Sunday, October 7, 2012

Lelaki cabar kelajuan bunyi


BAUMGARTNER telah menjalani latihan selama lima tahun untuk mencipta rekod yang tidak pernah dilakukan oleh manusia.


SELASA ini sejarah dijangka tercipta apabila seorang warga Austria, Felix Baumgartner cuba melakukan terjunan bebas terpantas, tertinggi dan akan menjadi penerjun udara pertama dunia menghampiri kelajuan bunyi.
Bunyi bergerak selaju 1,236 kilometer sejam (km/j).
Baumgartner yang berkecimpung dalam sukan payung terjun sejak berusia 16 tahun merancang membuat terjunan dari sebuah bola helium pada ketinggian 36,600 meter (m) dengan kelajuan 1,100km/j.
Semasa percubaan itu dilakukan, lelaki ini akan memakai sut bertekanan tinggi serta topi seperti seorang angkasawan.
Terjunan itu akan dilakukan di padang pasir New Mexico, Amerika Syarikat (AS).
Percubaannya itu bukan sekadar untuk mencipta rekod dunia malah boleh mengundang maut kepada lelaki bujang ini.
Ia boleh menyebabkan darah beku pada otak kerana pembentukan buih dalam aliran darah.
Sebelum ini, Baumgartner dikenali dengan kejayaan penerbangan sayap karbon Red Bull menyeberangi Selat Inggeris dari Dover, England ke Calais, Perancis tanpa bergantung kepada tenaga mekanikal kecuali Skyray pada tahun 2003.
Skyray ialah gentian karbon dan Kevlar.
Sejarah manusia berjaya menerbangkan diri ke lapisan atmosfera tinggi bermula pada penghujung tahun 1950-an.
Pecah rekod
Kapten Joseph W. Kittinger ialah manusia pertama melakukannya menggunakan kapsul belon udara pada Jun 1957 dengan mencapai ketinggian 29,500m.
Namun, keberanian dan rekod yang dicipta oleh bekas tentera itu kemudian dipadamkan oleh Mejar David Simons pada tahun yang sama dengan mencapai ketinggian 30,900 meter.
Sehingga kini, rekod Kittinger dan Simons telah bertahan lebih 50 tahun sebelum Baumgartner cuba memadamkannya melalui projek terbaharu yang dinamakan Red Bull Stratos.
Mengikut teori fizik, terjunan dari lapisan stratosfera itu akan menghasilkan lima kali ganda kelajuan berbanding terjunan bebas ahli payung terjun biasa iaitu selaju 200km/j.
Menurut Baumgartner, terjunan dari paras empat kali ganda ketinggian penerbangan pesawat komersial itu adalah pertaruhan terpenting dalam hidupnya.
"Rekod dunia hanyalah sebahagian daripada pencapaian tapi saya lebih teruja untuk memberikan sumbangan kepada penyelidikan dunia angkasa.
"Sekiranya terjunan ini berjaya, kami akan berkongsi data yang tidak pernah diperoleh oleh manusia," ujar lelaki berusia 43 tahun itu.
Individu utama di sebalik 'misi mustahil' itu termasuk pakar angkasa lepas, Art Thompson dan pemegang rekod terdahulu, Kittinger.
Namun begitu, berada di dalam sut paling mahal seperti angkasawan yang berharga lebih RM500,000 itu bagi Baumgartner bukan satu kerja mudah dan selesa.
"Memakai sut yang berat dengan topi menutupi sebahagian besar sudut penglihatan selama hampir tiga jam menuju ke angkasa adalah perkara yang menjengkelkan.
"Ia adalah tempoh yang paling panjang serta membosankan yang hanya berakhir sekiranya saya berjaya meninggalkan kapsul," ujarnya.
Sebelum ini, Baumgartner telah melakukan lebih 2,500 terjunan bebas menggunakan payung terjun.
"Sekiranya berjaya, saya ingin bekerja sebagai seorang juruterbang helikopter selain menghabiskan sisa kehidupan bersama teman wanita," katanya.
Menurut pengarah perubatan projek Red Bull Stratos, Dr. Jonathan Clark, dia mempunyai alasan tersendiri untuk terlibat dalam program itu.
Ini kerana isterinya Laurel - seorang angkasawan wanita, mati pada tahun 2003 apabila kapal angkasa Columbia yang dinaiki meletup sebelum sempat menuju ke angkasa.
"Sejak itu saya mengabdikan diri dengan kajian angkasa lepas," katanya.
Mengulas mengenai terjunan yang bakal dilakukan oleh Baumgartner, dia yakin lelaki itu akan berjaya melakukannya.
"Tetapi pelbagai perkara luar dugaan boleh berlaku dan saya sendiri tidak pasti," ujarnya.
Bagi Kittinger yang merupakan jurulatih Baumgartner selain antara pemegang rekod bagi terjunan itu, dia gembira ada individu lain bakal memecahkan rekodnya sebelum ini.
"Namun terdapat banyak bahayanya termasuk kita tidak mengetahui keadaan di dalam bola helium itu dengan risiko kecederaan malah kematian yang bakal dia hadapi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: