Monday, October 22, 2012

Senyuman anak yatim

Kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Johor dan Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Sinar Juita begitu gembira dapat mengunjungi Legoland Malaysia.
PELUANG mengunjungi taman tema seperti di Legoland Malaysia yang sedang hangat ketika ini, tidak datang selalu apatah lagi bagi anak-anak yatim yang kurang bernasib baik.
Oleh itu kesempatan yang diberikan atas ihsan pihak yang prihatin kepada 30 anak yatim berusia antara 8 hingga 15 tahun dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Johor dan Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Sinar Juita, sememang sesuatu yang amat disyukuri.
Program melawat Legoland Malaysia oleh Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia), cukup menceriakan kanak-kanak ini yang sekurang-kurangnya menjadi antara pengunjung terawal taman tema yang baru beroperasi itu.
"Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang prihatin kerana memberikan peluang kepada anak-anak ini untuk mengukir kenangan yang indah.
"Jarang sekali mereka mendapat peluang untuk mempelajari sesuatu yang menyeronokkan, malah pada masa yang sama mendapat khasiat yang sebaiknya, " kata Mohd Fizhan Mohd. Soib, pegawai pembantu Badan Kebajikan Masyarakat.
Beliau yakin hari tersebut pasti merupakan hari yang akan dikenang pada sepanjang hayat dan sudah pasti akan terukir di hati mereka.
Dalam pada itu. Pengurus Pemasaran syarikat produk tenusu itu, Ramjeet Kaur Virik menjelaskan, melalui kerjasama dengan Legoland Malaysia, pihaknya mengambil peluang untuk membawa kegembiraan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
"Kami juga ingin membantu kanak-kanak ini merasai pengalaman yang menyeronokkan sekali gus mendorong perkembangan dan pembesaran mereka," ujarnya.
Menurutnya lagi, jiwanya tersentuh apabila melihat keseronokan yang terpancar pada wajah kanak-kanak ini ketika mereka memasuki taman tema tersebut.
Mereka begitu teruja dan mengambil bahagian secara bersungguh-sungguh di dalam setiap aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut.
"Ia adalah hari di mana kami menyatukan kebaikan khasiat membesar bersama pembelajaran menyeronokkan bagi perkembangan mental dan fizikal yang menyeluruh," jelas Ramjeet.
Kemuncak hari tersebut termasuklah sesi mendidik kanak-kanak yang hadir tentang kebaikan meminum susu bagi menyemai sikap pengambilan makanan berkhasiat.
Selain itu diadakan juga pertandingan kitar semula bagi menyedarkan kepentingan pemeliharaan alam sekitar, permainan dan aktiviti lain yang menyeronokkan.
"Ketika bermain, itulah detik yang dirasakan sebagai detik yang paling bersemangat, namun ia sering dipandang remeh atau diabaikan.
"Bermain bukanlah satu kelebihan untuk kanak-kanak, tetapi ia satu keperluan. Bermain juga penting untuk kesihatan mental dan fizikal mereka malah sumber rehat dan dorongan untuk otak dan tubuh.
"Jika anda fikirkan apa yang telah saya ucapkan tentang bermain, anda pasti akan faham mengapa kami di Dutch Lady Malaysia memperluaskan acara ini dengan membawa tetamu istimewa kami untuk bermain di sebuah lokasi yang tidak asing lagi - Legoland Malaysia," jelas Ramjeet.
Dutch Lady Malaysia juga telah melancarkan dua program lain sempena kerjasama mereka dan Legoland Malaysia, iaitu Kids Go Free dan peraduan Buy and Be Rewarded.
Kids Go Free dtawarkan kepada kanak-kanak berusia 3 hingga 11 tahun untuk berkunjung ke taman tema itu secara percuma dari September sehingga Mac 2013, sementara peraduan Buy and Be Rewarded yang berlangsung dari 1 Oktober sehingga 25 November 2012 pula menawarkan hadiah-hadiah yang menarik bernilai sehingga RM300,000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: