
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Prestasi cemerlang Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa ke Afghanistan 2 (Malcon Isaf 2) sepanjang enam bulan berkhidmat di Afghanistan berjaya menjulang nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di peringkat antarabangsa.
Pemangku Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, pasukan itu mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak, termasuk Amerika Syarikat (AS) atas usaha meningkatkan taraf hidup penduduk sepanjang bertugas di negara itu.
“Malcon Isaf 2 berjaya membawa negara ke satu tahap yang membanggakan sehingga Pentagon mengakui usaha yang dijalankan pasukan ini amat cemerlang menerusi projek yang dijalankan termasuk menangani wabak brucellosis dan projek sistem penapisan air bersih untuk penduduk tempatan.
“AS turut memuji langkah ATM menempatkan anggota wanita di negara bergolak itu bagi menarik penyertaan wanita tempatan dalam aktiviti kemanusiaan yang dijalankan.
“Mereka teruja dengan keterbukaan negara mengangkat peranan wanita di dalam operasi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemakaian Pingat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Pembubaran Malcon Isaf 2 di Wisma Transit di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Panglima Markas Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Badaruddin.
Seramai 11 pegawai dan 29 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Rusman Sanip selaku komander pasukan menerima pingat yang dianugerahkan kepada setiap anggota yang berkhidmat dalam sesuatu misi NATO selama 30 hari.
Rodzali yang bangga serta berpuas hati dengan kejayaan tersebut berkata, ATM sentiasa menghargai khidmat cemerlang dan pengorbanan pasukan tersebut kerana ia berupaya meningkatkan imej positif negara di mata penduduk tempatan dan kerajaan Afghanistan.
Beliau berharap kejayaan dan pengalaman pasukan berkenaan bukan sekadar menjadi pencetus semangat kepada semua warga ATM untuk menyertai misi seumpamanya, malah menjadi pemangkin bagi mereka untuk meningkatkan kualiti kerja masing-masing.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam Klinikal Epidemiologi Malcon Isaf 2, Mejar Dr. Mohd. Arshil Moideen berkata, antara aktiviti yang dijalankan di negara itu adalah program kesedaran berkenaan kesihatan, pengawalan wabak penyakit dan program air bersih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: