|
GEMERLAPAN lampu yang diiringi alunan muzik rancak melatari suasana meriah di pusat beli-belah Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Kelibat selebriti terkenal dan orang-orang penting dunia fesyen menyusuri satu persatu permaidani merah yang sedia memberi gaya terbaik di hadapan lensa kamera jurugambar.
Kehadiran figura-figura ini menambahkan lagi kehangatan acara prapembukaan butik pakaian antarabangsa, Hennes & Mauritz AB (H&M) yang berasal dari Sweden baru-baru ini.
Kehadiran jenama ini sememangnya dinanti-nantikan oleh pencinta fesyen tanah air apabila ia mula digembar-gemburkan sekitar penghujung tahun 2011.
Berlandaskan prinsip item berkualiti pada harga yang berpatutan, ia menjadi sandaran utama H&M untuk bersaing dengan jenama fesyen antarabangsa sedia ada.
Jika sebelum ini, ada yang terpaksa mendapatkan koleksi terbaharu dari luar negara, kini mereka tidak perlu gusar lagi.
Turut menzahirkan keterujaan pembukaan H&M di Kuala Lumpur ialah pelakon Siti Shahriza atau Eja, 40.
“Saya memang meminati produk-produk H&M kerana rekaannya yang minimalis dan paling penting harganya yang berpatutan.
“Disebabkan itu, saya sangat teruja dengan pembukaan butik ini di Malaysia yang juga terkenal sebagai destinasi terbaik untuk membeli-belah,”ujarnya yang memakai persalinan hitam pada malam itu.
Pelakon yang semakin meningkat naik, Nadia Nissa, 27, turut gembira dengan kemunculan H&M di Malaysia.
“Sebelum ini saya diperkenalkan dengan H&M oleh adik saya yang banyak membeli barangan butik ini ketika dia berada di luar negara. Saya terus jatuh cinta kerana ia kena dengan stail saya yang ringkas malah ia mudah untuk disuai padan dengan baju lain.
“Saya memang jarang membeli-belah, jadi saya mengambil kesempatan ini untuk mencari koleksi jaket dan blazer untuk kegunaan saya nanti,” ujar pelakon yang hangat menerusi drama Adam & Hawa ini.
Dekorasi moden
Bagi vokalis band Hujan, Noh, 27, pembukaan H&M menghangatkan lagi perkembangan fesyen di Malaysia. Tambahnya, golongan remaja kini mempunyai banyak pilihan dan tidak terhad pada satu stail.
“Fesyen remaja sekarang sangat pantas berubah dan ia banyak dibantu dengan wujudnya butik-butik baharu seperti H&M,” jelasnya.
Kemeriahan acara tersebut turut dihadiri oleh beberapa nama besar seperti Yuna Zarai, Awal Ashaari, Scha Al-Yahya, Elfira Loy, Mizz Nina, Soo Wincci dan ramai lagi.
Butik H&M Lot 10 mempunyai keluasan 3,340.5 meter persegi terbahagi kepada tiga tingkat utama. Dekorasi moden dengan susun atur rapi membuatkan pengalaman membeli-belah lebih tenang dan mudah.
Ia menawarkan himpunan koleksi pakaian dan aksesori untuk wanita, lelaki, remaja dan kanak-kanak. Variasi item bergaya boleh didapati di H&M termasuklah baju T, jean, kasut, dres mini, sarung kaki, aksesori dan banyak lagi.
Setiap tingkat dibahagikan mengikut seksyen. Tingkat paling bawah khas untuk aksesori dan deretan pakaian wanita yang lebih formal.
Tingkat tengah pula untuk koleksi kasual wanita seperti jean, baju sukan, pakaian dalam dan tingkat paling atas khusus untuk lelaki dan kanak-kanak.
Pengurus H&M untuk China, Singapura dan Malaysia, Lex Keijser berkata, H&M menawarkan fesyen terkini yang berkualiti pada harga yang amat berpatutan. Pada masa yang sama, fesyen tersebut khusus untuk mereka yang prihatin dengan perkembangan aliran fesyen terkini.
Pasaran Asia Tenggara
“Kami sangat gembira dengan pembukaan H&M di Malaysia dan mengembangkan perniagaan kami di pasaran Asia Tenggara. Kami tidak sabar untuk membawa fesyen-fesyen segar dan terkini kepada penggemar fesyen di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Bersempena dengan pembukaan rasminya baru-baru ini, seramai 1,500 orang telah beratur seawal pukul 7 pagi untuk melihat sendiri koleksi-koleksi yang terdapat di H&M.
H&M turut menghadiahkan wang tunai sebanyak RM500 kepada pengunjung pertama iaitu Michelle Tan, 20. Pengunjung kedua dan kelima turut mendapat baucar RM200.
H&M pernah menjalankan kolaborasi dengan pereka-pereka antarabangsa bagi menghasilkan rekaan edisi terhad. Antara nama-nama besar tersebut ialah Karl Lagerfeld, Jimmy Choo, Sonia Rykiel, Stella McCartney, Viktor and Rolf, Kylie Minogue, Madonna, Roberto Cavalli, Comme des Garçons, Versace dan Marni. Terbaharu, jenama ini mendapatkan khidmat Ketua Pengarang majalah Vogue Jepun, Anna Dello Russo, untuk mereka koleksi aksesori yang bakal muncul pada bulan Oktober ini.
Momen paling menarik ialah kerjasama antara selebriti bola sepak terkenal, David Becham yang mereka pakaian dalam lelaki untuk H&M. Suami kepada Victoria Becham itu turut menjadi model untuk koleksi istimewa ini.
Memilih penyanyi sensasi, Lana Del Rey sebagai model utama untuk koleksi terbaharu musim luruh 2012, H&M kini mempunyai lebih daripada 2,600 butik di 45 negara.
Khabar gembira buat pengumpul setia koleksi H&M, butik kedua jenama ini bakal dibuka sekitar Oktober 2012 di pusat beli-belah Setia City Mall, Shah Alam, Selangor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: