Edd Razhe dan Maya Karin bersiap untuk penggambaran AirAsia Travelog di Paris
OUI Paris! Banyak tempat menarik boleh dilawati dan bermacam-macam aktiviti boleh dilakukan di Kota Paris - tepuk dada tanya selera, semuanya bergantung pada tujuan kunjungan anda sama ada sekadar mahu mengenali negara orang, menikmati keindahan alam semula jadinya atau membeli-belah.
Kota Paris menghidangkan segala-galanya untuk setiap pengunjungnya, daripada bangunan bersejarah termasuk istana peninggalan kerajaan zaman terdahulu, pantai yang indah dan tersohor, ladang di kaki gunung yang menghijau dan nyaman, deretan butik terkenal, gedung beli-belah ternama serta rangkaian restoran mewah yang menyelerakan.
Semua `hidangan’ yang tersedia itu dibongkar menerusi kunjungan hos dan krew program AirAsia Travelog ke kota yang dianggap jantung Eropah itu, baru-baru ini.
Travelog yang menampilkan Edd Razhe selaku hos tetap, adalah program terbitan AirAsia dengan kerjasama stesen televisyen nombor satu negara, TV3, bersiaran mulai hari ini (20 November 2011).
Program yang baru diperkenalkan ini antara lain bertujuan mempromosikan destinasi utama yang dikunjungi AirAsia dan AirAsia-X di seluruh dunia.
Menerusi slot pertama AirAsia Travelog, Edd Razhe bergandingan dengan pelakon dan penyanyi popular, Maya Karin, mempromosikan Paris yang terkenal sebagai Kota Fesyen.
Dalam kunjungan ke ibu negara Perancis ini, Edd Razhe dan Maya Karin ditemani sekumpulan wartawan dan krew TV3 menjelajah ke serata pelusuk kota untuk merakamkan pelbagai bingkisan buat hidangan penonton AirAsia Travelog, khususnya mereka yang menyimpan cita-cita untuk mengunjungi Paris, satu masa kelak.
Edd Razhe, Pembantu Peribadi kepada Ketua Pegawai Operasi (CEO) AirAsia, Tan Sri Tony Fernandez, dan Timbalan CEO Air Asia, Datuk Kamarudin Meranun, turut menjadi hos bersama artis dan selebriti popular lain mempromosikan beberapa destinasi yang menjadi persinggahan pesawat AirAsia dan AirAsia-X.
Sejurus menjejakkan kaki di Paris, rombongan Travelog bergegas ke Eiffle Tower untuk menyaksikan sendiri keunikan struktur besi yang menjadi satu daripada objek yang tersenarai dalam tujuh keajaiban dunia. Kunjungan ke kota romantis ini pasti dianggap tidak lengkap sekiranya tidak bergambar di Menara Eiffle.
Pemerintah Perancis juga kini giat mempromosikan Deauville, pekan kecil di pesisir pantai yang pernah menjadi penempatan suku puak Normandy pada awal pembukaan negara berlogo ayam jantan itu. Pemandangan dari puncak bukit menghadap Laut Mediterranean di pinggir Deauville amat mengasyikkan, justeru tidak hairanlah mengapa pekan itu sering menjadi tumpuan golongan hartawan dan selebriti dari serata dunia, termasuk Hollywood.
Deauville terletak sekitar dua jam perjalanan berkereta dari Kota Paris dan sentiasa penuh dengan pelawat dari dalam dan luar negara pada setiap hujung minggu dan di sini pelawat berpeluang melihat selebriti dan artis terkenal bersantai di tepian pantai atau bersiar-siar dengan basikal.
Rombongan Travelog seterusnya berkunjung ke Chateau Versailles, istana yang dibina pada kurun ke-17 oleh Raja Louis XIII. Bangunan yang diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia dan menerima sekitar 15 juta pengunjung setahun, ini adalah tempat bersemayam keluarga diraja sejak 1682 selain menjadi pusat pemerintahan kerajaan Perancis pada zaman dahulu.
Selepas penat menikmati keindahan istana dan lukisan serta pameran pakaian diraja di dalamnya, hos bersama krew dan rombongan berpeluang melakukan aktiviti `window shopping’ di gedung dan butik tersohor yang berceracak di serata pelusuk Kota Paris terutama di sekitar Champs …lyses yang sungguh mempersonakan. Jangan terkejut jika anda terlihat ratusan manusia berbaris panjang untuk memasuki butik eksklusif kerana itu memang budaya membeli-belah di sana.
Pakej lawatan lima hari empat malam bagaikan tidak memadai untuk menjelajah ke seluruh Kota Paris, apatah lagi seharian suntuk terpaksa dihabiskan di kampung `factory outlet’ di val d’Europe atau lebih dikenali sebagai La Vallee Village yang terletak di pinggir ibu negara Perancis itu, Perkampungan ini menempatkan butik hampir kesemua produk berjenama terkenal dunia dan sentiasa menawarkan potongan harga istimewa - sekitar 30 hingga 40 peratus lebih murah berbanding di tempat lain.
Sebenarnya banyak lagi tempat menarik yang boleh dikunjungi di Kota Paris seperti gereja Notre-Dame de Paris yang dikatakan terletak di tengah-tengah negara Perancis. Selain itu, Arc de Tromphe atau gerbang kejayaan, Musee du Louvre (binaan kaca berbentuk piramid), Opera - Grands boulevards, Galeri La Fayatte dan banyak lagi. Kalau bernasib baik, anda mungkin berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen yang kebiasaannya berlangsung pada akhir September atau awal November di Espace Ephemere Tuileries, tengah Kota Paris.
Soal makanan halal bukan masalah bagi pelancong dari negara Islam, termasuk Malaysia kerana banyak restoran, kafe atau bistro diusahakan pendatang dari Asia Barat terutama Algeria di sekitar kota yang tidak pernah tidur sepanjang hari, menyajikan makanan yang dinikmati tanpa was-was.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: