TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Khas Persediaan Menghadapi Banjir di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam meminta National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) memberi penjelasan berhubung beberapa isu berkaitan projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) yang menerima kritikan pelbagai pihak terutama pembangkang.
“Antaranya, bagaimana isu itu boleh timbul dan cara ia ditangani... soal situasi industri penternakan serta tindakan mereka terhadap Laporan Ketua Audit Negara,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Persiapan Banjir di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Mokhtar Radin di Parlimen, kelmarin yang meminta Shahrizat meletakkan jawatan berikutan isu membabitkan projek PFN.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, tindakan berkenaan wajar kerana Shahrizat kini menjadi liabiliti kepada UMNO dan BN.
Baru-baru ini, projek PFN yang diurus NFC, anak syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd (Agroscience) di Gemas, Negeri Sembilan, dikecam pembangkang yang mendakwa wujud penyelewengan dana kerajaan membabitkan pinjaman mudah bernilai RM250 juta.
Isu berkaitan PFN turut disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 selepas ia berdepan masalah apabila sasaran pengeluaran dikurangkan daripada 60,000 lembu kepada 8,000 lembu.
Minggu lalu, pembangkang membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor turut mendakwa wujud penyalahgunaan wang PFN untuk pembelian kondominium mewah di One Menerung, Bangsar bernilai RM9.8 juta.
Mengulas saranan Bung Mokhtar, Muhyiddin berkata, ia tidak wajar kerana NFC hanya perniagaan milik keluarga Shahrizat dan bukan miliknya.
“Seruan Bung Mokhtar itu saya fikir tidaklah perlu sangat kerana hal ini membabitkan sesama kita, lagipun ia menyentuh operasi perniagaan diuruskan keluarga dan Shahrizat tidak terbabit dalam hal itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Mohamad mengesahkan Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Negeri Sembilan mengambil alih siasatan kes pembelian kondominium mewah yang didakwa menggunakan dana PFN.
Bagaimanapun katanya, sehingga semalam pihaknya belum menerima sebarang dokumen berkaitan, termasuk laporan berhubung kes itu.
“Kita akan menjalankan siasatan sebaik laporan mengenai dakwaan wujud salah laku dalam tadbir urus dana perbadanan itu diterima daripada pihak berkaitan.
“Kita akan melihat kes ini dari semua sudut, termasuk menjalankan siasatan ke atas ladang terbabit yang terletak di Gemas, selain urusan pembelian kondominium di Bangsar,” katanya ketika dihubungi semalam.
Usaha mendapatkan penjelasan daripada NPC sehingga lewat petang semalam, gagal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: