|
|
VANESSA TSHAI, 31, selesa mengenakan seluar jean serta baju-T ringkas semasa bekerja mahupun berlibur. Malah, pada usia yang masih muda, dia sudah pun memiliki perniagaan sendiri dalam bidang hiasan dalaman.
Walaupun bergelar bos wanita, dia tidak menyerahkan segala urusan bulat-bulat kepada pekerjanya.
Ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Kajang, Selangor baru-baru ini, alat penggerudi elektrik sentiasa ada di tangannya. Vanessa menggunakan alat itu untuk menyiapkan rekaan berasaskan kayu seperti almari dan dinding untuk hiasan dalaman rumah pelanggannya.
“Jangan sangka wanita tidak boleh buat kerja-kerja berat serta rumit yang selalunya dilakukankan kaum lelaki. Saya sebenarnya mahir menggunakan gerudi ini sejak berumur lapan tahun lagi.
Nasi Arab
“Bukan itu sahaja, saya juga boleh menggunakan mesin pemotong serta gergaji elektrik,” katanya.
Ternyata, Vanessa teliti dalam kerja menyiapkan rak perhiasan itu.
“Cuma kini saya mempunyai 10 pekerja yang membantu melakukan kerja-kerja sebegini. Jadi, saya boleh menumpukan perhatian pada rekaan serta berhubung dengan pelanggan,” katanya.
Keberanian Vanessa berbaloi apabila dia mendapat kepercayaan ramai pelanggan termasuk yang datang dari Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Tutur Vanessa, projek rumah mewah di Dubai merupakan yang paling mencabar untuk dirinya.
Ini kerana dia perlu menyiapkan kelengkapan dan hiasan dalaman kediaman yang dibina di padang pasir.
“Selain itu, kos pergi dan balik ke negara itu menelan belanja yang tinggi, jadi hasilnya harus pada tahap maksimum.
“Ini juga dapat membina reputasi syarikat saya kerana Dubai dikenali dengan kemasukan pelbagai pelabur asing dari seluruh dunia. Dengan bantuan rakan-rakan, projek itu dapat disiapkan mengikut jadual,” cerita Vanessa.
Mengimbau kembali kenangan menyiapkan projek itu pada tahun 2009, Vanessa berkata, dia tertarik dengan kepelbagaian makanan serta kecanggihan struktur bangunan di negara Arab itu.
“Saya gemar makan nasi Arab. Boleh dikatakan hampir setiap hari.
“Tetapi ia tidak menggemukkan. Rasanya juga enak,” katanya.
Wanita ini secara jujur menceritakan bahawa dia bagaimanapun tidak tertarik dengan lelaki Arab yang agak kacak penampilannya walaupun dirinya masih bujang.
Tidak lengkap berbicara dengan Vanessa sekiranya tidak berbual mengenai perniagaannya kini.
Dia menceritakan, perniagaannya bermula sebaik sahaja menamatkan pengajian di Universiti Metropolitan Manchester, Britain pada tahun 2004.
Sebelum itu, dia memperoleh pengalaman berguna kerana membantu menyiapkan bangunan Royal Bank of Scotland semasa menjalani latihan praktikal dengan Sheppard Robson yang merupakan antara 10 firma arkitek terkenal di London.
“Sebaik sahaja tamat pengajian, saya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah bermodalkan sebuah komputer riba.
“Saya berhubung dengan pelanggan yang diperkenalkan oleh rakan-rakan menggunakan e-mel,” ujarnya.
Todak
Bercerita mengenai hiasan dalaman, Vanessa berkata, ia tidak memerlukan perbelanjaan yang besar.
“Apa yang penting ialah ruang, pencahayaan selain pemilihan warna yang betul untuk hiasan dalaman yang menarik,” ujarnya.
Vanessa turut berkongsi mengenai kegemarannya melancong khususnya ke negara seperti Perancis, Itali, Singapura dan negara-negara Asia Barat.
“Melancong bukan sekadar untuk menenangkan fikiran. Saya mempelajari rekaan terkini hotel dan kediaman mewah di negara yang dilawati,” katanya.
Jarang sekali wanita gemar memancing tetapi tidak bagi Vanessa yang tidak lepas daripada senyuman ini.
“Saya mula serius dengan hobi memancing sejak setahun yang lalu. Selalunya saya memancing di laut bersama rakan-rakan.
“Kebiasaannya, kami akan menyewa bot untuk tujuan itu. Ia mengambil masa selama beberapa hari di laut. Ikan yang gemar dipancing pula ialah ikan todak dengan lokasinya biasanya di Pulau Pangkor, Perak.
“Ikan todak sifatnya lebih agresif dan gemar melompat tinggi sekali gus membuatkan adrenalin si pemancing memuncak,” cerita Vanessa.
Selain itu, dia juga gemar memancing di kolam ikan sewaan sekitar rumahnya.
“Memancing adakalanya memenatkan dan membosankan kerana kita perlu menunggu lama sebelum umpan dimakan ikan ,” terang Vanessa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: