Friday, November 25, 2011

Kuasa rap Pitbull



ARMANDO CHRISTIAN PEREZ, 30, dibesarkan oleh ibunya di Miami, Florida, Amerika Syarikat selepas ibu dan bapanya bercerai ketika dia masih kecil. Tuah tidak menyebelahinya setelah dihalau keluar dari rumah oleh ibunya akibat terlibat dengan pengedaran dadah, sebelum akhirnya terpaksa menumpang bersama keluarga Roswell di daerah Georgia.

Dalam pada meniti hidup yang terumbang-ambing dan mencari identiti diri, jejaka yang menjenamakan dirinya sebagai Pitbull itu merelakan dirinya disalut pengaruh rapper seperti Nas, Notorious B.I.G dan Big Pun.

Setelah berjaya menamatkan persekolahannya di Sekolah Tinggi Coral Park, dia memutuskan untuk mengakhiri zaman ilmiah. Sebaliknya itu menjadi titik permulaan dunia baharunya iaitui rapping.

Sebagai menghargai peminat begitu jua tempat asalnya, kata Pitbull: "Tanpa Miami, tiadalah Pitbull, dan tanpa peminat juga tiada Pitbull, saya sentiasa menghargai cinta kalian."

Pada tahun 2002, dia telah diundang sebagai rapper jemputan dalam album Lil Jon dan East Side Boyz berjudul Kings of Crunk. Kemudiannya, dia mencipta skor muzik untuk filem 2 Fast 2 Furios bertajuk Oye.

M.I.A.M.I hingga Rebelution

Perjalanan seninya kian mekar bercambah, akhirnya Pitbull berhasil menerbitkan sebuah album debut M.I.A.M.I (akronim Money Is a Major Issue) pada tahun 2004 di bawah syarikat rakaman TYT Records.




Mujur baginya memiliki nama-nama hebat antaranya Fat Joe, Tricky Daddy dan Lil Jon untuk berkolaborasi sehingga meletakkan album itu di tangga 14 carta Billboard Hot 200 yang kebanyakannya dibantu oleh single Culo dan Toma.

Mengikut jejak langkah kejayaan M.I.A.M.I setelah dua tahun dilancarkan, Pitbull muncul pula bersama album El Mariel yang merujuk kepada sebuah bot yang diguna untuk mengangkut pendatang dari Cuba ke Florida dalam filem Scarface.

Dia mendedikasikan album itu khusus buat bapanya yang meninggal pada bulan Mei tahun yang sama. Menerusi projek itu, Pitbull mendaki tangga nombor dua Billboard Hot Rap Albums dan juara carta Independent. Menerusi carta Billboard Hot 200, dia menduduki tangga ke-17.

"Saya sentiasa memegang kata-kata bapa saya biarpun kami tidak sehaluan. Nasihatnya pada saya, duit yang datang dengan mudah akan hilang dengan mudah," ceritanya yang diajar oleh bapanya yang sering mengambil inspirasi daripada puisi José Martí.

The Boatlift muncul pada tahun 2007. Walaupun memiliki sumbangan vokal daripada penyanyi hebat seperti Trina, Jim Jones dan Llyod, album itu gagal berada di tangga 20 terbaik carta Billboard Hot 200.

Sekadar di carta 50 terbaik dan hanya 22,203 salinan album terjual pada minggu sulung pelancaran dan setelah minggu ketiga Pitbull menjunam ke carta 134.

Bangkit semula menerusi album Rebelution, dua daripada singlenya, I Know You Want Me (Calle Ocho) dan Hotel Room Service menduduki carta 10 teratas Billboard Hot 200. Lagu Blanco pula dijadikan runut bunyi filem Fast and Furious.


MARC ANTHONY (kiri) juga tidak terlepas berganding dengan Pitbull yang diakui mempunyai kredibiliti sendiri sebagai seorang rapper.


Tahun lalu juga, Pitbull akhirnya mengeluarkan sebuah album berbahasa Sepanyol berjudul Armando dan single Bon Bon menduduki carta lima teratas Latin Billboard.

Planet Pit

Sementara itu, pada bulan Jun lalu sebuah album berbahasa Inggeris berjudul Planet Pit telah dilancarkan.

"Bukan bermaksud saya raja di bumi ini tapi saya rasakan saya sedang membina planet saya sendiri sekarang," katanya berkenaan judul album keenamnya.

Dalam album itu, Pitbull berkolaborasi dengan T-Pain menerusi single pertamanya, Hey Baby (Drop It To The Floor). Turut berkolaborasi dalam album itu ialah Jennifer Lopez dalam lagu On The Floor.

Pada bulan Mac pula, single keduanya Give Me Everything kolaborasi bersama Ne-Yo, Afrojack dan Nayer menggungguli carta Billboard Hot 100 tiga bulan kemudiannya.

"Saya telah mencuri perhatian ramai pendengar sama ada dalam lagu saya sendiri mahupun kemunculan dalam karya orang lain.

"Sejak daripada single, I Know You Want Me (Calle Ocho) lagu saya sudah menjelajah seluruh dunia dan saya lihat impak yang global iaitu menyatukan semua orang melalui muzik saya.

"Jadi sekarang saya tetapkan matlamat lebih tinggi, yakni menjadikan sebuah planet dinamakan Planet Pit. Sudah tiba masanya untuk saya digelar Mr. Worldwide," ujarnya dalam satu kenyataan akhbar luar negara.

Tambahnya, evolusi muzik dalam dirinya mempengaruhi penciptaan Planet Pit.


PITBULL berkolaborasi dengan Jennifer Lopez (kiri) untuk lagu On The Floor.


"Saya membesar dalam muzik salsa, merengue, bachata, freestyle dan datang pula hip hop kepada saya. Saya campurkan kesemuanya dalam satu balang dan jadikan ia paella dalam bahasa Sepanyol," katanya yang mencipta adunan dalam album itu.

Antara lagu lain yang turut dimuatkan dalam album ini ialah Rain Over Me (duet bersama Marc Anthony), Where Do We Go (Jamie Foxx), International Love (Chris Brown) dan Castles Made of Sand (Kelly Rowland).

Krisis Lindsay Lohan

Ditanya dengan siapa dia benar-benar ingin berkolaborasi dalam album, jawabnya hanya dengan orang yang benar-benar ingin menggegar dunia bersamanya.

"Tapi saya amat berharap untuk bekerjasama dengan Celia Cruz, malangnya dia telah pergi dulu," ujarnya yang selesa bekerjasama dengan Jay Z.

Single popularnya Give Me Everything bagaimanapun mencetuskan kontroversi apabila ada antara liriknya terkandung ayat yang mengkritik cara hidup bintang bermasalah, Lindsay Lohan.

Menurut laporan akhbar luar negara, Lindsay dikatakan memfailkan saman terhadap Pitbull atas dakwaan menjejaskan reputasi dan nama baiknya melalui lirik lagu berbunyi 'I got it locked up like Lindsay Lohan'.

Bagaimanapun, Pitbull membuat saman balas terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon Mean Girl itu.

Pitbull dalam masa yang sama memohon maaf atas lirik lagu itu yang dikatakan tidak bermaksud untuk menjejaskan reputasi mana-mana artis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: