Monday, October 8, 2012

Gunakan kelebihan dalam dunia kerjaya

Dr. Mohd. Hamdan Sapwan
PEGAWAI perubatan yang merupakan hafiz al-Quran, Dr. Mohd. Hamdan Sapwan, 28, menyatakan bahawa kitab suci itu merupakan mukjizat umat Islam yang sewajarnya penganut agama tersebut menghafal, mempelajari dan mengamalkan isi kandungannya.
Ujar lulusan Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Kaherah, Mesir ini, tidak menjadi masalah bagi setiap umat Islam menghafal al-Quran kerana ia sememangnya sudah menjadi kewajipan untuk mempelajarinya dan ia bukan terletak di bahu tokoh agama semata-mata.
Beliau kini berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan Siswazah di Hospital Klang menghafal 30 juzuk al-Quran ketika mengambil Sijil Tahfiz dari Darul Quran, Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor. Pengalaman menghafal kitab suci itu memberikan banyak kelebihan kepadanya untuk mengingati segala-gala teori ilmu perubatan.
Mohd. Hamdan menjelaskan minat dan perasaan cinta mendalam terhadap al-Quran telah menambah keimanannya terhadap Allah apabila ayat-ayat suci itu berinteraksi dengan mindanya ketika mengendalikan kes wad kecemasan di Hospital Klang, Klang, Selangor.
"Saya seolah-olah berinteraksi dengan al-Quran apabila mengendalikan pesakit-pesakit yang menghadapi masalah kritikal dan menemui ajal yang tidak mengira usia, sama ada bayi, kanak-kanak sehingga peringkat dewasa.
"Daripada itu, saya melihat keindahan al-Quran, bukan hanya soal hidup dan mati seperti yang terkandung menerusi ayat 34 surah al-Araf tetapi proses kejadian manusia turut diperincikan oleh Allah SWT menerusi kitab suci tersebut,'' katanya.
Mohd. Hamdan yang telah mendirikan rumah tangga dua tahun lalu mengharapkan pandangan masyarakat bahawa tahfiz hanya sekadar mampu menjadi imam di masjid dan surau perlu ditolak kerana beliau merupakan antara penghafal al-Quran yang berjaya dalam bidang profesional.
"Inilah dakwah kita sebenarnya dengan menunjukkan contoh kepada orang lain bahawa Islam itu bukan agama ritual semata-mata tetapi ia meliputi aspek kehidupan. Apabila kita menghafalnya dan mempraktikkannya dalam alam sains dan perubatan, masyarakat lain akan lihat bahawa Islam itu merupakan agama meliputi seluruh aspek kehidupan,'' ujarnya.
BIODATA
Nama: DR. MOHD. HAMDAN SAPWAN
Umur: 28
Pekerjaan: Pegawai Perubatan Siswazah Hospital Klang
Kelulusan:
Sijil Tahfiz Darul Quran Kuala Kubu Baru, Selangor
Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya
Sarjana Muda Perubatan Universiti Kaherah, Mesir

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: