Kini keupayaan telefon bimbit telah berkembang. Tambahan pula dengan kemunculan telefon pintar telah meningkatkan fungsi melebihi daripada sekadar berkomunikasi.
Telefon bimbit kini menyediakan pelbagai aplikasi bagi memudahkan pengguna. Segala urusan boleh dilakukan melalui peranti mudah alih itu tanpa perlu beratur atau bergerak ke sana sini yang menjimatkan kos, tenaga dan masa.
Suka atau tidak, bersedia atau sebaliknya, lonjakan drastik penggunaan teknologi termasuk peranti pintar ketika ini sudah berada di depan mata dan merangkumi pelbagai bidang. Hasil daripada perkembangan itu, kini, untuk mendapatkan rawatan jantung juga boleh dilakukan melalui telefon bimbit.
Itu yang ditawarkan oleh Heartronics atau sistem amaran penyakit jantung.
Pelanggan yang mempunyai telefon pintar boleh mengakses maklumat penting berkaitan kesihatan jantung secara percuma melalui kaedah memuat turun aplikasi telefon pintar baru myHealthyHeart.
Di Malaysia, direkodkan seramai 110,000 pesakit mendapatkan rawatan untuk penyakit jantung daripada hampir 220 pakar jantung di seluruh negara.
Antara simptom yang sering menyerang pesakit jantung adalah kesakitan pada bahagian dada, nafas tersekat-sekat atau pendek, sering pening atau jantung sering berdebar.
Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa mereka sedang diserang secara perlahan-lahan kerana kurangnya kesedaran untuk mengesan penyakit tersebut di peringkat awal.
Bagi memenuhi keperluan masyarakat negara ini, Heartronics memperkenalkan teknologi mengesan kadar denyutan jantung sekali-gus mampu menentukan keadaan jantung.
Pengarah urusannya, Jean Michel Mougin berkata, melalui peranti tersebut, seseorang pesakit boleh memeriksa keadaan jantungnya sepanjang masa tanpa perlu menemui doktor.
Peranti yang dinamakan sebagai EPI Life ini mampu menyelamatkan nyawa sesiapa yang pernah memiliki sejarah penyakit jantung dan dapat membantu mengelakkan kejadian sama berulang
Ia juga amat sesuai untuk mereka yang sentiasa sibuk dan tidak sempat untuk menemui doktor bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan," katanya.
EPI Life merupakan telefon pintar pertama yang dilengkapi bersama teknogi ECG (electrocardiogram) untuk mengesan kadar denyutan jantung.
Ini merupakan satu alat diagnosis yang digunakan secara rutin untuk menilai fungsi elektrik, otot jantung dan mengukur kadar serta ritma denyutan jantung selain menyediakan maklumat berkenaan aliran darah bagi otot jantung.
Satu sistem telah dibangunkan untuk menempatkan elektrod bagi ECG biasa manakala 10 elektrod diperlukan untuk mendapatkan 12 data kadar denyutan atau arus elektrik yang dihasilkan oleh jantung.
Elektrod plumbum diletakkan di lengan dan kaki manakala enam lagi diletakkan merentasi dada. Setiap elektrod akan mengesan arus elektrik yang dihasilkan oleh jantung seperti rakaman garis yang sering dilihat di hospital yang dinamakan elektrokardiogram.
Dari situ, EPI Life bertindak sebagai pemberi amaran awal kerana fungsinya yang bertindak mengesan keadaan jantung seseorang bagi mengesan tanda-tanda awal serangan jantung.
Sebagaimana rumah dan kereta yang dilengkapi sistem amaran, begitu juga pentingnya jantung untuk memiliki sistem yang sama.
Dengan kehadiran EPI Life, kos pemantauan keadaan jantung boleh dikurangkan sehingga RM1 sehari untuk seorang.
Peranti itu juga boleh dikongsi bersama ahli keluarga dan juga rakan (dalam mod pelbagai guna) menjadikan ia berbaloi untuk dimiliki.
Jelas Mougin, pemantauan tahap kesihatan dalam jangkamasa yang panjang memberi peluang yang besar untuk mengesan penyakit jantung di peringkat awal.
Ia penting bagi mendapatkan rawatan seawal mungkin sekali gus mampu menyelamatkan banyak nyawa.
Buat masa ini, syarikat telekomunikasi Maxis Berhad (Maxis) mengambil inisiatif bekerjasama dengan Pusat Perubatan Kardiovaskular dan Torasik Institut Jantung Negara (IJN) dalam menawarkan panduan kesihatan kepada pengguna rangkaian tersebut.
Melaluinya, pengguna Maxis memperoleh perkhidmatan penjagaan kesihatan khususnya mengenai jantung melalui teknologi mudah alih yang berfungsi bertindak sebagai pemberi maklumat utama berhubung penjagaan kesihatan jantung.
EPI Life telah menerima sijil SIRIM dan HSA (Pihak Berkuasa Sains Kesihatan, Singapura).
Peranti itu kini boleh didapati dengan kadar harga RM2,299 bagi harga standard.
Bagi ahli Kelab 1 Maxis (MOC), mereka layak menerima potongan harga sehingga RM600 bagi yang mendaftar sebelum 30 September dan RM300 bagi mereka yang mendaftar selepas tarikh tersebut.
Untuk maklumat lanjut berkenaan EPI Life, boleh melayari laman web www.heartronics.com.my.
re.com atau hubungi talian khidmat pelanggan di 03-5639 1212.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: