Wednesday, October 3, 2012

Tarian dunia baru Nas

Nas bersama anak muridnya di D’apple Studio Dance & Slimming Center yang kini beroperasi di Jalan Samudra Utara 11, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor.
MENGGERAKKAN badan mengikut alunan irama lagu memang mengasyikkan. Sejurus muzik dimainkan, keseluruhan bahagian badan seperti dibuai keasyikan bergerak. Walaupun berpeluh, penari-penari ini seperti puas. Ia bukan sekadar gerak tari biasa tetapi juga berfungsi sebagai senaman untuk menjaga kesihatan tubuh dan menurunkan berat badan.
Bagi penyanyi dan pelakon, Nas Adila Mohd. Dan, 26, menari secara umumnya merupakan satu cara untuk membantu mengurangkan tekanan, memperbaiki kekuatan diri dan meningkatkan tenaga dan kekuatan otot-otot badan.
“Dari kecil lagi, saya dan adik-beradik yang lain sudah terbiasa bersenam atau beriadah jika tiada tugasan yang lebih memerlukan perhatian. Walaupun sibuk dengan jadual kegiatan seni, saya tetap akan pastikan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu diperuntukkan untuk aktiviti fizikal seperti senaman," katanya yang mesra disapa Nas.
Justeru, Nas kini mengorak langkah baru dengan membuka studio tarian miliknya sendiri, D’apple Studio Dance & Slimming Center yang beroperasi di Jalan Samudra Utara 11, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor.
“Saya memang suka menari dan ibu saya sendiri, Rashidah Hamid ialah bekas penari Yayasan Warisan Johor.
Pada tahun lalu, saya mengikuti kelas tarian di bawah bimbingan Linda Jasmine selama enam bulan dengan memberi fokus tarian rancak seperti pop.
“Dari situ, saya semakin jatuh hati pada tarian," katanya yang dilantik sebagai duta D’Apple Fiber iaitu produk di bawah rangkaian jenama Dya D’Masha.
Tambah Nas, studio itu menjadi tempat untuknya menghabiskan masa sekiranya tiada undangan menyanyi atau persembahan.
Bicaranya lagi, studio tarian ini akan menawarkan beberapa jenis kelas tarian termasuk tradisional, poco-poco, pop dan salsa yang dikendalikan olehnya sendiri dan penari profesional lain.
Menurut Nas, pendaftaran untuk dewasa cuma RM150 dan RM69 untuk kanak-kanak. Bayaran yuran setiap bulan cuma RM100 untuk dewasa dan RM40 (kanak-kanak) untuk lapan sesi.
Konsep studio
Ditanya tentang konsep hijau dan epal yang menjadi tema utama studio tarian ini, Nas menjelaskan, konsep ini terhasil daripada pengalamannya mengambil makanan tambahan dan suplemen D’Apple Fiber.
Warna hijau dan simbol epal yang digunakan sebagai latar dinding sangat harmoni dan memberi idea kepada Nas untuk melakukan tarian dan makan suplemen untuk sihat.
“Mula-mula terfikir juga konsep yang bagaimana saya nak buat untuk studio ini. Kemudian saya terfikir, untuk memiliki badan yang cantik dan sihat kita juga memerlukan senaman seperti menari. Jadi, D’Apple Fiber saya satukan dengan studio tarian menjadi D’Apple Studio.
“Saya juga menjual sendiri produk tersebut. Saya tidak sangka sambutan yang saya terima amat baik dan hasilnya termasuk pendapatan kerja seni, saya jadikan modal membuka studio ini," katanya yang melaburkan RM100,000 untuk membuat pengubahsuaian studio ini.
Ceritanya lanjut, ramai wanita kurang mengambil berat aspek pemakanan dan bersenam dalam hal menurunkan berat badan.
Dalam konteks ini, wanita perlu faham, untuk memperoleh berat badan ideal mereka harus melakukan senaman dan tidak berharap dengan produk atau suplemen.
“Jadi dengan adanya studio ini dapat mengajak pelanggan D’Apple Fiber dan orang ramai menjalani kehidupan sihat dengan cara yang santai iaitu menari. Selain itu, dengan pelbagai lagu, nyanyian dan tarian, kita dapat memupuk keyakinan diri, menghakis perasaan malu dan memberikan kebaikan pada otak," ujarnya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: