Friday, November 18, 2011

Lancar busana di Singapura, Indonesia

LEBARKAN SAYAP...tiga bersaudara ini, Nurul (kiri), Fatimah Ani Syahira (tengah) dan Amirah Hanis tekad mahu memperkenalkan Mimpikita sehingga ke peringkat antarabangsa.
LEBARKAN SAYAP...tiga bersaudara ini, Nurul (kiri), Fatimah Ani Syahira (tengah) dan Amirah Hanis tekad mahu memperkenalkan Mimpikita sehingga ke peringkat antarabangsa.
SALING PERCAYA...Nurul (kiri) bersama adiknya Amirah Hanis yang banyak berkongsi pendapat dan cita rasa.
SALING PERCAYA...Nurul (kiri) bersama adiknya Amirah Hanis yang banyak berkongsi pendapat dan cita rasa.

SEJAK kecil setiap kali menjelang raya, ketiga-tiga beradik ini mengikut ibu mereka, Rabiah Suleiman, 55, membeli kain di Johor Bahru. Mereka bukan setakat memilih fabrik tetapi menentukan jenis rekaan yang akan dijahit ibu.

Bagi mereka, hasil rekaan ibu lebih selesa dan ‘sedap’ dipakai malah ibu bukan setakat menjahit baju kurung tetapi gaun ketika menghadiri majlis makan malam istimewa bersama kawan-kawan.

Walaupun, adakala terdetik rasa malu disebabkan gaun yang dipakai tidak berjenama seperti rakan lain, kini mereka akur disebabkan baju yang dijahit ibu itulah mereka mampu membina jenama perniagaan Mimpikita di Bangsar, Kuala Lumpur.

Nurul Zulkifli, 29, Amirah Hanis, 27, dan Fatimah Ani Syahira, 25, bermula hanya dengan menjual pakaian menerusi dalam talian pada Mei 2008. Walaupun ketika itu mereka sudah memegang jawatan penting, Nurul sebagai pengurus akaun di syarikat seni bina milik ayahnya, Zulkifli Abd Karim, 54, Amirah sebagai pengurus pengiklanan di syarikat pengiklanan manakala Syahira masih belajar, itu tidak menjadi masalah kerana perniagaan diusahakan mereka boleh dijalankan pada bila-bila masa.


“Ketika itu perniagaan dalam talian masih belum mendapat tempat di Malaysia.

Namun nasib kami baik kerana pakaian yang dijual mendapat perhatian pelanggan sehingga mendorong kami membuka butik di Kota Damansara de-ngan mengambil sedikit ruang di pejabat ayah, KAZ Arkitek Sdn Bhd,” katanya.

Sebagai pengurus syarikat, memperkenalkan jenama Mimpikita agak sukar pada mulanya. Justeru, dia bersama dua adiknya bekerja keras dengan menyertai bazar
di Bangsar dan sekitar Damansara serta meletak baju di beberapa kedai pakaian.

“Waktu pagi seperti biasa kami di pejabat, petang sehingga larut malam kami berniaga di bazar. Hasilnya sangat memuaskan. Setahun berkongsi dengan ayah kami terus bercadang membuka butik,” katanya yang mengambil pakaian daripada pemborong untuk dijual.

Nurul akur, membuka perniagaan pada usia muda memang banyak cabarannya. Tambah pula dia tidak mempunyai kepakaran dalam bidang rekaan. Namun ibu yang berpengalaman menjahit baju banyak membantu.

“Saya tidak tahu mengenai pasaran dan rekaan. Namun sedikit demi sedikit saya belajar daripada ibu bagaimana mahu mengukur baju pelanggan, jenis fabrik serta rekaan sesuai. Daripada ayah, saya belajar mengenai teknik pemasaran dan promosi. Memang susah apatah lagi saya berani mengambil risiko dengan membuka butik di kawasan elit Bangsar dengan sewa yang tinggi.

“Bayangkan bulan pertama hendak mencecah RM2,000 pun sangat susah. Namun saya tidak berputus asa dan menjual apa saja. Biskut, hamper hari raya dan membuat kuih untuk dihantar ke kedai bagi mendapat tabungan modal. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit hasil jualan butik mula meningkat,” katanya.

Daripada seorang pekerja, kini Mimpikita sudah mempunyai 10 pekerja. Malah dia tidak mengambil baju daripada pemborong sebaliknya menghasilkan rekaan sendiri supaya lebih eksklusif dan berkualiti.

“Saya bertekad mengete-ngahkan jenama Mimpikita kerana di Malaysia tidak ramai pereka wanita mampu bersaing dengan lelaki. Bukan disebabkan mereka tidak kreatif dan berbakat tetapi mendapat pelbagai kekangan seperti suami dan keluarga.

“Oleh sebab itu saya berazam mahu menghasilkan rekaan bermutu yang bukan setakat dikenali di Malaysia malah mampu bersaing sehingga ke luar negara,” kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan daripada Universiti Multimedia dan sarjana daripada Universiti Teknologi Queensland, Australia, Nurul sedikit pun tidak menyesal kerana tidak bekerja dalam bidang kejuruteraan. Bagi Nurul, belajar adalah satu fasa dalam kehidupan yang harus ditempuhi.

“Setiap orang mahu atau tidak, harus menempuh fasa pembelajaran dalam kehidupan mereka. Sama ada apa yang dipelajari sama seperti bidang pekerjaan itu tidak penting. Apa yang penting adalah memberikan yang terbaik dalam apa juga bidang yang diceburi,” katanya.

Selain ibu, Nurul banyak mendapatkan pandangan daripada ayahnya, pemilik perniagaan seni bina di Johor dan cawangannya di Kuala Lumpur. Tambahan pula, dia sangat rapat dengan ayah dan saling berkongsi cerita.

“Ayah memulakan perniagaan dari bawah dengan hanya sebuah meja dan kerusi. Dia pernah gagal namun bangun semula sehinggalah ayah mampu membuka cawangan syarikat di Kuala Lumpur. Dia tidak pernah kecewa walaupun pernah rugi.

“Setiap hari saya melihat semangat dan kesungguhan ayah dengan seorang wanita berdiri di belakangnya iaitu ibu. Semangat itulah yang akan saya bawa apabila menerajui Mimpikita pada masa akan datang,” katanya.

Bagi mengorak langkah dalam bidang perniagaan, Mimpikita menghasilkan 30 hingga 40 rekaan terkini dalam masa tiga bulan. Antara yang diminati ramai seperti gaun, kaftan, skirt, seluar, blaus dan kemeja yang sesuai dipakai untuk wanita bertudung atau tidak bertudung. Sebab itu, dia lebih selesa menghasilkan rekaan sopan sama ada untuk majlis kasual atau rasmi.

Menurut Nurul, mengetahui cita rasa pelanggan adalah amat sukar kerana tidak semua wanita mempunyai kehendak yang sama.

“Kadangkala saya merasakan apa yang saya hasilkan me-ngikut cita rasa mereka tetapi sebenarnya tidak. Apa yang saya sukai tidak semestinya diminati mereka.
Sebab itu saya banyak berbincang dengan Amirah dan Syahira mengenai rekaan kerana apa yang baik daripada saya tidak semestinya disukai mereka.

“Mujur kami sepakat walaupun berbeza pendapat, namun akhirnya kami bersatu untuk kebaikan syarikat,” katanya.

Berpegang kepada prinsip sentiasa bermuhasabah bagi menilai kekurangan diri, kini jenama Mimpikita sudah dipasarkan di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah. Pada penghujung tahun ini, mereka bakal melancarkan rekaan baru untuk gaya lebih sofistikated dan anggun yang turut dilancarkan di Singapura dan Indonesia.

“Saya berharap pelancaran jenama di kedua-dua negara ini mampu membuka ruang untuk saya memperkenalkan Mimpikita kepada pelanggan di sana. Saya akur industri fesyen begitu luas dan pantas namun jika saya berdiam diri dan tidak merebut peluang ini saya akan rugi.

“Ini kerana kadangkala peluang datang hanya sekali. Apa yang harus saya lakukan bagaimana mengekal serta menjadikannya lebih baik daripada sekarang.

“Jika jenama seperti Guess, Esprit dan Chanel mendapat perhatian di seluruh dunia, tidak mustahil Mimpikita boleh berada seperti mana mereka. Langkah pertama yang saya lakukan adalah memulakannya,” jelas Nurul yang kini menjalinkan kerjasama dengan jenama pakaian lelaki Kmeja dan RekaKita iaitu syarikat hiasan dalaman.

Pada akhir perbualan, besar harapan wanita ini untuk melihat lebih ramai anak muda menceburi bidang perniagaan. Walaupun sudah ramai yang berani namun peratusannya masih kecil dibandingkan ke-upayaan wanita itu sendiri.

“Saya melihat wanita lebih berani menanggung risiko dan berusaha keras untuk berjaya. Walaupun ramai yang kreatif dan berbakat, mereka lebih selesa makan gaji. Mungkin kerana wanita berasakan pekerjaan itu lebih mudah apabila berkeluarga kelak,” katanya yang mengharapkan wanita muda terutama Melayu menyahut cabaran ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: