|
PETANG itu, hujan lebat di Kampung Kasuapan yang terletak di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah. Kami secara spontan berlari menuju ke pondok jeti untuk berlindung.
Tiada apa yang mampu dilakukan selain menyaksikan samudera yang terbentang luas. Keasyikan merenung lautan yang kebiruan itu tidak mampu bertahan lama. Suara kanak-kanak yang riuh-rendah menjengah ke gegendang telinga.
Gelagat mereka yang terpacak beramai-ramai di halaman rumah seorang penduduk cukup menarik untuk diperhatikan. Salah seorang daripada kanak-kanak tersebut menanggalkan baju T putih yang dipakainya. Seorang lagi, membuka seluarnya tanpa segan silu.
Tindak tanduk kedua-duanya menjadi ikutan enam rakan mereka yang lain. Seorang budak lelaki yang barangkali lebih tua dalam kumpulan itu, kemudiannya memberi isyarat tangan. Tanpa teragak-agak, kesemuanya terus terjun ke laut.
“Mari, mari masuk laut dengan kami, seronok,” teriak mereka yang mempelawa kami yang tergamam memerhati tingkah laku mereka yang janggal di mata kami.
Apabila jurufoto, Abdul Razak Latif menghalakan lensanya, tanpa diasak, mereka terus memberi gaya yang lincah di permukaan air.
Melihatkan keadaan tersebut, secara jujurnya, perasaan menjadi gelisah. Pertama, mereka masih kecil, jadi takut-takut mereka akan lemas. Kedua, air laut itu dicemari dengan limpahan sampah sarap.
Tatkala hujan, keadaan lebih parah. Botol air minuman plastik dan kaca, beg plastik, lampin, tin aluminium, kotak polisterin, kayu dan sisa makanan yang dibuang dibawa arus.
Serasi dengan air
“Jangan panik lihat mereka, budak pulau memang begini gayanya, mereka sudah terbiasa dengan air sejak kecil, tiada apa yang perlu ditakutkan,” kata Ketua Kampung Kasuapan, Hasim Amar, 54, mengejutkan lamunan penulis yang terkesima melihat babak kumpulan kanak-kanak tadi.
Selang beberapa jam, air laut surut. Kali ini, mereka dilihat berebut-rebut pula mengutip kerang dan ikan yang ligat menggeletik dengan hanya menggunakan tangan.
Bahan buangan yang terdiri daripada bekas plastik yang bertaburan di sana sini kemudian dicapai bagi mengisi hasil tangkapan masing-masing.
Secara berdikit-dikit, lautan kebiruan tadi yang menjadi cetek dipenuhi bukan sahaja dengan kelibat si kecil malah hampir kesemua penduduk keluar beramai-ramai.
Secara keseluruhannya, kata Hasim, penduduk di Kampung Kasuapan mempunyai kira-kira 1,600 orang yang terdiri daripada suku kaum Iranun, Ubian, Suluk dan Filipina.
“Kemudahan di sini agak sederhana. Untuk bekalan elektrik, kami bergantung kepada penjana sementara air dibeli di darat pada harga RM5 setong,” katanya sambil memberitahu 40 peratus pekerjaan penduduk ialah nelayan dan selebihnya buruh kasar.
Kampung Kasuapan sebenarnya merupakan salah satu antara tujuh buah kampung air yang terdapat di Pulau Gaya. Kampung-kampung lain adalah seperti Kampung Lok Malom, Kampung Lobong, Kampung Pondo, Kampung Lok Urai dan Kampung Lok Baru.
Radius di antara bandar Kota Kinabalu dengan Pulau Gaya hanya 1.5 kilometer (km) dan tujuh minit perjalanan menaiki bot.
Menyingkap catatan dalam buku berjudul Sejarah Kependudukan British di Pulau Gaya, pulau itu dianggap istimewa pada mata British.
Mereka dihikayatkan menjadikan pulau ini sebagai pusat pentadbiran pada zaman pemerintahan kolonial Bristih lebih kurang 110 tahun yang lampau.
Lautan sampah
Sehari sememangnya tidak cukup untuk mendasari Kampung Kasuapan. Kami bertandang pada hari esoknya. Falsafah dan aturan kehidupan penghuni pulau itu diteroka secara perlahan-lahan.
Di kampung itu, terdapat 281 rumah atas air yang diperbuat daripada material papan. Jambatan yang menghubung antara satu rumah ke rumah agak mengerikan. Ada titian yang terlalu kecil, tidak kurang juga yang rompang di sana sini.
Percaya atau tidak, hambatan itu tidak sedikit pun menjadi ketakutan kepada kanak-kanak kecil di kampung itu. Seperti sudah terbiasa, mereka melaluinya dengan selamba.
Perhiasan perabot mewah dan katil besar di setiap rumah? Itu bukan gaya hidup mereka. Sebaliknya, penghuni kampung tersebut lebih senang duduk beralaskan tikar jerami. Mereka juga tidak perlukan kipas kerana mereka memiliki angin semula jadi.
‘Aura’ sampah sarap
Atmosfera di Kampung Kasuapan tidak memberangsangkan. Akibat tiada sistem pembuangan dan pelupusan yang efisien, sampah sarap bertebaran di gigi air yang menyakitkan mata yang memandang.
Penulis tidak tahu bagaimana hendak menegah kegirangan tiga orang kanak-kanak yang berenang dan berendam di air yang penuh dengan timbunan sampah. Namun, apa yang menyentak perasaan apabila seorang penduduk mengadu itu memang rutin kanak-kanak di sana.
Jujur untuk dikatakan, limpahan air laut gagal menangani bau busuk sampah sarap. Sedih juga apabila mengetahui penyakit kulit yang menghinggapi penduduk terutama kanak-kanak sudah dianggap sebagai satu perkara normal.
Seorang penduduk, Sadit Utumani, 42, begitu asyik membuat perahu ketika dihampiri.
Menyelami kehidupannya Sadit mengakui dia tidak hidup mewah tetapi dia bahagia bersama 11 orang anak.
“Sejak dulu saya memang buat perahu, satu perahu yang diperbuat daripada kayu berharga RM1,500, kalau boleh skil ini mahu diperturunkan kepada anak-anak,” katanya yang memiliki tubuh badan yang tegap.
Tidak jauh dari rumah lelaki itu ialah Rosli Gan, 50-an. Ketika berbual, wanita tersebut mengaku bahawa dia sendiri tidak tahu umurnya yang sebenar.
Dia terus bercerita. Luah Rosli, kehilangan suami begitu merobek hatinya. Bagaimanakah dia meneruskan kehidupan untuk menyara 11 orang anaknya di pulau itu? Wanita ini hanya menjual ikan goreng dan ubi yang dibungkus dengan plastik aiskrim di hadapan rumahnya setiap hari di hadapan rumahnya.
“Walau berniaga secara kecil-kecilan, anak-anak saya masih ke sekolah,” katanya yang meluahkan kepayahan mendapatkan air bersih di pulau itu.
Kala bersembang dengan Rosli, tiba-tiba kelihatan segerombolan pelajar sekolah keluar melalui denai belukar di hujung kampung.
“Budak-budak ini dah habis sekolah, tengok tu, belum makan lagi, dah tanggalkan baju, campakkan beg, terus main bola sepak kat padang berhabuk tu.”
Demikian reaksi Rosli apabila melihat gelagat para pelajar tadi. Untuk rekod, terdapat 1,400 pelajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya dan seramai 700 pelajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya.
Bermula hanya empat orang, permainan itu bertambah gamat dengan kehadiran lebih 20 orang pelajar. Jika rembatan tidak kena sasaran, mereka merengus. Sekiranya sasaran pada dua tiang gol yang tidak berjaring mengena, mereka bersorak kegembiraan.
Beberapa jam selepas itu, anak muda pulau pula menguasai kawasan padang yang berpasir dengan bermain bola tampar.
Adakah anak-anak muda ini selesa untuk terus tinggal di kampung atau hati mereka meronta untuk berhijrah?
Menjawab pertanyaan itu, Basri Mahmud, 17, berkata, dia berhasrat untuk memajukan diri.
“Saya akan melanjutkan pelajaran di Pusat Giat Mara,” katanya yang menyebabkan rakan baiknya, Bolkiah Billi, 19, tersenyum.
Bolkiah seorang yang pendiam. Dia tidak banyak membutirkan kata-kata. Cuma dia hanya berkata: “Memang hidup di sini sedikit bosan, nak tonton TV kena tunggu malam dan kalau nak karaoke kena pergi KK, tapi itu tidak menjadi hal, saya pasti akan menetap di sini.”
Barangkali masyarakat Kampung Kasuapan hanya bergelut dengan persekitaran yang tidak bersih dan kekangan untuk mendapatkan air bersih.
Namun, mereka hidup harmoni, kaya dengan adat resam dan disulami kasih sayang. Bagi mereka, apalah erti wang melimpah-ruah andai hidup tidak bahagia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: