Friday, November 25, 2011

LKIM membela nasib nelayan


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan elaun sara hidup kepada wakil nelayan di Melaka sambil disaksikan oleh Menteri Pertanian dan industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Menteri Besar Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.


MEGA: Bagaimana Datuk melihat penubuhan LKIM 40 tahun lalu dengan agenda membina nasib nelayan di Malaysia?

Mohad Khazin: Ia merupakan satu titik tolak yang cukup signifikan dalam mencorak nasib nelayan di negara ini. Hasil kebijaksanaan pemimpin negara ketika itu, agensi seperti LKIM telah ditubuhkan dalam rangka mempercepatkan usaha pembangunan masyarakat.

Dalam hubungan ini, LKIM telah diamanahkan untuk membantu para nelayan, sementara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk membela masyarakat peladang. Dalam konteks LKIM, matlamat penubuhannya secara khusus adalah untuk meningkatkan taraf hidup serta sosio ekonomi nelayan selain memajukan industri perikanan negara. Justeru, sejak awal penubuhannya, usaha-usaha telah difokuskan ke arah merealisasikan hasrat itu.

Apakah langkah awal LKIM ketika mula-mula ditubuhkan dahulu?

Kita menyedari bahawa antara faktor utama kemiskinan nelayan adalah apabila hasil tangkapan mereka tidak mendapat harga yang sewajarnya kerana banyak dimonopoli oleh orang tengah ketika itu. Jadi, antara langkah awal yang diambil adalah seperti mewujudkan satu skim membeli hasil tangkapan dengan harga yang lebih baik.

Dua program yang digerakkan adalah Pemasaran Ikan Koperasi Nelayan (PIKN) dan Unit Pemasaran Pusat (CPU). Kita sedar, program seperti ini perlu diberi perhatian serius. Di peringkat industri pula, LKIM menggerakkan Projek Pukat Tunda bagi membantu nelayan meneroka laut yang lebih jauh untuk menambah hasil tangkapan.

Untuk para nelayan sendiri, adakah mereka bersatu dalam menerima program LKIM?

LKIM amat sedar, tanpa sokongan nelayan, sukar untuk kita melaksanakan program pembangunan. Justeru, pada tahun 1980-an, Persatuan Nelayan telah ditubuhkan bagi menggantikan Koperasi Nelayan bertujuan meletakkan mereka terus berada di bawah seliaan LKIM. Serentak itu juga, LKIM telah memperkenalkan program pembangunan strategik dikenali sebagai Kawasan Pembangunan Nelayan (KPN) yang mengetengahkan konsep pembangunan secara bersama dengan jabatan dan agensi kerajaan terlibat. Ia turut menggariskan matlamat:

1. Mengurangkan kemiskinan di kalangan masyarakat nelayan.

2.Memperbaiki kualiti kehidupan nelayan.

3.Menggalakkan pertumbuhan industri perikanan.

Apakah bentuk program pembangunan yang dilaksanakan di KPN?

KPN menyasarkan empat pelaksanaan program utama iaitu Program Pembangunan Perikanan Laut, Program Pembangunan Ternak Air, Program Pembangunan Masyarakat Nelayan dan Program Pembangunan Infrastruktur.

Selain itu, diperkenalkan juga Skim Kemudahan Kewangan (SKK) dan kemudiannya Skim Pinjaman Kemudahan Pertanian (SPKP). Kedua-dua skim tersebut disediakan untuk membantu nelayan memulakan penerokaan laut dalam di samping meningkatkan keupayaan dan kapasiti bot mereka.

Satu lagi inisiatif penting yang dibuat adalah Sistem Lelong terbuka (SLT) di kompleks-kompleks pendaratan LKIM. Sistem ini mempunyai objektif meningkatkan pendapatan nelayan menerusi pendedahan harga sebenar terhadap hasil tangkapan. Ternyata SLT berjaya meningkatkan pendapatan nelayan sehingga 50 peratus.

Bagaimana dengan sokongan masyarakat nelayan sendiri?

LKIM dari semasa ke semasa sentiasa memikirkan bagaimana untuk menyatukan suara para nelayan. Hasrat ini tercapai apabila pada tahun 1986, Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) ditubuhkan. Menerusi penubuhan itu, masyarakat nelayan akan lebih bersatu dalam menyuarakan hasrat serta tuntutan mereka.

Bagaimana Datuk menilai pencapaian LKIM setelah 40 tahun berusaha membangunkan nelayan dan memajukan industri perikanan negara.

Untuk masyarakat nelayan, impak paling besar adalah berlakunya penurunan ketara kadar kemiskinan daripada 70 peratus ketika LKIM ditubuhkan dan kini ia berada di bawah 10 peratus. Kita akui, ia bukanlah hasil usaha LKIM secara individu, tetapi turut mendapat kerjasama daripada jabatan dan agensi lain dengan LKIM bertindak sebagai agensi utama. Dari sudut sosial, LKIM telah membuka pemikiran nelayan untuk menerima perubahan.

Untuk industri pula, LKIM telah menyediakan pelbagai infrastruktur bagi merancakkan lagi aktiviti perikanan. Ia termasuk menyediakan kompleks-kompleks pendaratan yang dilengkapi kemudahan moden, implementasi kotak ikan berinsulasi untuk menjaga kualiti serta membawa para usahawan menyertai pelbagai ekspo di dalam dan luar negara.

Apakah harapan Datuk terhadap para nelayan dan pemain industri dalam memajukan industri perikanan?

Apa yang diharapkan, para nelayan dan pemain industri dapat bekerjasama dan menyokong agenda yang dilaksanakan LKIM. Mereka perlu tahu, era kini begitu kompetitif dan untuk bersaing, kita perlukan hubungan yang sangat erat dengan semua pihak terlibat. Ia sekali gus akan membawa perubahan paling bermakna dalam sektor perikanan masa depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: