Friday, November 25, 2011

Pandai cari duit sendiri

IKTIRAF...(dari kiri) Dr Lim, Dr Ong dan Stanleick ketika majlis penyampaian FWIS di ibu negara, baru-baru ini.
IKTIRAF...(dari kiri) Dr Lim, Dr Ong dan Stanleick ketika majlis penyampaian FWIS di ibu negara, baru-baru ini.

“SAYA dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin di Pontian, Johor. Seawal usia sembilan tahun setiap kali cuti sekolah saya menolong ibu memasang komponen elektrik di rumah.

“Saya juga pernah bekerja di kedai roti ketika di ting–katan satu, dua dan tiga. Selepas waktu sekolah, saya bersama adik membuat pembungkusan roti untuk Tahun Baru Cina.

  • Foto

    DR LIM...mahu komersial kaedah rawatan air.

  • Foto

    DR KHAIRUNISAK...bangunkan kit diagnostik kos rendah untuk pelbagai penyakit.

  • Foto

    DR ONG...sangat berdikari sejak kecil.

“Dengan pendapatan RM500 duit itu saya gunakan untuk menampung perbelanjaan sekolah,” demikian menurut penerima Anugerah Nasional Fellowship untuk Wanita dan Sains (FWIS) 2011 oleh L’Oreal Malaysia, Dr Ong Hui Lin yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak seperti kanak-kanak lain, zaman remaja Dr Ong penuh dengan pengalaman berharga. Apa tidaknya, sejak kecil dia sudah biasa mencari duit sendiri.


Jika tidak, dia tidak dapat memakai baju baru setiap kali Tahun Baru Cina atau membeli kelengkapan sekolah. Justeru, bekerja di kedai roti dan kilang elektrik adalah perkara biasa baginya.


Anak sulung dua beradik ini tidak pernah merungut dengan kehidupan yang dilaluinya. Malah dia mengutip setiap apa yang berlaku di hadapannya sebagai pengalaman berharga.

Melihat ayahnya, Ong Che Huwa, 60, yang bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan kurang daripada RM500 serta ibunya, Tan Kui Kin, 57, operator pengeluaran kilang menyebabkan dia berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu keluarga.

“Sebab itu saya tidak kisah bekerja pada usia muda asalkan dapat membahagikan masa antara kedua-duanya,” katanya yang mengulang kaji dan membuat kerja sekolah selepas pulang bekerja.

Malah ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam jurusan teknologi, kayu, kertas dan penglitup, Dr Ong masih bekerja sambilan di kedai buku dan menjadi pembantu penyelidik kepada seorang pensyarah di USM.
Menurutnya, sejak kecil dia bercita-cita menjadi saintis dan impiannya menjadi kenyataan selepas menjejakkan kaki ke USM.

“Di bawah pengawasan Prof Dr RN Kumar ketika projek tahun akhir, kajian saya mengenai kedayatahanan polypropylene berasaskan komposit nano mendapat pengiktirafan daripada penyelidik luar negara dan diterbitkan dalam jurnal. Ini mendorong penyelia, Dr Hazizan Md Akil membantu bagi memperbaiki kelemahan kajian yang sudah dijalankan,” katanya yang menjadikan kedua-dua profesor berkenaan sebagai inspirasi kerjaya selama ini.

Selain itu, dia sangat berterima kasih kepada ibunya yang sentiasa memberikan semangat ketika senang mahupun susah.

Menurutnya, kajian komposit nano dipilih kerana teknologi itu kini sangat penting dalam aplikasi automotif kerana ia dapat menghasilkan bahan yang lebih berdaya tahan dan mampu menghalang kegagalan fungsi mekanikal akibat perubahan cuaca.

“Kebiasaannya, kenderaan dihasilkan daripada bahan plastik dan getah namun dengan adanya penyelidikan berasaskan komposit nano ini, ia dapat menghasilkan bahan baru yang lebih baik bagi memperkuatkan mekanikal komponen dalam kereta.
Teknologi ini membantu menjadikan komponen lebih ringan dan tahan pelanggaran,” katanya.

Sebagai penyelidik, cabaran paling besar mendapatkan kajian yang lengkap dan tepat apabila kekurangan peralatan, mencari bahan serta kaedah bertepatan bagi menghasilkan kertas kerja, kajian makmal dan tesis dengan tepat.

“Bagi seorang saintis mereka tidak mempunyai jaringan maklumat. Ini kerana saintis adalah peneroka dan mereka terpaksa memikirkan sendiri kaedah serta bahan yang akan diguna pakai. Cabaran paling utama ialah berdepan kekecewaan apabila kajian gagal disebabkan kekurangan sumber. Sebagai saintis muda walaupun tidak melemahkan semangat, sokongan kewangan daripada universiti dan kerajaan sangat diperlukan bagi memastikan kesinambu–ngannya,” katanya.

Ketika ditemui selepas majlis penganugerahan, dengan rasa gembira Dr Ong memberitahu, pengiktirafan ini menjadikan dia lebih bersemangat bagi menyelesaikan kajiannya yang dijangka tamat tiga tahun lagi.

Dengan penawaran geran berjumlah RM20,000, dia berharap penyelidikan dapat memberi manfaat kepada masyarakat seterusnya dikomersilkan untuk kegunaan semua.

Selain Dr Ong, penerima anugerah yang sama ialah Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Dr Lim Hong Ngee, yang menjalankan kajian rawatan pembersihan air fotoelektrokatalisis menggunakan komposit grafin dan logam oksida. Kajian ini akan menyumbang kepada pendegradasian air sisa yang cekap menggunakan bahan maju hibrid dan akan menawarkan penyelesaian tambahan kepada proses penulenan air sedia ada.

“Perairan di Malaysia tercemar dengan bahan racun perosak, ubat-ubatan dan pigmen warna yang mungkin berbahaya kepada kesihatan. Oleh itu saya menggunakan komposit nano untuk mendegradasikan bahan cemar seperti pigmen dan antibiotik kepada sebatian yang tidak bahaya seperti air dan karbon dioksida,” katanya yang lebih mesra disapa Janet di kalangan keluarga, pensyarah serta rakannya.

Di Malaysia, kajian ini masih baru kerana pada masa ini, fotokatalisis dikaji secara meluas untuk menghapuskan bahan cemar. Namun dia menggabungkan kaedah fotokatalisis dengan arus elektrik untuk proses pendegradasian bahan organik berbahaya yang lebih cepat.

“Pada tahun depan, saya berharap dapat menerbitkan kertas penyelidikan seterusnya mengkomersilkan kaedah rawatan ini sebagai sebahagian daripada proses pembersihan air. Ini sekali gus dapat memberi kebaikan terhadap kualiti air di Malaysia dan dunia amnya,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata ini mendapat dorongan daripada suaminya, Dr Huang Nay Ming, 33, yang juga pensyarah kanan di Jabatan Fizik UM. Perkenalan mereka terjalin ketika sama-sama melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada akhir 1999 dan berkahwin pada 2006. Sebelum itu, Janet yang berasal dari Johor Bahru, bekerja sebagai ahli kimia selama dua tahun dan pensyarah di sebuah kolej universiti selama setahun.

“Suami saya memberikan sokongan apabila saya menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah ketika kelahiran anak pertama pada 2008. Saya sangat berterima kasih kepadanya kerana dia sangat memahami dan memberikan bantuan ketika saya sedang membuat kajian,” kata Janet yang mengakui kesabaran dan ketekunan adalah kunci kejayaannya selama ini.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahan dan Sumber Mineral Kejuruteraan USM, Dr Khairunisak Abdul Razak, 34, menerima Anugerah Nasional Fellowship untuk Wanita dan Sains (FWIS) 2011 selepas kejayaan menjalankan penyelidikan mengenai sintesis nano magnet stabil dalam larutan (ferrofluid) untuk mengesan penyakit.

Ini berfungsi bagi membangunkan kit diagnostik kos rendah bagi menggantikan emas dengan besi oksida. Secara tidak langsung, kecekapan dan pemilihan produk boleh bermanfaat dalam bidang pengimejan, kanser dan kesihatan air.

Dr Khairunisak tidak dapat hadir pada majlis berkenaan kerana menunaikan haji.

Pada masa ini, kit paling diagnostik di pasaran menggunakan nanopartikel emas.
Dengan kenaikan harga emas, penggantinya mesti dicari supaya kajian ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Melanjutkan pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan kimia dan bahan di Universiti Auckland, New Zealand, Dr Khairunisak kemudian menyertai USM pada 2007 dan dilantik sebagai pensyarah kanan pada tahun berikutnya.
Bekerja dalam bidang teknologi nano selama lima tahun memberi banyak pengalaman berharga kepadanya, tambah pula sejak kecil dia sangat meminati sains.

“Ketika remaja saya suka membaca buku berkaitan fiksyen sains. Apabila membesar, saya mencari penjelasan bagaimana dan mengapa setiap perkara yang berlaku. Kepuasan diri bagi penyelidik ialah apabila kita boleh menerangkan sesuatu secara saintifik, kemudian bertanya apa yang boleh disumbang–kan kepada masyarakat. Sains membolehkan kita meningkatkan kualiti kehidupan, alam sekitar, kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Menurut Pengarah Urusan L’Oreal Malaysia, Andrew Stanleick, program berkenaan mewakili komitmen jangka panjang strategik L’Oreal dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) untuk menarik lebih ramai wanita menceburi bidang sains di seluruh dunia.

“Wanita di seluruh dunia kini melalui proses revolusi sains. Golongan yang adakalanya ditindas dan dipinggirkan satu ketika dulu, kini mengorak langkah menceburi sains dalam pengkhususan seperti genetik, fizik, biologi dan teknologi baru dengan menjadikan saintis ulung wanita, Marie Curie sebagai idola mereka,” katanya.

Tambahnya, anugerah itu yang turut mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pengajian Tinggi dan Akademi Sains Malaysia diharap akan dapat merealisasikan falsafah “Dunia perlukan sains dan sains perlukan wanita.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: