Sunday, October 7, 2012

Boleh dilombong 1,000 tahun lagi



PADA 125 tahun dahulu, nama Sungai Lembing dikenali Barat sebagai perkampungan berbukit yang sangat kaya dengan bijih timah.
Reputasi lombong bawah tanahnya yang pernah diangkat sebagai pengeluar bijih terbesar dunia menjadikan pekan kecil yang terletak 42 kilometer di barat laut Kuantan ini lebih maju dan terkenal berbanding kawasan lain di Pahang.
Malah, ada yang menyifatkan Sungai Lembing lebih dikenali berbanding Kuantan manakala popularitinya sama seperti Singapura ketika itu.
Menurut fakta, lombong bijih bawah tanah di Sungai Lembing dibuka oleh lelaki Cina, Lim Ah Sam pada tahun 1868. Ia kemudian diusahakan secara intensif oleh syarikat yang dikuasai British iaitu The Pahang Corporation Limited pada tahun 1887.
Bagaimanapun, kegiatan perlombongan bijih timah dilakukan secara besar-besaran pada tahun 1906 sebaik sahaja pengurusan lombong diambil alih oleh sebuah syarikat British, The Pahang Consolidated Company Limited (PCCL).
Pada zaman kegemilangannya, Sungai Lembing dilengkapi kemudahan asas seperti sekolah, hospital, balai polis, kediaman tersusun, sistem pengangkutan yang baik dan banyak lagi.
Ikat perut
Namun, harga bijih di pasaran yang jatuh merudum pada tahun 1985 menyebabkan lombong bawah tanah sepanjang 322 kilometer dengan kedalaman sehingga 700 meter itu terpaksa ditutup pada September 1986.

BAHAGIAN muzium yang dibina khas menyerupai keadaan di dalam lombong bijih timah.


"Bila harga bijih jatuh, PCCL tanggung banyak kerugian dan terpaksa hentikan operasinya.
"Bila lombong ditutup dan orang British balik ke England, aktiviti ekonomi di Sungai Lembing yang dahulunya berkembang maju, mula merosot.
"Ramai pekerja lombong terpaksa menganggur dan berpindah ke kawasan lain demi kelangsungan hidup.
"Ketika lombong masih beroperasi, ada lebih kurang 10,000 penduduk di Sungai Lembing dan sebahagian besarnya bekerja di lombong.
"Apabila lombong ditutup, ramai yang hilang pekerjaan dan terpaksa mengikat perut sebelum mendapat kerja baru.
"Hidup pada masa itu memang susah hinggakan ada keluarga yang terpaksa berbuka puasa dengan air kosong dan buah jambu batu," ujar bekas pekerja lombong, Hussin Gapor, 77.
Beliau bagaimanapun sudah berhenti kerja beberapa tahun sebelum PCCL menghentikan oeprasinya.
Lahir dalam keluarga pelombong, Hussin memberitahu, arwah bapanya, Gapor Abu Bakar, merupakan anak kelahiran Sarawak yang merantau ke Sungai Lembing untuk bekerja di situ.
"Menurut cerita bapa yang datang ke sini sekitar tahun 1920-an, selain orang tempatan, ramai orang Sarawak yang datang bekerja di sini, sama ada di lombong, di kilang atau bekerja di pejabat sebagai budak suruhan," ujarnya yang sempat bekerja di empat jabatan berbeza selama 10 tahun berkhidmat di lombong tersebut.
Mendengar pengalaman lelaki ini bekerja di lombong bawah tanah pada tahun 1950-an, rasa kagum menjalar dalam diri.
"Ketika itu, semua pekerja lombong hidup mewah. Makanan, pakaian, ubat-ubatan, malah rokok pun semuanya datang dari England. Kami membelinya di sebuah kedai bebas cukai yang dibina dalam kawasan perkampungan British di sini. Harganya jauh lebih murah daripada yang dibeli di Kuantan.
"Kalau kami ke Kuantan, orang luar memang mudah mengenali orang Sungai Lembing. Kami pakai baju Burdle atau Arrow, seluar Dobi, kasut John White atau Clarks dan menyalakan rokok import.

TEROWONG asal yang menjadi laluan masuk para pekerja lombong suatu masa dahulu.


"Memang bergaya habis. Kalau ada anak dara Sungai Lembing yang dipinang orang, hantarannya juga lebih tinggi berbanding tempat lain," katanya yang diberi gaji 34 dolar British sebulan pada awal tahun 1950-an.
Sebagai hiburan pula, sebuah panggung wayang dibina betul-betul di pekan bagi memberi peluang pekerja dan keluarga menonton filem dari Britain dan Hollywood.
Jawatan terakhir Hussin ialah jurutinjau bawah tanah yang bertanggungjawab memantau keadaan struktur terowong dan memastikan ia selamat dilalui.
"Teknologi perlombongan bawah tanah British memang sangat maju. Mereka sangat peka dengan keselamatan pekerja.
"Keadaan di dalam lombong tidak ubah seperti satu menara yang sangat tinggi, yang dimasuki melalui bahagian atasnya.
"Terdapat lebih 20 tingkat lombong di dalam tanah dan jarak setiap tingkat ialah 30 meter. Di setiap tingkat pula, terdapat banyak cabangnya.
Enam jam
"Empat tahun saya kerja di bawah. Setiap hari, saya akan turun dan meninjau keadaan struktur dan trafik di dalam terowong.
"Namun, seorang pekerja hanya boleh berada di bawah tanah tidak lebih daripada enam jam kerana kekurangan oksigen dan hawanya yang panas boleh menyebabkan pekerja pengsan.
"Disebabkan itu, kami memakai seluar pendek sahaja ketika bekerja di bawah," katanya.
Bagi penyelia letupan terowong, Lee Yon, 71, pengalaman bekerja selama 23 tahun di lombong berkenaan meninggalkan kesan mendalam dalam jiwanya.
"Ia adalah kenangan yang sangat mahal nilainya. Sebagai penyelia letupan terowong, saya ditugaskan hanya untuk meletupkan terowong.
"Tetapi sebelum itu, saya perlu pastikan struktur batunya kuat dan tiada pekerja berada di kawasan berhampiran.
"Selepas meletupkan batu untuk dijadikan terowong, saya dan seorang rakan British akan memastikan struktur bekas letupan kukuh bagi mengelakkan risiko runtuhan," katanya.
Sebagai pengabdian memorinya sebagai bekas pekerja lombong, Yon menebuk bukit kecil di belakang rumahnya untuk dijadikan terowong mini.
"Saya buat sendiri menggunakan tukul besi dan pahat batu. Terowong yang kecil itu mengambil masa lima bulan untuk disiapkan sementara terowong yang lebih panjang saya habiskan masa setahun untuk menebuknya," ujarnya yang membuka galeri kristal di rumahnya.
Sepanjang lebih 100 tahun beroperasi, dianggarkan lombong ini telah mengeluarkan sebanyak 3 bilion tan bijih timah.
Hussin percaya, berdasarkan pemantauannya semasa bekerja dahulu, masih terdapat banyak bijih yang tersimpan di terowong bawah tanah.
"Saya yakin, jika dilombong 1,000 tahun lagi, bijih di Sungai Lembing belum tentu habis. Percayalah," katanya.
Lombong yang terbiar itu sudah lama ditenggelami air dan tidak boleh dimasuki lagi.

BADRUL Hisham di hadapan terowong yang satu masa dahulu dibina khas untuk mengalirkan air yang dipam dari bawah tanah.


"Di bawah ini, terdapat khazanah bumi Pahang yang tidak ternilai jumlahnya. Sayang sekali, dengan keadaannya sekarang, ia hampir mustahil untuk dikeringkan dan dibuka semula.
"Saya harap, kawasan lombong warisan sejarah ini dapat terus dipelihara untuk tatapan generasi akan datang," ujar Hussin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: