Friday, November 4, 2011

Sedia latihan kecantikan

IKHLAS...minat dalam bidang kecantikan menjadi pendorong Huzalfah mengendalikan kursus latihan usahawan wanita secara salun di rumah.
IKHLAS...minat dalam bidang kecantikan menjadi pendorong Huzalfah mengendalikan kursus latihan usahawan wanita secara salun di rumah.

WALAUPUN ketika itu memiliki kerjaya tetap yang menawarkan pendapatan lumayan setiap bulan, minat dalam bidang kecantikan mendorong�nya mengambil tindakan drastik dengan berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang berkenaan.

Bagi Huzalfah Shamsudin, 37, kesungguhan meneruskan kerjaya dalam bidang perkhidmatan kecantikan itu akhirnya memberikan pulangan lumayan yang tidak pernah diimpikannya.

Malah, sejak memulakan perniagaan perkhidmatan rawatan kecantikan JomCantik dari rumah ke rumah pada 2006, boleh dikatakan rezekinya tidak pernah putus.

Waktu itu, tidak ramai yang berani mengendalikan perkhidmatan terus dari rumah ke rumah kerana bimbang ia tidak boleh berkembang lebih jauh, malah mereka juga tidak didedahkan dengan proses pengendalian perniagaan dengan betul.


“Saya tidak pernah mengambil tahu mengenai pandangan dan pendapat orang luar kerana tahu apa yang saya lakukan ini betul dan ikhlas untuk membantu pelanggan terutama wanita mendapatkan perkhidmatan kecantikan secara mudah dan pada harga berpatutan.


“Walaupun nampak sukar, kepuasan yang diperoleh daripada ucapan terima kasih pelanggan memang sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya ketika ditemui di kedainya di Sri Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Walaupun bekerja di rumah ataupun menawarkan perkhidmatan perawatan dari rumah ke rumah, konsep rawatan kecantikan yang diberikan masih menyamai perkhidmatan
di salun.

Di samping itu katanya, jangan terkejut apabila perolehan pendapatan daripada khidmat servis dari rumah ke rumah itu mampu menjengah lima angka setiap bulan.

Malah, ramai beranggapan ia sesuatu yang sukar dilakukan, tetapi dengan teknik dan cara yang betul serta kesungguhan mengusahakannya, segalanya mampu dimiliki.

“Tidak dinafikan mungkin peralatan yang digunakan tidak secanggih dan semewah berada di salun, tetapi ia memberikan lebih keselesaan kerana berada di rumah sendiri tanpa kehadiran mereka yang tidak dikenali.

“Malah, pelanggan tidak perlu lagi bersusah payah keluar untuk ke salun sebaliknya hanya membuat panggilan dan melakukan temu janji menetapkan jenis rawatan, kita akan datang untuk melakukannya,” katanya.

Selain menyediakan perkhidmatan terus dari rumah ke rumah, kini JomCantik turut menyediakan latihan kepada usahawan wanita yang ingin berjinak-jinak dengan dunia perniagaan kecantikan dan menyediakan tiga kursus utama membabitkan rawatan rambut, wajah serta mekap andaman.

Katanya, sesiapa saja yang mempunyai minat tidak kira wanita berkerjaya, suri rumah, graduan serta mereka yang tidak ada pengetahuan dalam bidang kecantikan boleh menyertainya.

“Peserta diajar cara penyediaan perkhidmatan dan sebaiknya memulakan dengan satu jenis rawatan sebelum dinaik taraf dan menyediakan dengan pelbagai bentuk rawatan.

“Ia bertujuan memberikan peserta lebih kemahiran dalam satu-satu bidang berbanding mencuba semua perkara hingga mengabaikan keselesaan dan kepuasan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Huzalfah berkata, pusat latihan usahawan JomCantik juga melancarkan Program Rakan Kursus bertujuan melatih 20 rakan kursus terlatih setiap tahun yang mana perniagaannya mendapat pemantauan menyeluruh daripada JomCantik.

Program ini diadakan bagi menyediakan kemahiran kecantikan kepada rakan kursus agar dapat menyediakan perkhidmatan rawatan sama ada di salun, beroperasi dari rumah ataupun secara bergerak.

Malah, di akhir kursus ini setiap rakan kursus mampu mengendalikan kursus kemahiran kecantikan sendiri di bawah penjenamaan JomCantik di tempat mereka selain menikmati pendapatan lumayan.

“Kursus ini membantu menyediakan peluang kepada mereka yang mempunyai minat, tetapi tidak mengetahui cara untuk mengendalikannya. Ini kerana selain penyediaan kursus, JomCantik juga akan membantu menyediakan promosi dan memantau kadar perolehan usahawan berkenaan, produk digunakan serta khidmat sokongan.

“Boleh dikatakan ia bertujuan menjadikan usahawan rakan kursus ini sebagai pelapis baru kepada francais mini JomCantik, tetapi berasaskan perniagaan mereka sendiri,” katanya.

Di samping itu, Huzalfah berkata, untuk perancangan masa hadapan pula dia berharap dapat menyediakan lebih banyak kursus kecantikan berorientasikan perniagaan dari rumah serta menjadi akademi kecantikan profesional salun rumah terkemuka.

“Saya ingin memperluaskan lagi pusat latihan JomCantik ke seluruh negara bagi membantu membimbing usahawan wanita dalam memulakan perniagaan mereka.

“Dengan ini wanita boleh memiliki pendapatan sampingan dalam membantu mengurangkan perbelanjaan harian keluarga,” katanya.

Selain itu, katanya pusat latihan ini turut bekerjasama dengan banyak pihak seperti institusi pengajian tinggi, kolej serta organisasi sokongan usahawan lain dalam usaha membantu lebih ramai wanita memulakan perniagaan kecantikan berjaya.

“Saya juga ingin memastikan matlamat dan objektif utama JomCantik boleh dinikmati semua dan dengan ini wanita tanpa mengira taraf pendidikan ataupun bangsa boleh menerima manfaat daripadanya.

“Kepuasan yang diperoleh atas usaha membantu mereka memerlukan menjadikan saya lebih semangat untuk memastikan impian dan cita-cita saya tercapai demi kebaikan semua pihak,” katanya.



PROFIL:

NAMA: Huzalfah Shamsudin
USIA: 37 tahun
ASAL: Klang, Selangor
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kewangan, Universiti Teknologi Mara
STATUS: Bujang
ADIK-BERADIK: Anak pertama daripada empat beradik
KERJAYA: Pengasas JomCantik (pusat latihan usahawan salun di rumah)
HOBI: Melancong

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: