Monday, October 8, 2012

Remaja makin meminati pakaian tempatan

BERKUALITI ke baju tempatan?" “Berbaloi ke kalau nak beli baju tempatan ini?" “Jenama tempatan cukup setanding ke dengan jenama luar negara?"
Ini antara persoalan yang sering diajukan apabila ditanya mengenai pilihan baju berjenama luar atau dalam negara. Malah letak sahaja baju berjenama tempatan dan luar negara, pasti ramai yang akan menarik baju berjenama luar negara dahulu. Namun, itu tidak menjadi penghalang kepada anak muda untuk terus menaikkan martabat industri baju jenama tempatan. Usaha berterusan mereka semakin mendapat sambutan dan jenama tempatan mula diintai oleh golongan muda.
Tiada persaingan dalam industri ini antara setiap jenama, sebaliknya mereka bekerjasama dalam setiap perkara untuk terus memperkenalkan jenama tempatan.
Artis terkenal seperti Afdlin Shauki dan Altimet juga adalah antara penggemar dan pembeli setia baju berjenama tempatan. Tekad mereka hanya satu, untuk memperkenalkan jenama baju tempatan ke persada antarabangsa. Berikut, .com kongsikan pengalaman dan pendapat pemain industri mengenai jenama tempatan, adakah ia menuju kebangkitan atau akan berkubur.
The Super Sunday
Tiada istilah putus asa
KAMI mula membuka butik menjual pakaian jenama tempatan bermula sejak tahun 2007 yang lalu dan ketika itu, zaman ‘indie’ mendapat sambutan remaja. Tidak terhad kepada baju, kami turut menjual barangan penyanyi ‘indie’ ketika itu seperti Yuna, Hujan, Meet Uncle Hussein dan Malique.
Ketika itu, ada lebih kurang 50 label baju tempatan yang kami jual. Sekitar tahun 2009 hingga 2010, zaman ‘indie’ mula jatuh dan kami menerima kesan yang agak teruk sehingga ada sesetengah butik ditutup. Kami bertahan, malah sehingga kini, kami tidak pernah membuat pinjaman bank sebaliknya kami bertahan menggunakan wang sendiri.
Berada dalam industri ini, semangat mesti kuat untuk terus kekal dan berjuang. Ini bukan industri main-main yang boleh diceburi sesiapa sahaja. Akhirnya, sekitar 2011 hingga kini, jenama tempatan mendapat sambutan. Beza dengan dahulu, setiap jenama kini ada identiti dan konsep. Bukan main reka sahaja dan kualiti juga semakin dijaga untuk memastikan ia memenuhi kehendak pelanggan.
TENGKU AMINUDDIN TENGKU IBRAHIM
The Super Sunday
Tarik Jeans
Ubah persepsi terhadap kualiti
Industri ini sebenarnya kini semakin meningkat naik dan mula mendapat perhatian bukan sahaja daripada golongan anak muda tempatan. Malah, saya juga mempunyai pelanggan tetap dari Singapura yang sentiasa menantikan reka bentuk baju terbaru saya. Bukanlah saya mahu berlagak atau sebagainya, sebaliknya itu menunjukkan produk rekaan anak tempatan sudah boleh dipercayai.
Golongan muda sudah mempercayai kualiti produk yang kami hasilkan kerana ia setanding dengan kualiti produk dari luar negara. Bezanya cuma, mereka sudah mempunyai jenama produk yang stabil dan jenama kami pula baru dalam industri. Berada dan memperjuangkan industri ini memang mencabar kerana masyarakat gemar membezakan kualiti produk tempatan dengan luar. Pendapat saya mudah, jenama sesuatu produk itu bukanlah penentu barangan yang dihasilkan itu berkualiti atau tidak.

AFIQ ISKANDAR ZAINAL ARIFFIN
Tarik Jeans
Reign In Black
Perkenal identiti melalui rekaan baju
IDENTITI sesebuah rekaan baju itu sebenarnya terpulang kepada pereka kerana ia berbeza bagi setiap rekaan. Bagi kami, medium yang ada seperti baju digunakan bukan sahaja untuk mempamer rekaan, sebaliknya memperkenal identiti bangsa ke luar negara. Seperti kami, walaupun idea dan corak rekaan agak keras, tapi di sebaliknya terselit elemen nusantara dan Melayu yang kami terapkan.
Elemen ini bukanlah berdasarkan sejarah semata-mata, sebaliknya mitos yang berkaitan dengan nusantara juga mejadi pilihan kami. Malah, ada seseorang dari Amerika Syarikat pernah menyatakan minat untuk membeli jenama kami kerana tertarik dengan elemen rekaan kami. Industri baju semakin berkembang dan ia adalah sesuatu yang baik bukan sahaja kepada negara, sebaliknya juga anak muda yang menjadi pelopor industri ini.

ISRAQ REFFANDY ABD. MALIK
Reign In Black
Abstrax Jingga
Reka untuk orang ikut
PERANAN rekaan baju itu sebenarnya penting untuk menjadi trend atau untuk diminati oleh pelanggan. Ia bermaksud, pereka menentukan apa yang bakal menjadi trend kepada pelanggan kami. Oleh sebab itu, saya lebih gemar melakukan rekaan berdasarkan identiti saya dan bukan kehendak pelanggan.
Jika saya mengikut kehendak pelanggan, pasti identiti sesebuah pereka itu akan lari daripada identiti asal pereka. Kualiti baju tempatan kini sudah setanding dengan jenama luar baik dari segi bahan yang digunakan dan kualiti cetakan pada baju itu.

MOHD. FAHMI MOHAMMAD FABILAH
Abstrax Jingga
Sultan KL
Selit elemen tradisional
SUDAH sinonim jika sebut sahaja tentang rekaan, pasti pereka tahu membuat rekaan secara grafik atau secara ilustrasi.
Tetapi tidak pandai kedua-dua bidang itu bukan penghalang untuk menceburkan diri dalam industri baju tempatan ini.
Sebab itu kami perah idea bagaimana untuk membuat baju dan akhirnya terhasil baju T dengan poket batik yang melambangkan tradisi tempatan.
Apa yang penting sebenarnya ialah idea asas dan bagaimana kita kembangkan idea tersebut untuk diterima oleh umum.
Industri ini semakin berkembang, pelbagai lagi rekaan boleh menjadi eksperimen untuk terus menaikkan nama industri baju tempatan.

SYAHIZAN ZUWAIRI MURAD
Sultan KL

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: