Tuesday, November 22, 2011

Percarian lagu pasaran luar negara


NABIL (depan, kiri) dan Neves Pretty Ugly (depan, kanan) bersama pemenang-pemenang separuh akhir Pertandingan Cipta Lagu Ambank-RTM 2010/2011.


RADIO Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Ambank dan Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) telah mengorak langkah melancarkan pencarian lagu ciptaan karyawan seni tempatan untuk pasaran luar negara dengan menganjurkan Pertandingan Cipta Lagu Ambank-RTM 2010/2011.

Pada mulanya hanya lapan buah lagu sahaja yang layak ke separuh akhir, namun selepas dinilai potensi lagu-lagu yang dipertandingkan, maka MACP memutuskan untuk memilih 12 buah lagu daripada 20 buah lagu yang dipertandingkan untuk mara ke peringkat akhir pertandingan itu.

Menurut ketua juri, Anuar Dahlan, 12 buah lagu yang terpilih sesuai untuk pasaran luar negara.

"Memang pada asalnya pertandingan Cipta Lagu Ambank nak pilih lapan buah lagu sahaja tetapi saya minta pihak MACP untuk memasukkan sebanyak 12 buah lagu kerana kesemuanya bagus dan mempunyai kekuatan tersendiri. Pihak MACP bersetuju malah memperuntukkan tambahan wang untuk empat lagu lagi yang dimasukkan.

"Sememangnya pertandingan ini diwujudkan untuk mencari lagu-lagu yang sesuai bagi pasaran luar negara," katanya mengenai pertandingan Cipta Lagu yang membabitkan hadiah berjumlah RM116,000.

Anuar memberitahu, sebanyak 12 buah lagu yang terpilih dinilai mengikut melodi dan ketulenan, lirik, potensi dan genre serta penyusunan muzik.

Pertandingan Cipta Lagu Ambank-RTM 2010 turut disertai oleh penyanyi-penyanyi seperti Neves dari kumpulan Pretty Ugly, Nabil Mentor, Lufya Akademi Fantasia (AF6) dan Khairul Nizam atau Toi juga bekas peserta AF6.

Lagu-lagu yang berjaya ke Pertandingan Akhir Cipta Lagu Ambank-RTM 2010 adalah Lets Our Hands Merged (Jay Vijayanathan), Kau Bukan Untuk Ku (Ezra Ily Gabu), Lali Lala (Khairul Nizam- Toi AF6), Kau tetap kekasihku (Ismail Datuk Dr. Ahmad Nawab), Waktu (Alfred Teo Choon Hua), Dirimu Terunggul (Raizan Zainal Abidin-Neves Pretty Ugly), Limpahi Aku Keampunan (Syed Hanafi Syed Abdullah), Can I Be The One (Mohd Adam Masumi), December Skies (Jimmy Fong), Through Your Eyes (Loo See Luan), Satu Malaysia Satu Jiwa (Nabil Zamanhuri) dan Bingkisan Dari Hati (Salman Shariff).

Anuar juga menolak tanggapan sesetengah pihak yang menganggap apabila melibatkan RTM mereka akan mencipta lagu patriotik tetapi apa yang diinginkan adalah lagu yang boleh dijual sehingga ke pasaran antarabangsa.

Pertandingan Cipta Lagu Ambank-RTM yang bermula pada Jun lalu telah menarik lebih daripada 3,000 penyertaan dari seluruh Malaysia dan menawarkan hadiah wang tunai RM40,000 kepada johan, naib johan RM25,000 dan tempat ketiga RM15,000.

Sembilan peserta akhir juga akan menerima RM4,000.

Final Pertandingan Cipta Lagu Ambank-RTM bakal berlangsung pada 11 Disember ini di Auditorium Perdana, pukul 8.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: