Friday, November 25, 2011

Lagu Terbaik AIM 18 milik lagu ‘Sedetik Lebih’

Anuar Zain

Lagu Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain hasil ciptaan Edry Abdul Halim telah diumumkan sebagai pemenang bagi Anugerah Lagu Terbaik menggantikan lagu Penakut nyanyian dan ciptaan Yuna bagi edisi ke-18 Anugerah Industri Muzik (AIM).

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM 18 dari Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim memaklumkan bahawa disebabkan oleh salahtafsir dalam kriteria anugerah oleh Ernst & Young (juruaudit luar rasmi bagi proses penghakiman AIM 18), pemenang Anugerah Lagu Terbaik telah silap diumumkan dan dianugerahkan semasa rancangan anugerah AIM 18 pada 12 November 2011 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Beliau berkata bahawa langkah-langkah pemulihan telah diambil oleh RIM dengan serta-merta apabila kesilapan yang tidak disengajakan dikenalpasti dan menyuarakan penghargaan ikhlas RIM kepada semua pihak yang terlibat kerana memberikan kerjasama dan bantuan penuh untuk memastikan integriti anugerah AIM dapat dipelihara dengan memberi tumpuan kepada objektif-objektif AIM iaitu memberi penghormatan kepada bakat-bakat tanahair dan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada artis-artis, pemuzik-pemuzik, komposer-komposer, penyusun-penyusun, pengeluar-pengeluar rekod dan semua pihak yang terlibat di dalam industri muzik Malaysia.

“Kami ingin menekankan bahawa pembetulan anugerah ini tidak bermaksud untuk menafikan pencapaian cemerlang Yuna setakat ini dan sebagai persatuan industri rakaman kolektif Malaysia, RIM amat berbangga dengan pencapaian beliau setakat ini sebagai seorang artis dan pencipta lagu Malaysia dan semestinya akan terus menyokong beliau serta semua artis dalam industri muzik. Pengiktirafan sepenuhnya juga harus diberikan kepada ikon-ikon muzik Malaysia kami, Anuar Zain dan Edry Abdul Halim untuk kemenangan lagu Sedetik Lebih sebagai Lagu Terbaik.”

Sementara itu, rakan kongsi Ernst & Young, Ahmad Zahirudin bin Abdul Rahim berkata, “Amatlah dikesali, disebabkan oleh salahtafsir dalam kriteria anugerah, pemenang bagi Lagu Terbaik yang diumumkan dalam acara AIM 18 yang diadakan pada 12 November 2011 adalah tidak betul.

“Lagu Penakut oleh Yuna, telah silap ditentukan sebagai pemenang bagi kategori Lagu Terbaik berdasarkan markah tertinggi yang diberikan oleh hakim-hakim bagi 20 buah lagu yang terdiri daripada 5 calon tertinggi bagi anugerah sub-kategori Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Etnik Terbaik dan Lagu Nasyid Terbaik.

“Mengikut kriteria yang ditetapkan oleh RIM, pemenang Lagu Terbaik mestilah merupakan salah satu pemenang bagi empat anugerah sub-kategori tersebut. 2

“Atas dasar tersebut, pemenang Lagu Terbaik AIM 18 sepatutnya adalah lagu Sedetik Lebih oleh Anuar Zain. Kami ingin merekodkan permohonan maaf ikhlas atas sebarang kesulitan yang dialami.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: