Sunday, October 7, 2012

Fatimah cipta alat kesan denggi pertama di dunia


FATIMAH menunjukkan paparan di skrin komputer bagaimana cakera padat ciptaannya boleh mengenal pasti dan mengasingkan virus denggi dengan hanya menekan satu punat. Hasilnya pula boleh diperolehi dalam masa singkat.


PENYAKIT demam denggi adalah satu penyakit berjangkit yang sangat merbahaya dan boleh bembawa maut. Bermula dengan satu gigitan nyamuk Aedes betina, penawar bagi virus flavivirus yang menjadi punca demam denggi sejak 232 tahun lalu, masih belum ditemui hingga ke hari ini.
Virus ini akan terpendam di dalam badan pesakit, puratanya selama empat hingga enam hari sebelum mangsa jangkitan menunjukkan tanda-tanda seperti sakit tekak, simptom seakan-akan selesema, ruam, sakit belakang dan perubahan bacaan pada sel darah pembeku atau platelet.
“Lazimnya, sekitar lima hari selepas digigit nyamuk, mangsa akan mula mendapat demam panas diiringi dengan simptom,” ujar perunding kesihatan dari Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur, Dr. Mat Rifin Jusoh.
Demam denggi klasik berlarutan selama enam hingga tujuh hari dengan demam kembali memuncak pada akhir demam, ketika pesakit beransur sembuh.
Secara klinikalnya, bilangan platelet akan turun sehingga hilang demam diikuti dengan kehilangan bendalir plasma darah dari salur darah ke dalam tisu perantara atau ruang ketiga di antara selaput paru-paru, ruang peritoneum dan sebagainya kerana kapilari darah menjadi rapuh.
Pada peringkat ini pesakit terdedah kepada renjatan dan risiko perdarahan.
Jelas Mat Rifin, demam denggi berdarah terdiri daripada tiga fasa. Pada fasa pertama iaitu pada hari pertama hingga hari ketujuh jangkitan, mangsa berisiko mengalami kehilangan selera makan, loya selain demam dan sakit seluruh badan.
“Memasuki fasa kedua atau fasa kritikal iaitu hari ketiga hingga hari ketujuh jangkitan, demam awal bagi sesetengah pesakit mungkin telah reda.
Soal jawab
“Namun, dalam segelintir kes serius, kebocoran kapilari darah akan berlaku dalam jangka masa pendek,” katanya.
Tambahnya lagi, terdapat empat kategori demam denggi iaitu Denggi Jenis 1, 2, 3 dan 4. Kebanyakan mangsa menyangka diri mereka kebal selepas serangan demam denggi kali pertama.
“Hakikatnya, hampir 90 peratus kes jangkitan sekunder berlaku kepada mereka yang pernah mendapat denggi sebelum ini. Serangan kali kedua biasanya lebih teruk kerana imunisasi tubuh tidak hadir untuk semua jenis denggi.
“Lantaran itu, pesakit demam denggi perlu melindungi diri daripada serangan kali kedua kerana ia mungkin memberi kesan lebih serius sehingga boleh membawa maut,” pesannya.
Sebenarnya, sukar untuk membezakan di antara demam disebabkan penyakit virus lain dengan demam denggi atau demam denggi berdarah.
Untuk mengesahkan pesakit itu diserang demam denggi atau tidak, doktor akan melakukan ujian sel darah platelet. Jika jumlahnya kurang daripada 150,000 untuk setiap milimeter padu, dia akan disuspek menghidap demam denggi.
Selepas itu, ujian serologi yang dikenali sebagai kaedah ELISA akan dilakukan dalam makmal untuk mengesan antibodi khusus dalam serum pesakit lima hari selepas menghidap demam. Jika perlu, ujian tersebut harus diulang selepas dua hingga tiga minggu.
Melihatkan senario pengesanan demam denggi yang mengambil masa berhari-hari, sedangkan virus terus menyerang sistem tubuh tanpa henti, seorang jurutera bioperubatan, Prof. Ir. Dr. Fatimah Ibrahim, tampil dengan dua model mendiagnosis demam denggi yang lebih cepat dan efektif.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Informatik Perubatan dan Sistem Mikro-Elektro-Mekanikal (MIMEMS) di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM), memberitahu, satu daripada model tersebut dibangunkan menggunakan alat yang diberi nama bio-impedans yang boleh mengukur komposisi badan seseorang tanpa menggunakan sampel darah.
“Alat ciptaan saya ini boleh mengesan bacaan hemoglobin tidak normal yang biasa dikesan pada pesakit demam denggi.
“Secara tidak langsung, ia dapat membantu doktor mengenal pasti sama ada pesakit itu menghidap demam denggi ataupun tidak tanpa menceroboh tubuh pesakit dengan mengambil darah dalam jumlah yang banyak,” katanya.
Berdasarkan bacaan bio-impedans tersebut, Fatimah juga telah menghasilkan tiga set soalan yang boleh mengesan kehadiran virus denggi pada pesakit menggunakan model kecerdikan buatan yang direkanya.
“Model kecerdikan buatan ini dihasilkan selepas saya memasukkan banyak maklumat mengenai denggi di dalam komputer sebelum melatih komputer itu untuk mengenal pasti kehadiran virus denggi berdasarkan analisis soalan yang diberikan kepada pesakit.
“Menerusi set soalan ini, doktor sudah boleh mengetahui sama ada pesakit tersebut mengalami perubahan pada bacaan hemoglobin atau tidak.
“Set soalan kedua pula, melalui soalan ringkas yang diberikan kepada pesakit, doktor sudah boleh mengetahui sama ada pesakit tersebut berisiko untuk mendapat denggi berdarah atau sebaliknya.
“Melalui set soalan ketiga, doktor boleh mengetahui tempoh demam pesakit dan pemantauan rapi dapat diberikan memandangkan demam denggi boleh kembali memuncak ketika pesakit beransur sembuh,” katanya yang telah melakukan ratusan analisis denggi dengan pesakit berbeza sebelum berjaya tampil dengan set soalan tersebut.

SEUNIT cakera padat boleh menjadi platform ujian virus denggi kepada 16 hingga 20 pesakit sekaligus.


Cakera padat
Dengan ketepatan analisis sebanyak 87 peratus, model pengesanan denggi ini sangat efektif dalam membantu para doktor memantau pesakit denggi sekali gus mengurangkan risiko kritikal dalam kalangan pesakit.
Selain tiga model soalan tersebut, Fatimah turut mereka cipta satu platform yang dapat mengesan kehadiran virus denggi berdasarkan kaedah serologi ELISA yang mana dapat mengasingkan virus dengan hanya menggunakan sekeping cakera padat yang dilengkapi dengan teknologi pengesan nano.
“Kaedah pengesanan ini memerlukan sampel darah pesakit diambil, tetapi jumlahnya jauh lebih sedikit berbanding kaedah serologi konvensional. Darah hanya diambil di hujung jari, sama seperti ujian saringan diabetes.
“Darah pesakit kemudian dititiskan di atas cakera padat yang mempunyai beberapa saluran lain yang sudah dimasukkan dengan cairan tertentu yang dapat menenal pasti dan mengasingkan virus dalam masa cukup singkat.
“Dengan menggunakan kaedah ini, hanya 30 minit diperlukan untuk mendapat keputusan yang 95 peratus tepat.
“Jika sampel darah yang sama diuji menggunakan kaedah ELISA, ia boleh mengambil masa sehingga seminggu,” katanya.
Projek perintis yang dijalankan di bawah Skim Geran Penyelidikan Berimpak Tinggi daripada Kementerian Pengajian Tinggi ini merupakan hasil daripada perpindahan teknologi antara UM dengan Universiti Irvine California, Amerika Syarikat.
“Kaedah pengesanan menggunakan cakera padat ini jauh lebih murah dan cepat berbanding kaedah konvensional yang dipraktikkan sekarang.
“Berbanding dengan kelengkapan makmal yang mahal dan ruang lebih besar, pengesanan virus menggunakan teknologi nano ini hanya memerlukan pemain cakera khas yang kecil dan ia boleh dipindahkan ke mana-mana.
“Sekiranya teknologi ini diadaptasi di hospital, saya yakin ia dapat menjimatkan kos, ruang serta tenaga. Apa yang lebih penting, ia mampu mengurangkan jurang masa yang diambil oleh doktor yang mengesan kehadiran virus denggi. Secara tidak langsung, kualiti hidup pesakit dapat pertingkatkan dan risiko dapat dikurangkan,” jelasnya optimis.
Dengan kos pengeluaran alat pemain cakera untuk menganalis darah yang kurang daripada RM1,000, ciptaan ini merupakan yang pertama di Malaysia dan di dunia bagi sektor penyakit denggi.
“Menarik tentang platform cakera padat ini, ia boleh digunakan untuk menguji darah 16 hingga 20 pesakit pada satu masa.
“Kegunaannya bukan sahaja dapat mengesan virus denggi, malah sebanyak 10 ujian penyakit berbeza boleh dilakukan menggunakan cakera padat ini,” ujarnya yang sudah pun memohon paten bagi produk rekaannya itu. Beliau juga mempelawa mana-mana pihak untuk bekerjasama dan mengkomersialkan produknya sekaligus menyumbang kepada kelestarian kehidupan dan kesihatan rakyat di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: