
BUKU menu restoran turut menggunakan motif songket.
MELANGKAH masuk ke pekarangan Restoran Songket yang terletak di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur, diri seakan-akan berada di sebuah rumah Melayu yang sarat dengan ciri tradisional.
Daripada bentuk luaran hinggalah dekorasi, semuanya melambangkan unsur tradisional.
Pemilik bertindak bijak apabila menggunakan produk yang sememangnya digemari ramai sejak zaman-berzaman iaitu songket sebagai nama restoran ini.
Menurut pemiliknya, Zamri Jemintan, songket dipilih kerana ia merupakan lambang eksklusif dan mempunyai pelbagai corak serta warna yang menarik.
"Pada mulanya saya mahu meletakkan batik sebagai nama restoran tetapi tiba-tiba saya terfikir, lebih baik guna nama songket kerana nampak unsur tradisionalnya. Ia juga sesuai dengan konsep restoran ini.
"Daripada buku menu sehinggalah ke napkin, semuanya menggunakan motif songket untuk menambahkan aura tradisional di sini," ujarnya yang membuka restoran ini tahun lalu.
Rumah kampung
Melangkah masuk ke restoran ini membuatkan penulis berasa seperti meneroka sebuah rumah kampung apatah lagi selepas melihat bumbung kayunya sama seperti yang boleh disaksikan si rumah-rumah Melayu.
"Saya tidak mengupah pereka dalaman. Saya hanya mencuba idea yang diolah sendiri untuk menimbulkan suasana seperti rumah kampung.
"Kesemua bahan dekorasi daripada lampu hiasan hinggalah ke napkin, saya peroleh di dalam negara, tiada satu pun yang diimport.

RUANG bar minuman yang menggunakan teknik sentuhan cat.
"Ini kerana songket sendiri merupakan produk Malaysia. Saya juga mahu mengekalkan aura tradisional Melayu untuk dinikmati oleh pelancong asing yang berkunjung ke restoran ini," tambahnya yang berpengalaman selama 12 tahun dalam bidang masakan.
Jelasnya, dekorasi bahagian luar restoran itu yang menggunakan separuh kayu dan separuh batu turut melambangkan konsep tradisional.
Lengkungan dinding berhias motif songket yang dibingkai cantik menyerikan lagi ruang di restoran ini.
Di sekeliling restoran ini pula, pemilik memilih untuk menanam pokok buah-buahan seperti pisang yang banyak ditemui kampung.
Di bahagian pintu masuk diletakkan beberapa lukisan yang mengambil inspirasi daripada seni bina rumah di negeri-negeri seperti rumah Negeri Sembilan, Kedah dan Johor.
Konsep dalaman restoran ini dimodenkan dengan menonjolkan kesan kreativiti dalam penggunaan bahan, seni bina dan teknik cat sentuhan tangan bagi menghidupkan mood pada permukaan dinding di ruang bar minuman.
Pada asasnya restoran ini terbahagi kepada dua, iaitu ruang makan di sebelah dalam yang berhawa dingin dan teres di bahagian luar.
Ia bagi memberikan suasana santai kepada pengunjung yang sedang menikmati hidangan.
![]() |
|
RUANG makan VIP yang boleh menempatkan 15 orang pada satu-satu masa.
|
Pada waktu malam restoran ini tampak lebih eksklusif kerana disimbahi kerlipan cahaya dan juraian lampu yang menghias siling. Pemandangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) turut dapat disaksikan di bahagian luar restoran ini.
Restoran yang boleh menempatkan 230 orang pada satu-satu masa ini menyediakan persembahan tarian tradisional setiap hari bermula pukul 8.30 malam hingga 9.15 malam.
"Persembahan tarian Melayu, India, Cina serta suku kaum lain dipersembahkan sebagai hiburan kepada pengunjung khususnya pelancong asing.
"Dari situ mereka boleh melihat keunikan budaya di Malaysia," ujarnya sambil menambah, lebih 50 menu pembuka selera ditawarkan dengan harga serendah RM10 hingga RM80.
Restoran Songket dibuka dari pukul 12.30 tengah hari hingga 3 petang. Ia dibuka semula pada pukul 6 petang dan berlanjutan hingga 11 malam pada hari biasa manakala pukul 4 petang hingga 11 malam bagi hujung minggu dan cuti umum.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: