Sunday, October 21, 2012

Doa Bangsamoro termakbul




TARIKH 15 Oktober 2012 memberi makna yang mendalam kepada penduduk selatan Filipina. Pada hari tersebut, dua pihak yang bersengketa selama lebih 40 tahun iaitu pejuang Barisan pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina menandatangani perjanjian damai yang merintis kepada pembentukan sebuah wilayah autonomi yang baharu yang dikenali sebagai Bangsamoro.
Pergolakan sejak 1970-an itu telah mengorbankan lebih 150,000 nyawa.
Bangsamoro dijangka menjadi kenyataan sebelum tempoh pentadbiran Presiden Filipina sekarang, Benigno Aquino tamat pada tahun 2016.
Bangsamoro merujuk kepada umat Islam dan masyarakat minoriti bukan Islam yang tinggal di selatan negara itu.
Perjanjian damai ini sekali gus membantu kepada pembubaran semua kumpulan pemisah di wilayah itu.
“Ini juga bermakna tangan yang suatu masa dahulu memegang senjata akan mula bercucuk tanam dan menjual hasilnya kepada penduduk lain,” kata Aquino.
Menerusi Bangsamoro, wilayah penduduk Islam itu akan mendapat lebih kuasa ekonomi dan politik termasuk pelaksanaan cukai untuk mengurangkan subsidi kerajaan pusat, menerima bahagian yang lebih besar daripada pendapatan sumber asli serta peranan yang lebih aktif dalam isu keselamatan wilayah.
Sumber alam
Wilayah Bangsamoro meliputi Pulau Mindanao iaitu pulau kedua terbesar Filipina, Palawan, Basilan dan beberapa buah pulau kecil Kepulauan Sulu.
Berkeluasan 116,895 kilometer persegi iaitu sepertiga daripada keluasan Filipina, 12 juta daripada 20 juta penduduk Bangsamoro ialah orang Islam.
Sejak dahulu Pulau Moro menjadi perhatian pemerintah di Manila kerana kekayaan sumber alamnya.
Seorang aktivis Malaysia yang banyak mengkaji konflik di Mindanao, Prof. Madya Dr. Kamarulzaman Askandar mengakui aspek kewilayahan itu merupakan isu yang tidak mudah selesai tanpa tolak ansur Manila.

KOMITMEN Malaysia merintis jalan perdamaian antara Filipina dan pejuang MILF diperakui seluruh dunia.


“Banyak tanah Bangsamoro yang dirampas sejak berkurun lamanya selain penindasan oleh Manila,” kata Pengarah Unit Penyelidikan dan Pendidikan Konflik Universiti Sains Malaysia (USM) itu. Kamarulzaman turut mengkaji konflik di Aceh dan Selatan Thailand.
Siapakah Bangsamoro? Mengapakah bangsa yang membentuk beberapa kumpulan pemisah terkenal di dunia sehingga Filipina dilabelkan sebagai Afghanistan Kedua ini begitu nekad memperjuangkan nasib bangsanya?
Bangsamoro terbahagi kepada tiga kelompok utama iaitu Tausug/Sulu, Magindanao dan Meranau. Ketiga-tiganya mempunyai budaya dan bahasa yang berlainan. Satu-satunya perkara yang dikongsi bersama ialah agama Islam.
Pergolakan di selatan negara itu telah melibatkan pejuang Moro sejak sebelum penindasan oleh Manila lagi.
Perjuangan yang berteraskan JihadMoro itu bermula pada era penentangan penjajahan Sepanyol selama 377 tahun (1521-1898), diikuti siri pemberontakan 48 tahun menentang Amerika Syarikat (1898-1946).
Pejuang Moro menentang Sepanyol disebabkan tindakan kuasa besar itu yang mahu mengkristiankan rakyat Bangsamoro.
Pertentangan dengan kerajaan Filipina pula bermula sejak tahun 1970. Konflik yang berlarutan sehingga kini itu turut berpunca daripada perpecahan Bangsamoro sendiri.
Bangsamoro sekarang mempunyai dua kelompok kepimpinan iaitu Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang diasaskan oleh Nur Misuari dan MILF yang diterajui oleh Murad.
Selain itu, terdapat kumpulan Abu Sayyaf yang berpecah daripada MNLF pada awal 1990-an yang dianggotai ustaz-ustaz muda yang baru pulang daripada pengajian di Libya.
Selain itu, terdapat satu lagi kelompok yang berlingkar dalam Bangsamoro dikenali sebagai Pentagon Group. Kumpulan itu dikatakan dianggotai tentera Filipina dan Amerika Syarikat tetapi sejauh mana kewujudannya masih diragui.
MNLF ditubuhkan oleh Nur Misuari pada tahun 1972. Turut sama dalam pembentukan awal pertubuhan itu ialah Murad, Salamat Hasim dan Ghazali Jaafar. Murad dan Salamat selepas itu keluar untuk menubuhkan MILF.

WILAYAH Selatan Filipina bakal berkembang maju dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial.


Begitupun disebabkan masalah dalaman MNLF terutamanya apabila Nur Misuari dituduh menyelewengkan bantuan kerajaan Filipina semasa menyandang jawatan gabenor pertama Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM), ia perlahan-lahan mengikis kewibawaan MNLF.
Akhirnya MNLF semakin hilang pengaruh sebaik sahaja Nur Misuari dipenjarakan di Manila manakala MILF meneruskan perjuangan sebelum bersetuju berunding dengan pemerintah.
Selepas Nur Misuari ditahan, keadaan di Selatan Filipina tidak pernah stabil. Ia sering digegarkan dengan bunyi tembakan antara kumpulan pemberontak dan tentera Filipina yang bertempur.
Antara kejadian serangan yang pernah mendapat perhatian di rantau ini ialah kematian Ghalib Andang atau Komander Robot iaitu pemimpin utama Abu Sayyaf pada tahun 2005.
Selepas serangan 11 September 2011 di New York, Amerika Syarikat dan negara sekutunya melabelkan wilayah Mindanoa dan kawasan sekitarnya sebagai Afghanistan Kedua kerana ia didakwa menjadi tempat militan dari Asia Tenggara melarikan diri.
Beberapa peristiwa penculikan pelancong asing oleh puak pemisah berhampiran perairan Sabah tambah memburukkan lagi persepsi itu.
Apa yang pasti pemeteraian perjanjian antara MILF dan Manila baru-baru ini memberi sinar harapan kepada umat Islam Filipina. Doa dan perjuangan mereka selama berpuluh-puluh tahun hampir dimakbulkan Tuhan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: