Monday, October 8, 2012

Indahnya Gunung Merbabu

PARA pendaki Malaysia bergambar di puncak Gunung Merbabu dengan latar belakang Gunung Sindoro dan Gunung Sumbing di Jawa Tengah, Indonesia.
OW...cantiknya...," itu kata-kata spontan yang keluar dari mulut kami tatkala melihat panorama lereng Gunung Merbabu di Jawa Tengah, Indonesia yang diselimuti rumput.
Walaupun warna rumput tidak lagi hijau lantaran kering dimamah kemarau, namun keluasannya yang saujana mata memandang begitu memukau.
Keasyikan melihat padang rumput berwarna kuning susu itu membuatkan sekumpulan anak muda daripada Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) terkesima.
Seramai 13 pendaki dari kelab tersebut baru-baru ini berjaya menakluk puncaknya yang terletak di ketinggian 3,145 meter dari paras laut.
Menerusi ekspedisi yang dinamakan 2M 1L itu, kami menjejakkan kaki di puncak Merbabu pada awal pagi, 15 September lalu. Ekspedisi ini dinamakan sebegitu kerana pendakian kami melibatkan Gunung Merbabu dan Gunung Merapi (2M) dan Gunung Lawu (1L) pada 12 hingga 18 September lalu.
Bagi seorang pendaki, Muhammad Haziq Yahya, 23, pengalaman menempuh laluan berpasir, berdebu dan terjal sambil menggalas beg berat tidak akan dilupakannya.
"Asyik nak menggelongsor sahaja. Tapi apabila dapat lihat view yang cantik, hilang penat. Panorama sekitar benar-benar menakjubkan," katanya.
Anak jati Desa Pandan, Kuala Lumpur itu bercerita lagi. Katanya, dia tertidur di tepi trek dalam perjalanan dari Pos 2 ke Pos 4.
"Walaupun panas terik, saya masih boleh tertidur kerana setiap kali angin bertiup kuat, persekitaran akan 'sejuk' sekejap," ujarnya.
Rakannya, Nor Ilawati Minwari (Lia), 26, dari Ampang, Kuala Lumpur pula berkata, laluan berpasir halus yang licin benar-benar mencabarnya.
"Laluan dari Pos 2 ke Pos 4 amat mencabar terutama ketika mendaki lereng bukit berpasir dan berdebu yang curam dan panjang," katanya.
Sungguhpun begitu, katanya, pengalaman melihat matahari terbit dari puncak Gunung Merbabu sukar dilupakan.
"Dari puncak, kita boleh melihat view 360 darjah. Memang berbaloi mendaki gunung ini kerana pakej pendakian meliputi laluan hutan, belukar, padang rumput dan pemandangan indah," katanya.
Muhammad Haziq Yahya tertidur di tepi trek padang rumput savana sambil ditemani Hadzrey Othman.
Bagi yang merancang untuk ke sana, terdapat beberapa laluan ke puncak. Kami memilih Jalur Pendakian Selo di Boyolali, Jawa Tengah, Indonesia.
Di desa itu, kami bermalam di Basecamp Lereng Merbabu Pak Narto/Kang Bari sebelum memulakan pendakian keesokan paginya.
Mengikut catatan, Gunung Merbabu pernah meletus pada tahun 1560 dan 1797. Gunung itu sekarang tidak lagi aktif.
Sekitar pukul 9.35 pagi, kami meninggalkan Desa Taru Batang menuju laluan hutan pokok cemara. Kami membawa bekalan air yang banyak kerana tiada sumber air di gunung. Trek awal agak landai dan teduh kerana kawasan sekitar dibaluti hutan. Namun selepas Pos 2, pokok semakin jarang dan bermulalah detik kami berjalan di kawasan lapang. Pokok beri liar hidup subur di beberapa kawasan.
Trek semakin terjal dengan beberapa bukit pasir perlu dilepasi dengan hati-hati agar tidak tergelincir. Terik mentari mulai membakar kulit sehingga terasa pedih. Kemarau panjang membuatkan rumput kekeringan dengan warna kekuningan mendominasi persekitaran.
Dari satu kawasan lapang sehingga ke Pos 4 yang dinamakan Sabana 1, kami dapat melihat betapa gahnya Gunung Merapi.
Sebelum tiba di Pos 4, pendakian agak mencabar kerana laluan yang curam dan berdebu. Ada beberapa tempat, tiada dahan untuk berpegang, sekali gus memaksa kami merangkak untuk naik ke atas.
Sedang kami asyik mendaki, tiba-tiba kami ternampak sekeping batu yang bertulis nama seseorang. Menurut pengangkut barang (porter) saya, Tukimin Bari, 22, batu itu adalah tanda tempat kemalangan maut melibatkan seorang pendaki, Hery Susanto pada 1997. Mangsa menemui ajal akibat ditimpa tanah runtuh ketika hujan lebat.
Mustahil tidak berehat. Justeru, apabila ternampak sahaja sedikit kawasan teduh, kami cepat-cepat melarikan diri ke situ. Itulah yang kami lakukan sehingga tiba di Pos 4.
Terasa lega yang teramat sangat apabila kami tiba di situ. Ini kerana selepas Pos 4, trek tidaklah terlalu terjal. Kami terus mendaki dengan menempuh laluan padang rumput yang luas.
Setelah beberapa bukit dilepasi, barulah kami ternampak sekumpulan pendaki tempatan sedang memasang khemah di kaki bukit. Hati mulai berbunga riang kerana sudah tentu tapak perkhemahan yang dituju semakin hampir.
Saya dan Lia berlari-lari anak menuruni cerun sehinggalah kami tiba di papan tanda Sabana 11. Di sinilah, kami teragak-agak mencari arah sebenar ke tapak perkhemahan.
para pendaki mengelilingi unggun api untuk memanaskan badan di tapak perkhemahan dekat puncak Gunung Merbabu.
"Mana camp site ni?" tanya Lia.
"Ntah... jawab saya," sambil mata meliar memandang keliling.
"Ehhh... seingat saya, Arey cakap camp site kita di celah-celah pokok Edelweiss. Jom...kita cari," ujar saya kepada Lia.
Arey atau nama sebenarnya, Hadzrey Othman,32, ialah penunjuk arah kami dalam ekspedisi ini.
Kami terus mengikut trek sedia ada sehingga ternampak rimbunan pokok Edelweiss yang tinggi. Di tengah-tengahnya, terdapat kawasan lapang dan bekas orang berkhemah.
"Di situ kot...camp site kita," ujar Lia.
Kami tiba sekitar pukul 2.55 petang dan beberapa minit kemudian, Tukimin dan Muhamad Aliff Abdullah,25, muncul. Kami berempat menunggu pendaki lain tiba sebelum mendirikan khemah.
Keesokannya, barulah kami mendaki ke puncak. Subuh dingin diredah dengan menempuh laluan tegak. Setelah 1 jam 5 minit mendaki, saya tiba di puncak sekitar pukul 6.35 pagi. Alhamdulillah...kesemua peserta tiba di puncak tanpa masalah.
Dekat puncak Merbabu, terdapat puncak Kentheng Songo. Kami berjalan kaki sekitar 10 minit untuk sampai ke situ. Terdapat empat batu berlubang. Dikatakan mereka yang mempunyai kelebihan paranormal boleh melihat sembilan batu berlubang.
Selesai sesi bergambar, kami beransur-ansur turun ke tapak perkhemahan untuk sarapan, sebelum berjalan turun ke Desa Taru Batang.
Saya tiba di desa itu sekitar tengah hari dan selepas membersihkan diri, kami meninggalkan rumah Pak Narto untuk meneruskan satu lagi cabaran iaitu mendaki Gunung Merapi.
Tahniah kepada semua pendaki yang saling bekerjasama dalam menjayakan ekspedisi ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: