BERITA keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memilih Malaysia sebagai venue perlawanan playoff Kelayakan Olimpik 2012, 25, 27 dan 29 Mac depan, menjadi tonik terbaik skuad B-22 negara menjelang pertemuan berdepan Bahrain, malam esok.
Lantas jurulatih Ong Kim Swee menetapkan sasaran tiga mata penuh pada aksi ketiga Kumpulan C itu bagi memastikan Malaysia terus berpeluang menamatkan saingan di tangga kedua, seterusnya layak untuk aksi playoff itu.
Selepas aksi Ahad ini, tiga baki perlawanan Kumpulan C menyaksikan Malaysia bertemu Bahrain di tempat lawan pada 5 Februari depan, Jepun di Bukit Jalil (22 Februari) dan Syria di tempat lawan (14 Mac).
Aksi playoff secara liga sepusingan bakal membabitkan naib juara Kumpulan A, B dan C itu adalah untuk memilih satu pasukan bagi menghadapi pasukan keempat terbaik Zon Afrika dan pemenangnya akan layak ke Sukan Olimpik London 2012.
Namun untuk aksi malam esok, Kim Swee tidak dapat menurunkan tonggak pertahanan, Muslim Ahmad yang cedera hamstring ketika skuad negara tewas 0-2 kepada Syria, Rabu lalu manakala peluang Irfan Fazail dan Syahrul Azwari Ibrahim yang hanya menjalani latihan ringan semalam, masih 50-50.
“Tanpa Muslim, Fadhli Shas yang sudah pulih daripada demam panas akan bergandingan dengan Amer Saidin. Bukan memandang rendah Bahrain, tapi pemain sudah kembali segar dan bersedia untuk perlawanan itu,” jelas Kim Swee.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: