Friday, November 4, 2011

Se-merah Padi ke teater

Filem Se-Merah Padi arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1956 antara filem yang diperkatakan kerana menonjolkan isu Islam sebagai temanya.

Filem yang menampilkan P. Ramlee, Nordin Ahmad dan Saadiah itu akan dibawa ke pentas teater Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 22 hingga 31 Disember ini. Pasti ia sesuatu yang dinanti-nanti oleh peminat filem-filem klasik.

Fauzi teruja lakon teater purba.

Teater terbitan Keno Production arahan Rosdeen Suboh itu menampilkan Zulhuzaimy Marzuki sebagai Aduka, Fauzi Nawawi (Taruna) dan Jue Aziz (Dara). Turut berlakon Fazlina Ahmad Daud sebagai ibu Dara, Baby Erin sebagai Galak, Azizah Mahzan sebagai emak Aduka dan Datuk Baharuddin Omar sebagai penghulu.

Penerbit Eksekutifnya, Megat Mohd. Noor Salleh (Keno) berusaha mengembalikan Se-Merah Padi ke pentas teater kerana ia sebuah karya hebat P. Ramlee. Sementelah anak kepada Allahyarham Salleh Ghani itu meminati dan mengenali bintang legenda secara peribadi.

"Saya memang meminati filem klasik malah saya pernah berada bersama-sama mereka semasa filem itu dalam pembikinan," kata Keno yang pernah mengangkat karya bapanya, Sri Mersing ke pentas teater tahun lalu.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Juhari Shaarani pula mengalu-alukan pementasan itu kerana belum ada karya P. Ramlee dibawa ke Istana Budaya. Istana Budaya mengalu-alukan sesuatu yang baru.

"Kita pernah pentaskan kisah P. Ramlee serta lagu-lagu P. Ramlee di sini, tapi filem arahannya belum pernah diadaptasikan ke teater, sebab itu kita dengan terbukanya menerima proposal penerbit," kata Juhari.

Sebahagian tenaga kerja Se-Merah Padi.

Fauzi, Fazlina teruja

Fazlina warisi bakat lakonan Saadiah.

Pelakon Fauzi Nawawi dan Fazlina Ahmad Daud ada sebab tersendiri untuk berasa teruja dengan penglibatan mereka dalam teater ini.

Fazlina adalah anak kepada heroin asalnya Seniwati Saadiah. Walaupun dia tidak berlakon sebagai Dara, namun melibatkan diri dalam pementasan yang diangkat daripada filem lakonan arwah ibu sangat membuat dia teruja.

"Saya sangat teruja sebab menjadi sebahagian daripada tenaga dalam pementasan Se-Merah Padi," kata Fazlina.

Fauzi pula sudah lama tidak berlakon genre purba sedangkan dia dikenali menerusi drama berkonsep sedemikian. Sebab itu dia mudah menerima tawaran tanpa memikirkan berapakah bayaran yang ditawarkan.

"Bayarannya tidaklah tinggi.. tetapi tidak juga rendah. Saya memang mahukan watak ini dan saya meletakkan soal bayaran ke tepi. Sekarang mana ada drama dan filem purba dihasilkan, di Istana Budayalah tempatnya.

"Lagipun saya memang mempunyai kelebihan bersilat. Satu lagi yang membuat saya teruja ialah membawakan watak Nordin Ahmad kerana dialah idola saya sebagai pelakon," kata Fauzi pula.

Walaupun Nordin ialah idolanya, tapi dalam membantuk lakonan, dia akan tampil dengan cara tersendiri dan tidak mahu terikut sangat gaya lakonan Nordin.

Tiket menonton teater yang dinaungi KDYMM Tuanku Sultan Pahang itu dijual dengan harga RM30, RM50, RM80, RM150 dan RM200. Untuk tempahan tiket boleh ke Box Office Istana Budaya atau menghubungi talian 03-40265558.

Tempahan secara dalam talian boleh dibuat di www.ticket2u.biz. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi 03-41478600.

Se-Merah Padi juga menjadi pementasan terakhir di Istana Budaya untuk tahun 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: