KUALA TERENGGANU - Taktik seorang peniaga kantin sekolah menyorokkan syabu di dalam bekas kaca mata bagi mengaburi mata pihak berkuasa tidak menjadi setelah dia ditahan dalam satu pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Terengganu, 17 November lalu.
Berikutan penahanan itu, tertuduh, Azlan Mohd Kassim, 27, dari Kampung Sungai Buluh, Siding, Karangan, Kedah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan memiliki dadah jenis syabu, berat kasar tujuh gram di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta di Medan Selera Pantai Batu Burok, di sini.
Tertuduh yang baru lapan bulan mendirikan rumah tangga itu hanya mengangguk faham ketika pertudu-han dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Rosila Nik.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, pada 17 November lalu kira-kira jam 12.30 malam di dalam sebuah kereta Proton Waja di tempat letak kereta di Medan Selera di Pantai Batu Burok, di sini, didakwa memiliki dadah dipercayai syabu berat kasar tujuh gram.
Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kastam Terengganu, Zaizul Azli Mohammad Zain manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Rosila seterusnya menetapkan 10 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Berdasarkan fakta kes, anggota Kastam menerima maklumat awam memberitahu tertuduh ada membawa dadah sebelum mengekorinya sehingga ke lokasi kejadian.
Sejurus tiba di lokasi, anggota Kastam telah memperkenalkan diri dan menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan yang dipandu tertuduh.
Hasil pemeriksaan dijalankan, dadah dipercayai syabu seberat tujuh gram berjaya ditemui yang disorokkan di dalam bekas kaca mata miliknya di dalam kereta tersebut.
Difahamkan, tertuduh merupakan pesalah pertama melibatkan jenayah dadah yang ditahan dan didakwa oleh Kastam Terengganu sehingga semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: