Sunday, October 28, 2012

Hilang rakan kerana insurans


IRA akan memastikan pelanggan memilih pelan insurans terbaik sebagai satu jaminan masa depan.


MELANGKAH masuk ke bangunan yang menempatkan pejabat Zarina Agency di Taman Dagang Ampang, kru Jurnal tercari-cari pemilik nama Sharifah Nur Ummirah Syed Omar, 27.
Kemudian, kru Jurnal disapa seorang gadis yang bergaya formal seperti seorang eksekutif. Selepas dia memperkenalkan diri, ternyata itulah orang yang dicari-cari sejak tadi.
Perunding kewangan ini sememangnya seorang yang ceria. Ada sahaja perkara yang ingin dibualkannya.
“Saya seorang yang mudah, suka bercakap, gemar bersosial dan sukakan cabaran. Perwatakan saya agak kasar tetapi bukan tomboi. Saya cuma suka berdikari dan tidak suka bergantung kepada orang lain,” tutur gadis berbintang Scorpio ini.
Masakan pedas
Bercerita lanjut mengenai dirinya, dia yang mesra disapa Ira oleh rakan-rakannya memberitahu, dia amat menggemari masakan pedas lebih-lebih lagi jika dimakan bersama sambal belacan.
“Masakan Melayu itu mestilah pedas kerana jika tidak, terasa seperti tidak lengkap pula.
“Masakan ibu seperti sambal sardin dan gulai tempoyak udang serta ikan patin juga menjadi menu kegemaran saya setiap kali pulang ke rumah,” ujar anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini.
Tambah anak kepada pasangan Syed Omar Syed Husin, 52, dan Sharifah Rosyah Syed Harun, 46, ini tugas sebagai seorang perunding kewangan memerlukan penampilannya sentiasa kemas.
“Saya tidak suka bersolek tetapi apabila terlibat dalam bidang ini, saya mesti tampil menarik di hadapan pelanggan.
“Saya hanya mengenakan solekan yang asas asalkan muka saya tidak nampak pucat. Tanggapan pertama pelanggan terhadap kita itu penting bagi meyakinkan mereka supaya membeli produk kita,” katanya.
Menyentuh mengenai kerjayanya, Nur Ummirah memberitahu, dia baharu sahaja menjadi perunding kewangan secara sepenuh masa pada bulan Julai lalu selepas meletakkan jawatan sebagai eksekutif di sebuah agensi kerajaan.
“Saya seorang yang sukakan cabaran. Saya tidak gemar melakukan kerja yang sama setiap hari kerana mudah bosan.
“Namun, bekerja dalam bidang ini membantu saya membina keyakinan diri selain berdepan cabaran yang berbeza setiap hari,” ujarnya sambil memberitahu, dia amat percaya pada prinsip pengasas bersama Apple Inc., Steve Jobs iaitu jangan berhenti mencari apa yang kita minat.
Menurut Nur Ummirah, bidang yang diceburinya kini hakikatnya tiada kena-mengena dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Forensik yang diambilnya ketika menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dahulu.
“Saya ambil Sains Forensik dan berjaya menamatkan pengajian selama empat tahun tetapi setelah tamat belajar, barulah saya sedar bidang itu kurang serasi dengan jiwa saya.
“Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang akauntan. Saya gemarkan nombor sejak kecil lagi dan mata pelajaran Matematik merupakan subjek kegemaran saya tetapi disebabkan saya tiada asas perakaunan, cita-cita itu terpaksa dilupakan,” tambahnya.
Jelasnya, sudah menjadi adat orang menjual, mereka perlukan mempromosikan produk masing-masing. Bagaimanapun, situasi itu kurang disenangi sehingga ada rakan Nur Ummirah yang menjauhkan diri sebaik sahaja mengetahui dia menjadi ejen jualan insurans.
“Itu semua menjadi cabaran kepada saya. Jika mereka tidak berminat saya tidak boleh memaksa.
“Memasuki bidang ini juga menjadikan saya seorang yang serba boleh kerana bukan sahaja saya dapat mempelajari teknik pemasaran, malah boleh belajar selok-belok pengurusan perniagaan,” ujarnya yang meletakkan sasaran untuk membuka sebuah agensi insurannya sendiri pada tahun 2014.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: