PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim, 27, yang bakal dinikahkan dengan pengacara Shera Aiyob, 25, pada 20 November ini akui takut jika membuatkan ibunya, Zailan Yussoff berkecil hati.
Oleh sebab itu, dia akan cepat-cepat memenuhi setiap permintaan ibunya lebih-lebih lagi banyak perkara yang perlu difikirkan menjelang majlis perkahwinannya dengan Shera.
“Boleh dikatakan persiapan perkahwinan hampir siap sepenuhnya. Kebanyakannnya diuruskan oleh Shera dan ibu saya.
“Tetapi apabila ibu menghubungi dan meminta pertolongan, saya akan segera laksanakan kerana tidak mahu mengecilkan hati ibu. Walaupun sudah berkahwin nanti, saya akan tetap mengutamakan ibu berbanding isteri,” katanya lagi.
Tambahnya: “Bagaimanapun, saya akan adil dan menjalankan tanggungjawab saya kepada isteri dengan sebaiknya.
“Saya sudah bersedia untuk berhadapan apa sahaja yang akan berlaku dalam rumah tangga kami selepas ini. Dalam masa sama, saya sangat teruja dan sedikit gementar sebelum tiba hari pernikahan kami.”
Selain itu, pelakon filem Bunohan ini turut mempersiapkan dirinya dengan membaca buku berkenaan petua untuk menjadi pasangan bahagia seperti buku ‘Anai-anai Dalam Perkahwinan’ yang ditulis oleh ibunya sendiri.
Majlis pernikahan Zahiril dan Shera bakal berlangsung di rumah pengantin perempuan di Ipoh, Perak pada waktu pagi dengan tema perkahwinan dalam taman.
Pada hari yang sama, pasangan ini akan disandingkan di sebuah dewan berhampiran rumah Shera di Ipoh selepas selesai majlis pernikahan.
Zahiril akan menghadiahkan 11 dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM18,000 dan mas kahwin RM1, 001 manakala Shera akan membalas dengan 13 dulang hantaran.
Sebuah lagi resepsi iaitu majlis sambut menantu sebelah pihak lelaki akan diadakan di Shah Alam yang hanya dihadiri oleh keluarga dan saudara-mara terdekat.
Pasangan ini bertunang pada 1 Mei lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: