Thursday, November 17, 2011

KRU Studios mahu terbit 50 filem


NORMAN Abdul Halim (tiga dari kiri) bersama Raymond Lee (empat dari kanan) bersama para pelakon dan tenaga kerja Cinta Kura-Kura pada sidang akhbar di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


KETIKA ini, KRU Studios adalah syarikat produksi tempatan yang paling aktif menerbitkan filem cereka selepas MIG Productions milik David Teo yang telah menghasilkan lebih 60 filem sejak 10 tahun yang lalu.

KRU Studios yang dimiliki kumpulan trio KRU pula misalnya bercadang untuk menerbitkan sekurang-kurangnya 50 buah filem cereka dan animasi dalam masa tiga tahun bagi memenuhi permintaan dalam industri perfileman tanah air pada masa akan datang.

Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, pihaknya bukan sahaja merancang mahu menerbitkan filem cereka dan animasi Melayu tetapi ia juga meliputi pelbagai bahasa seperti Inggeris, Cina dan Tamil untuk pasaran di luar negara.

"Dalam perancangan itu, kami mahu menerbitkan sekurang-kurangnya sebuah filem cereka sebulan di mana buat masa ini tumpuan lebih kepada filem-filem cereka dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

"KRU Studios antaranya akan menokok dua kali ganda tenaga kerja kami termasuklah animator dan tenaga kerja lain yang kini hampir 100 orang. Buat masa ini, kami cuma ada 12 pakar CGI (imej janaan komputer) dan jumlah itu akan ditambah pada masa depan," ujarnya pada sidang akhbar di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Majlis itu sempena memorandum persefahaman kerjasama antara KRU Studios dengan Technicolor Asia dari Bangkok, Thailand yang sinonim dalam penerbitan audio dan visual penerbitan filem bertaraf antarabangsa.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Jualan Rantau Asia Tenggara Kumpulan Penghantaran Digital Technicolor, Raymond Lee, di mana KRU Studios turut mengumumkan filem ke-10 terbitannya berjudul Cinta Kura-Kura arahan Nizam Zakaria.

Menurut Norman, untuk mencapai matlamat menerbitkan 50 filem dalam masa tiga tahun dia tidak mahu menjelaskan bajet yang telah dan akan diperuntukkan oleh KRU Studios memandangkan kos setiap filem tidak sama kerana ia berdasarkan keperluan semasa.

"Lazimnya kalau filem cereka kosnya antara RM1.5 juta. Bagi filem yang bertaraf antarabangsa dan menggunakan banyak teknik CGI atau pelakon dari luar negara ia mungkin boleh mencecah lebih RM10 juta," katanya.

Dalam pada itu kata Norman, KRU Studios hampir tidak mahu filem terbitan mereka berjudul Hikayat Merong Mahawangsa dipertandingkan dalam Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 20 November ini.

Alasannya kata Norman,dia bimbang jika menang ia akan dipertikaikan oleh pihak lain.

"Kami tidak mahu jadi macam tahun lepas apabila filem KRU Studios berjudul Magika diangkat sebagai Filem Terbaik di FFM23. Tahun ini, Hikayat Merong Mahawangsa mendapat 14 pencalonan. Saya bimbang kalau filem ini menang ia juga akan menerima nasib seperti Magika," ujarnya.

Hikayat Merong Mahawangsa arahan adiknya, Yusry Abdul Halim antaranya dicalonkan bagi kategori Pengarah Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Kostum Terbaik, Penata Bunyi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Tambah Norman lagi, kali ini dia akur dan enggan menghiraukan apa orang lain hendak kata meskipun Hikayat Merong Mahawangsa mendapat pencalonan paling banyak diikuti filem arahan Syamsul Yusof berjudul Khurafat dan KL Gangster terbitan Skop Productions yang mendapat 16 pencalonan dalam festival tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: