Monday, October 8, 2012

Denim pengembara tegar


KELINCAHAN karakter pasangan kembara dapat diserlahkan menerusi pemakaian jean tahan lasak ini.


INDIVIDU yang melakar pelan untuk mengembara ke beberapa tempat menarik tidak hanya membayangkan kemanisan pengalaman yang bakal ditempuhi. Mereka tidak mahu ketinggalan mahu bergaya dalam persalinan serba selesa dan memukau pandangan.
Jiwa pengembara sememangnya sinonim dengan ciri kental ketika mengharungi sesebuah perjalanan yang penuh cabaran. Berasaskan prinsip hidup tersebut, mereka senang menyarungkan pakaian yang mampu membebaskan sisi semangat seorang penjelajah tegar.
Jean adalah pilihan tepat buat golongan tersebut. Disebabkan itu, salah satu daripada jenama jean berkelas antarabangsa, Wrangler memilih untuk mengangkat daya keramat si pengembara di serata dunia.
Berpandukan kempen Find Your Edge - Boundless Traveller menerusi koleksi musim luruh/sejuk 2012 Wrangler, mengajak pencinta aktiviti kembara meneroka ke lebih banyak destinasi.

JEAN efek pudar yang digabungkan bersama kemeja berkotak dan jaket denim ini sesuai untuk lelaki yang gemarkan gaya ringkas yang tidak terlalu menonjol.


Wrangler Find Your Edge membantu si pemakai menyerlahkan keyakinan tatkala melangkah sekali gus membentuk imej ranggi dan tahan lasak.
Kempen tersebut meminjam penceritaan tentang dua orang yang mengembara dari sebuah bandar menuju ke pinggir laut sambil menunggang motosikal.
Dua pengembara Wrangler itu bebas menjelajah ke setiap pelosok kawasan tanpa sekatan dan tidak sabar untuk merasai keterujaan di destinasi berikutnya.
Lasak si lelaki
Maskulin si lelaki pasti ketara dalam item-item seperti baju bersama cantuman penutup kepala (hoodie) kalis air dan jaket yang boleh diterbalikkan (reversible). Item yang utama sudah pasti deretan jean pelbagai rona dengan potongan menarik.
Sementara itu, karakter lincah bagi si gadis mampu ditonjolkan melalui skirt detachable, seluar tali cerut (drawstring) dan jean sendat moden dan klasik.
Bagi memulakan perjalanan, sarungkan persalinan vintaj moden daripada material denim luntur atau jean efek pudar. Ia menjadi bukti sempurna kehebatan stail ikonik jenama Amerika itu.

LENGKAPKAN penampilan santai bersama aksesori bersesuaian seperti rantai, gelang tangan dan cincin.


Pakaian praktikal moden ialah pendamping terbaik saat pengembaraan berlangsung. Siri produk baharu Wrangler yang kemas, mudah dikancing dan diterbalikkan mencipta gaya luaran kontemporari yang didominasi jean.
Selain itu, si pemakai juga boleh membentuk imej rock menerusi variasi denim dengan elemen-elemen bumi seperti buah-buahan, mineral, batu permata dan batu-batuan yang bertaburan di bumi.
Koleksi pakaian lelaki Wrangler dijual pada harga bermula RM109 bagi baju T lengan pendek dan RM209 ke atas untuk sehelai jean denim.
Persalinan wanita pula ditawarkan pada harga RM119 ke atas bagi baju T manakala skirt denim dijual bermula harga RM199. Aksesori boleh dimiliki pada harga RM39 ke atas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: