
SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Kalau dulu kebanyakan pelawak hanya dikelaskan sebagai bukan golongan yang diutamakan, nampak gayanya ia sudah mula berubah sedikit demi sedikit.
Bagi Along dan Angah yang dicungkil daripada program Raja Lawak, bukan soal tawaran yang tak putus-putus yang harus dibanggakan. Sebaliknya mereka lebih berbangga apabila status sebagai pelawak itu sendiri dipandang lebih tinggi.
“Ini memang perkembangan yang sihat sebenarnya. Kalau satu ketika dulu kita selalu kekurangan pelawak yang hebat tetapi kini kita dah ada barisan pelawak yang pelbagai.
“Saya bangga apabila ramai muka-muka baru yang muncul seperti Nabil. Kalau tengok pada dia, dia merupakan pelawak yang mampu berdiri sendiri dan mampu bersaing dengan pelawak-pelawan urban yang lain.
“Tak hairanlah kalau kita tengok kebanyakan pelawak sekarang banyak menerajui filem-filem mahupun drama.
“Tak semua orang nak tengok cerita berat. Kalau dari mula sampai ke akhir cerita berat, penerbit biasanya akan suntik elemen humor untuk meredakan tekanan,” jelas Along lagi.
Selain filem Alamak Toyol yang sudahpun menemui peminat pada 3 November yang lalu, Along akan muncul dengan filem Satu Malam Kubur Berasap, Adnan Sempit 2, Jidin Sengal, Taikun dan banyak lagi.
Akui Along lagi, kebanyakan filem-filem lakonannya merupakan filem komedi yang memang sudah sebati dengan dirinya. Dia langsung tidak kisah untuk digandingkan bersama Angah memandangkan mereka sudah kenal sejak sebelum bergelar artis lagi.
“Saya kenal Angah masa kami belum jadi artis. Memang banyak permintaan penerbit yang mahu menggandingkan kami.
Angah enggan klise
SETIAP pelawak yang muncul mempunyai gaya masing-masing. Cuma apabila terlalu kerap gaya tersebut dipertontonkan kepada umum, peminat mula melabelkan lawak itu klise.
Cukup terpukul jika apa yang dipersembahkan tidak mendapat sambutan daripada penonton, bagi Angah sesuatu perlu dilakukan untuk mengelakkan peminat terus bosan dengan lawak jenakanya.
“Peminat adalah segala-galanya. Kalau mereka tak suka dengan hasil kerja saya, itu sudah membuatkan saya susah hati.
“Nak berlawak ni bukan mudah. Setiap kali muncul atas pentas orang sentiasa nak kelainan dan nak sesuatu yang baru. Sukar sebenarnya tugas nak menghiburkan orang.
“Lawak kena bertempat, tak boleh over sebab kita hidup dalam masyarakat yang beradab. Apa-apa pun saya kena balik rumah dan perah otak agar orang tak lihat saya klise macam biasa,” kata Angah lagi.
Kejayaan yang dikecapi hari ini bukan datang bergolek. Dalam pada seronok melayan cerita-cerita indah yang bakal dipersembahkan nanti, Angah terkenang saat mula bergelar anak seni dulu.
Ketika itu masih tidak ada tawaran sebanyak ini. Lebih kurang setahun setengah juga melalui kehidupan dengan keperitan, akhirnya segalanya terbalas juga.
“Orang nampak bakat saya sebab itu orang pilih saya berlakon. Saya bersyukur sangat sebab tawaran yang diterima tak putus-putus sampaikan tahun ini saya hanya berehat dalam bulan Ramadan yang lalu.
“Bila banyak berlakon saya risau orang juga nampak watak saya klise. Sebab itu pentingnya seseorang pengarah untuk menentukan arah mana yang perlu saya buat supaya tak dilihat sama dalam setiap filem.
“Orang selalu cakap kalau filem kita keluar tiap-tiap bulan di panggung, peminat akan mudah bosan. Saya rasa kenyataan itu kurang tepat jika kita memberi kelainan dalam setiap filem,” jelas Angah.
Bagi pelakon kecil Afiq pula, dia cukup teruja apabila berpeluang membawakan watak toyol dalam filem ini memandangkan itu merupakan penglibatan pertamanya ke layar perak.
“Saya kena datang awal ke set setiap hari. Setiap hari kena cat badan warna hijau sampai habis gatal-gatal satu badan. Yang paling ketara bila saya kena berlakon dengan dua pelawak yang popular ni.
“Kalau setakat kena buli tu memang perkara biasa di set. Watak saya kali ini tak ada dialog memandangkan saya merupakan toyol yang masih kecil dan tak pandai mencuri.
“Semua aksi saya buat sendiri. Tapi memang puas dapat berlakon dalam filem ini,” kata Afiq yang baru sahaja berusia 12 tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: