Monday, October 8, 2012

Inovasi terbaru UTM

Penyelidik UTM yang berjaya menghasilkan cecair kimia untuk membersihkan sebatian logam di dalam kupang, dari kiri, Faizuan Abdullah, Razali Ismail, Ihsan Wan Azelee dan Mohd. Faiz Foze menunjukkan sijil dan trofi yang dimenangi mereka pada majlis INATEX 2012 di UTM, Skudai, Johor Bahru, kelmarin.
JOHOR BAHRU 6 Okt. - Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menghasilkan sejenis cecair kimia yang mampu membersihkan sebatian logam di dalam makanan seperti kupang.
Produk dikenali sebagai Catalytic Demetallisation System itu telah mencapai standard piawaian ditetapkan Kesatuan Eropah dan negara ini bagi tujuan eksport.
Menurut Pensyarah Jabatan Kimia Fakulti Sains UTM, Prof. Madya Dr. Razali Ismail, sebagai contoh, di dalam kupang terdapat sebatian logam seperti plumbum, merkuri, arsenik, nikel dan cadmium yang boleh memudaratkan kesihatan.
"Kupang akan direndam di dalam cecair kimia yang dicampurkan dengan air selama lebih satu jam supaya sebatian logam tadi dapat dibersihkan.
"Kesan daripada memakan makanan yang mempunyai sebatian logam mungkin tidak berlaku dengan serta-merta tetapi lama-kelamaan ia boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit seperti sakit kulit," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Produk yang mengambil masa selama setahun setengah untuk dibangunkan itu merupakan satu daripada 204 produk yang dipamerkan dalam Pameran Seni Industri dan Teknologi (Inatex) 2012 Ke-14 di UTM di sini semalam.
Selain Razali, produk tersebut turut dibangunkan oleh Prof. Madya Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff, Prof. Dr. Wan Azelee Wan Abu Bakar, Faizuan Abdullah, Ihsan Wan Azelee dan Mohd. Faiz Foze.
Beliau berkata, sebuah syarikat antarabangsa dari Jepun, Hannan Corporation Sdn. Bhd. yang menjalankan projek penternakan kupang di negeri ini juga telah menyatakan minat untuk menggunakan produk tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: