Monday, October 22, 2012

Bantu anak kelaparan

Kakitangan 101 Hair Care menyertai sokongan terhadap program penajaan 101 kanak-kanak melarat .
TidaK semua syarikat berbangga dan melaung-laungkan usaha murni yang mereka buat terutama apabila melibatkan derma dan sumbangan.
Ada yang mengambil pendekatan melakukan kebajikan secara tertutup seperti yang dilakukan oleh 101 Hair Care.
Syarikat penjagaan rambut terkemuka itu sebenarnya telah mengumpul dana sejak tahun 1997 lagi demi membantu 101 kanak-kanak yang hidup melarat di seluruh dunia.
Kanak-kanak tersebut dipilih menerusi program tahunan Penajaan Kanak-Kanak World Vision Antarabangsa.
Sejak 15 tahun lalu syarikat tersebut telah mengumpul sebanyak RM211,800 dan untuk tahun ini sahaja mereka menyerahkan sejumlah RM60,000 kepada program tersebut menerusi penjualan set penjagaan rambut untuk tujuan amal.
Hanya pada tahun ini saja baru mereka mengambil keputusan menghebahkan kerana mahukan penglibatan lebih ramai orang dalam program amal itu.
Pengarah Eksekutif 101 Hair Care, Ricky Thye berkata, untuk tahun ini 101 Hair Care sekali lagi menaja 101 kanak-kanak dari Kemboja, China, India, Indonesia, Lebanon, Myanmar, Thailand dan Vietnam di bawah Program Penajaan Kanak-Kanak World Vision Antarabangsa.
"Kami bukan saja membantu kanak-kanak ini malah kami membuka peluang kepada sesiapa sahaja di kalangan rakyat Malaysia yang ingin melawat, mengenali, dan beramah mesra dengan kanak-kanak tersebut menerusi pakej amal kami.
"Sesiapa yang membeli mana-mana pakej amal 101 Hair Care mendapat peluang eksklusif untuk memohon menyertai 'Program Pembangunan Kawasan' World Vision di mana mereka hanya dikenakan bayaran minimum untuk pakej lawatan," jelasnya.
Program Pembangunan Kawasan berkonsepkan amal itu akan menganjurkan dua lawatan untuk 24 peserta ke dua negara iaitu Thailand dan Vietnam yang menempatkan 29 kanak-kanak tajaan.
"Hanya siapa cepat yang akan dapat mengikuti program ini. Seramai 12 orang bertuah boleh melawat Thailand untuk bertemu dan beramah mesra dengan sembilan kanak-kanak tajaan. Pakej lawatan ini serendah RM2,700 untuk lima hari empat malam termasuk tiket penerbangan, penginapan dan makan
"Manakala 12 orang lagi berpeluang melawat Vietnam untuk bertemu dengan 20 kanak-kanak tajaan. Pakej lawatan ini pula serendah RM2,600 untuk lima hari empat malam termasuk tiket penerbangan, penginapan dan makan," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif World Vision Malaysia, Liew Tong Ngan, berkata, kelaparan adalah satu daripada ribuan isu global yang menghimpit dunia hari ini.
"Lebih 925 juta orang kelaparan di seluruh dunia manakala hampir lima juta kanak-kanak bawah umur lima tahun mati setiap hari disebabkan kekurangan zat makanan, kebuluran dan penyakit yang boleh dicegah.
" Banyak yang perlu dilakukan dan kami menghargai sokongan 101 Hair Care dalam usaha menangani isu penting ini," ujarnya.
Menurut hasil kajian Facing the Future, Think Quest and Hunger Relief Organizations, pada Mac 2012 angka kebuluran dunia memang mencapai ke tahap membimbangkan.
Laporan tersebut menyatakan pada tahun ini sahaja seramai 2,073,588 penduduk dunia akan mati akibat kelaparan.
Memandangkan bilangan penduduk dunia yang kelaparan semakin meningkat, syarikat penjagaan rambut itu telah memberikan komitmen untuk menyokong kempen 30-Hour Famine sebagai langkah susulan bagi menyokong transformasi kekal dalam kehidupan kanak-kanak dan komuniti mereka.
Bagi menyelami sendiri keadaan yang dialami orang mereka yang ditimpa bencana, baru-baru ini 101 Hair Care telah menganjurkan kem DIY.
Ia disertai oleh lebih 50 kakitangan dengan matlamat berganding bahu dalam perjuangan menangani isu kelaparan global.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: