Saturday, November 12, 2011

Nama Mr. Os belum tenggelam


GAMBAR terbaru Os yang dirakamkan minggu lalu sewaktu bersaing dalam Maharaja Lawak Mega.


SEWAKTU era pertengahan tahun 1980-an, Mr. Os merupakan salah seorang pelawak terkenal dalam persada hiburan tanah air.

Bermula dengan watak Mr. Os dalam drama bersiri Santan Berlada yang disiarkan di TV1 pada tahun 1984, namanya terus mekar sehinggalah ke hari ini.

Biarpun selepas 27 tahun terbabit sebagai pelawak, pelakon, pengacara dan penyanyi dengan nama sebenar Mohd. Yusof Abdul Hamid ini belum mahu mengalah.

Dia masih terus aktif mencurahkan bakat seninya biarpun semakin ramai bakat baru dilahirkan dalam bidang itu.

Os sebenarnya tidak pernah putus menerima undangan berlakon drama televisyen (TV), filem mahupun sebagai pengacara majlis.

Justeru, anak seni berusia 50 tahun ini secara tidak langsung menafikan namanya telah tenggelam dalam bidang seni di negara ini.

Meskipun melakukan banyak kerja termasuklah sebagai pemandu teksi sepenuh masa sejak kira-kira enam tahun lalu, tetapi kata Os, bakatnya masih diperlukan dalam banyak karya seni terutaman drama dan filem yang dibintanginya sejak kebelakangan ini.

“Ramai orang tahu saya sebagai pemandu teksi sepenuh masa tetapi itu tidak bermakna saya sudah bersara daripada bidang seni.

“Saya masih boleh berlakon dan berlawak. Saya juga masih mempunyai ramai peminat. Kalau tidak mana mungkin saya dijemput membuat persembahan.

“Contohnya, filem terbaru saya bertajuk Senario Ops Pocot ditayangkan di pawagam beberapa bulan lalu. Sekarang ini, saya sedang bertanding dalam Maharaja Lawak Mega di Astro Warna (saluran 132, Astro) setiap Jumaat pukul 10 malam. Itu semua bukti saya masih aktif dalam bidang ini,” ujarnya kepada S3.

Jelas pelawak berasal dari Kuala Kangsar, Perak ini, sejak menyertai Maharaja Lawak Mega bersama Abon dalam kumpulan Osbon, dia semakin sibuk dalam membahagikan rutin sehariannya demi pertandingan yang berteraskan lawak jenaka.

Tambah Pelakon Komedi Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-13 menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah pada 1997 ini, dia bukan setakat berlakon dan berlawak tetapi ramai yang tidak mengetahui dia melakukan pelbagai pekerjaan bagi menambahkan lagi pendapatannya.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya memang kurang publisiti tetapi saya sebenarnya terbabit dalam banyak bidang yang ramai orang tidak tahu.

“Contohnya, sejak empat bulan lalu saya diambil menjadi penyampai radio Perak FM atau Radio Malaysia Perak FM. Saya ke udara setiap Isnin dari pukul 3 petang hingga 5 petang bersama DJ Saiful menerusi slot Cer Pikio.

“Selain itu, saya juga sibuk menguruskan resort saya sendiri iaitu Chalet Di Kampung Mr. Os di Kuala Kangsar yang mempunyai lapan buah calet sejak dua tahun lalu,” jelasnya.

Dalam hal itu, Os menganggap pembabitannya dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega secara tidak langsung mampu menambahkan lagi popularitinya sebagai pelawak apabila para peminatnya terus memberikan sokongan kepadanya dalam rancangan tersebut.

Secara tidak langsung, kata Os, ia bukan setakat mengekalkan popularitinya sebagai artis tetapi pada masa dia juga mendapat semakin banyak tawaran berlakon dan mengadakan persembahan pentas.

“Saya tidak marah kalau orang kata Mr. Os tidak popular macam dulu. Saya terima kenyataan itu kerana kita mempunyai ramai pelawak pelapis. Bagaimanapun, selagi saya sihat dan bakat saya diperlukan maka selagi itulah saya tetap akan ada dalam bidang lakonan,” tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: