
JAKARTA - Skuad lawan pedang negara boleh mendabik dada selepas mengakhiri misi mereka pada temasya Sukan SEA 2011.
Dengan kutipan dua pingat emas dan lima gangsa, ia dianggap suatu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana sebelum hadir ke Jakarta, mereka hanya meletakkan sasaran satu emas, satu perak dan satu gangsa.
Pada hari terakhir acara lawan pedang yang dilangsungkan di Universiti Balairung Indonesia, Depok di sini semalam, skuad negara tidak pulang dengan tangan kosong.
Sebaliknya, mereka berjaya memenangi pingat emas yang diperoleh dalam kategori sabre berpasukan lelaki.
Dengan dibarisi Muhammad Radhi Hasim, Yu Peng Kean dan Liong Min Chang, trio negara itu menyingkirkan gandingan Vietnam dengan kiraan mata 45-37 dalam saingan final.
Terdahulu, mereka membenam cabaran trio Indonesia 45-33 di peringkat suku akhir sebelum menewaskan gandingan Vietnam 45-38 pada aksi separuh akhir.
Kejayaan trio negara itu memenangi emas, sekali gus mengikut jejak langkah Joshua Koh yang terlebih dahulu muncul juara dalam kategori epee individu lelaki.
"Syukur alhamdulillah... skuad lawan pedang negara berjaya merangkul dua pingat emas pada Sukan SEA kali ini. Kejayaan Joshua meraih emas ternyata telah membuka peluang untuk kita meraih emas kedua hari ini (semalam).
"Memang pada awalnya, kami meletakkan harapan untuk meraih emas dalam kategori ini (sabre berpasukan lelaki) dan saya amat gembira kerana berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan," kata pengurus skuad lawan pedang negara, Mohd. Riduan Abdul kepada Kosmo! semalam.
Beliau berkata, kejayaan skuad lawan pedang negara meraih dua pingat emas pada Sukan SEA kali ini bukan satu kejutan.
"Ini disebabkan kita menampilkan ramai atlet-atlet yang berpengalaman dan mereka ini telah beraksi pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand. Pada Sukan SEA di Korat, mereka masih muda dan kurang pengalaman.
"Tetapi kini mereka telah menunjukkan mutu persembahan serta prestasi yang baik sehingga membolehkan skuad lawan pedang menyumbang dua pingat emas pada Sukan SEA di Jakarta," katanya.
Sebagai rekod, acara lawan pedang tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2009 di Vientianne, Laos.
Kali terakhir skuad lawan pedang meraih emas Sukan SEA adalah pada edisi 1989 di Kuala Lumpur.
Kejayaan Joshua meraih pingat emas pada Ahad lalu sekali gus mengakhiri penantian skuad lawan pedang negara selama 22 tahun bagi meraih emas pada temasya dwitahunan itu.
Sementara itu, skuad boling negara terus menuai pingat emas apabila gandingan Adrian Ang, Alex Liew, Zulmazran Zulkifli, Aaron Kong, Muhd. Nur Aiman Khairuddin, Muhd. Syafiq Ridhwan Abdul Malek mengungguli kategori berpasukan lelaki.
Pada saingan yang berlangsung di Pusat Boling Ancol Jaya semalam, mereka merekodkan keseluruhan 6,241 jatuhan pin bagi meninggalkan Filipina (6,032) dan Indonesia (5,873) yang masing-masing memenangi perak dan gangsa.
Bagaimanapun, Gandingan wanita negara Sin Li Jane, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi, Jacqueline Sijore, Sharon Koh dan Zatil Iman Abdul Ghani pula menyumbang gangsa apabila melakukan 5,788 jatuhan pin.
Emas kategori berpasukan wanita dimenangi Singapura (6,332), manakala Indonesia meraih pingat perak dengan 5,846 jatuhan pin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: