tertentu selepas sekian lama menikmati kesempurnaan, baik daripada segi fizikal mahupun mental.
Malah, apabila menyentuh soal penglihatan, ia sering dianggap sebagai antara kurniaan paling berharga. Justeru, mana-mana individu yang dianugerahkan kesempurnaan bagi deria ini pasti mengharapkan ia kekal hingga ke akhir hayat.
Namun semuanya ditentukan Tuhan. Kadangkala ujian sebegini menjadikan golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan jauh lebih tabah dalam menjalani hidup berbanding insan yang cukup sifatnya.

Suka atau tidak, hidup perlu diteruskan dan perut mesti diisi. Walaupun perasaan simpati sering timbul tatkala melihat mereka, tidak dapat dinafikan OKU penglihatan turut tidak terkecuali menghadapi tohmahan masyarakat apabila segelintir daripadanya menjana pendapatan dengan cara mengemis di sana-sini.

Kegiatan terbabit mungkin dilakukan sebilangan kecil golongan ini, sedangkan majoritinya berusaha mencari sesuap nasi menggunakan saluran betul.

Antara kerjaya dipilih ialah tukang urut. Dengan kewujudan mereka dalam industri perubatan tradisional khususnya mengurut, unsur negatif yang sering dikaitkan dengan khidmat urutan seperti seks mungkin dapat dikurangkan.

Pada masa sama, keyakinan orang ramai untuk mendapatkan khidmat urutan badan semakin meningkat, apatah lagi di kalangan umat Islam yang perlu menjaga aurat serta adab ketika berurut.

Sejak khidmat urut oleh OKU penglihatan mulai meluas di Malaysia, semakin ramai orang awam mendapatkan khidmat urutan dengan golongan kelainan upaya ini.

Pusat urut OKU penglihatan pula terus tumbuh di serata negara. Itu tidak termasuk khidmat urutan yang ditawarkan di tempat terbuka seperti pasar malam dan bazar larut malam.

Bagi sesiapa yang pernah merasai pengalaman diurut OKU penglihatan, sikit atau banyak tentunya dapat merasakan perbezaan hasil urutan golongan ini berbanding tukang urut normal lain.

Mana tidaknya, kebanyakan kursus urutan yang mereka ikuti lebih banyak mengajar kaedah urutan yang merawat dan memulihkan kesihatan pelanggan dan bukan sekadar untuk keselesaan badan semata-mata.

Berikutan itu, hasil urutan diterima diakui memberi perubahan positif kepada masalah kesihatan oleh majoriti pelanggan. Jari yang tidak dapat digerakkan sejak bertahun lamanya akibat masalah saraf juga dikatakan kembali pulih selepas hanya beberapa sesi urutan.

Daripada segi keselesaan ketika mendapatkan khidmat terbabit pula, kebanyakan pelanggan memberi komen positif, terutama disebabkan tukang urut OKU penglihatan begitu terlatih dalam menjaga tatasusila sewaktu berkhidmat.

Tukang urut lelaki akan hanya mengurut pelanggan lelaki. Begitu juga tukang urut perempuan akan hanya mengurut pelanggan perempuan.

Itu caranya mereka bekerja namun mungkin ada situasi di mana ia berlaku sebaliknya, tetapi pasti ada pihak ketiga yang memantau.

Sementara lokasi lain seperti pasar malam pula, khidmat ditawarkan mereka lebih tertumpu kepada urutan refleksologi (kaki). Disebabkan tempat seperti ini lebih terbuka dan dikelilingi orang ramai, perkhidmatan urutan badan mungkin dianggap kurang sesuai.

Tidak kira di mana pun lokasi OKU penglihatan mengurut, yang nyata harga dikenakan berbaloi dengan khidmat mereka, malah lebih murah berbanding pusat urutan eksklusif di sekitar ibu kota.

Begitulah OKU penglihatan mencari rezeki melalui kerjaya sebagai tukang urut.
Keikhlasan mereka memberi perkhidmatan kepada manusia di bumi ini perlu dijadikan contoh oleh insan normal supaya lebih bersyukur dengan nikmat tuhan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: