Sunday, October 28, 2012
Adunan simen Rumah Ketupat
MATA terpaku sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke pekarangan rumah milik pasangan Shahrom Zainal Abidin, 58, dan isteri, Jamilah Tajuddin, 57.
Kediaman yang dinamakan Teratak Idaman itu menggamit pandangan kerana keunikan ukiran simennya baik di dalam mahupun di luar rumah.
Pertama kali memandang, pasti bebola mata bertumpu pada dua batang tiang beranda yang disaluti batu berwarna-warni apatah lagi kawasan itu dikelilingi hiasan taman yang sederhana tetapi indah.
“Rumah ini saya beli pada tahun 2002. Ia mengambil masa selama tujuh tahun untuk proses pengubahsuaian yang saya lakukan sendiri sebelum kami berpindah masuk pada Januari lalu,” beritahu Shahrom.
Pelan
Lelaki berbadan tegap ini pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai tukang pelan. Bermula dari situ, dia menjadi obses pada bidang kreatif sehinggakan ada rakan yang meminta Shahrom melukis pelan pengubahsuaian rumah mereka.
“Tetapi selepas melihat pelan yang saya cadangkan, saya ditertawakan kerana mereka anggap idea saya tidak masuk akal. Sejak itu, saya berazam untuk merealisasikan idea itu pada rekaan rumah saya kelak,” ujarnya.
Penulis kagum dengan kreativiti pemilik yang membuat ukiran motif pucuk rebung pada bahagian bumbung rumah selepas jatuh hati melihat bumbung sebuah restoran.
Di kiri dan kanan rumah pula disediakan sudut yang saling tidak tumpah seperti singgahsana raja-raja zaman dahulu yang digunakan untuk duduk bersantai sambil melihat kehijauan laman dan kebiruan langit petang.
Melihat rekaan dinding rumah yang pelbagai corak, pada mulanya terdetik di hati penulis yang kesemua dinding itu menggunakan marmar bercorak dan dibeli siap tetapi sangkaan itu ternyata meleset.
Ini kerana kesemua rekaan dinding itu dibuat sendiri dengan melorek simen yang masih basah mengikut corak yang diingini. Shahrom memilih untuk meletakkan rekaan yang berlainan di setiap sudut rumahnya.
“Saya mendapat idea untuk mengaplikasikan corak bakul hiasan pada dinding luar yang berbentuk anyaman tikar. Di ruang tamu pula, saya menggunakan rekaan dinding bermotifkan potongan buluh.
“Ramai juga yang terkejut apabila mendengar saya yang membuatnya menggunakan simen dan bukan dibeli dari kedai.
“Bayangkan, untuk menyiapkan corak di ruang tamu ini sahaja mengambil masa selama satu jam bagi setiap segi empat tepat ini. Ada juga rekaan dinding yang berbentuk seperti batang kayu balak dan batu sungai.
“Semuanya saya hasilkan mengikut kreativiti sendiri termasuklah pemilihan warna,” tambahnya sambil memberitahu, kesabaran yang tinggi diperlukan ketika melakukan proses melorek dinding.
Gelaran
Kepelbagaian ukiran dan warna kediaman ini menyebabkan ia diberi bermacam-macam gelaran oleh penduduk setempat. Kata Shahrom, ada yang menggelar rumahnya sebagai Rumah Ketupat, Rumah Zirafah, Rumah Muzium malah Rumah Antik.
Dalam pada itu, gambar pemandangan kawasan pergunungan pada dinding dapur tidak kurang cantiknya.
“Pada asalnya saya mahu meletakkan air pancuran di dinding dapur. Ini kerana sambil menikmati hidangan, kita dapat mendengar percikan air, tetapi memikirkan kawasan di dalam rumah yang terhad, saya mengubah fikiran,” ujarnya.
Menjengah ke laman rumah, terdapat beberapa jenis bunga bonsai yang sudah berumur puluhan tahun tetapi masih cantik dan dijaga rapi. Pemilik sememangnya seorang pencinta alam semula jadi.
Laman pemilik turut dihiasi dua buah kolam ikan berbentuk segi tiga manakala kelopak bunga yang diletakkan di hadapan dan belakang rumah benar-benar memperlihatkan sisi kreatif bapa kepada tiga orang anak ini.
“Sebuah kolam digunakan untuk membela ikan hiasan manakala sebuah lagi bagi membela ikan yang dijadikan lauk harian.
“Ada rakan yang memuji keunikan kolam ikan saya ini disebabkan bentuknya yang lain daripada lain di samping kosnya yang murah,” jelas Shahrom.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: