Monday, November 14, 2011

Koleksi high street ciptaan Versace



JENAMA Versace amat sinonim dengan nilai harga jualan yang tinggi dan kadangkala tidak munasabah untuk dimiliki penggemar fesyen seluruh dunia. Busana-busana Versace sudah tentunya menjadi pilihan selebriti bertaraf jutawan atau golongan berada namun, bagi pelanggan butik high street mereka pasti berfikir banyak kali untuk membeli sehelai dres jenama mewah itu.

Fesyen high street merujuk kepada fesyen untuk golongan kelas pertengahan apabila harga pakaian yang ditawarkan walaupun agak mahal namun, masih boleh dilihat dan dipakai di luar. Antara kelompok jenama high street termasuklah Zara, Topman dan Primark.

Namun, Versace cuba memberi angin baru kepada jenamanya untuk masuk ke pasaran high street tanpa mengurangkan sedikit pun DNA signatur rekaannya. Donatella Versace menggunakan setiap inci tubuhnya untuk melampiaskan glamor, tetapi masih meletakkan nama Versace pada kelasnya yang tersendiri.

Koleksi terhad di H&M

Pada pelancaran koleksi edisi terhadnya untuk butik Hennes & Mauritz (H&M) minggu lalu, Versace memperkenalkan rekaan ikonik dres disko metalik, jaket bomber kulit berstud serta dres cetakan haiwan, tropikal dan matahari terbenam untuk wanita.

Tidak ketinggalan sut merah jambu, tuksedo berstud dengan seluar pendek serta kemeja T second berskirt untuk lelaki.

Ditemubual media di belakang pentas, Versace memberitahu, koleksi terbaru itu akan menjadi penawar kepada ekonomi yang sedang merudum.


VERSACE memilih untuk menggunakan fabrik bercorak celoreng hitam putih untuk sang jejaka yang ingin tampil berbeza.


“Kami telah melakukan kesilapan ketika ekonomi merudum sebelum ini dan tidak akan melakukan kesilapan sama. Ini adalah koleksi yang penuh kegembiraan,” katanya pada majlis pelancaran di bangunan besar dan bersejarah Pier 57 di Manhattan itu.

Versace memberitahu, gaya yang mempersonakan adalah gaya yang ingin diperkenalkan kepada pelanggan-pelanggan barunya iaitu mereka yang tahu bagaimana bereksperimen dan berani berfesyen.

“Saya faham mengenai pelanggan-pelanggan hari ini. Saya tahu apa yang mereka mahukan. Mereka mengikuti perkembangan muzik dan fesyen. Bagi generasi baru, ia seperti budaya pop,” katanya.

Versace turut memberi perhatian penuh kepada golongan itu dan menjadikannya sebagai inspirasi.

“Kreativiti datang daripada kuantiti dan kualiti maklumat. Saya mahu tahu semuanya politik, muzik dan filem. Hanya dengan cara ini anda dapat tampil dengan setiap koleksi baru,” katanya.

Kini skarf cetakan hidupan liar yang suatu ketika dahulu dijual pada harga yang sangat mahal telah dirombak semula dan dijual pada harga yang jauh lebih rendah.

Kebanyakan gayanya diperbaharui pada harga yang jauh lebih rendah serta tidak melebihi AS$299 (RM942), mengubah interpretasi dan wajah signatur rumah fesyen itu berbanding koleksi pertamanya oleh mendiang Gianni Versace sejak 14 tahun lalu.

Versace berkolaborasi dengan H&M untuk koleksi edisi terhad yang mula dijual di butik-butik H&M bermula 19 November ini.

H&M yang merupakan rangkaian butik Sweden sering tampil dengan koleksi rekaan hebat yang akan habis dijual dalam masa beberapa minit sahaja.

Sebanyak 43 rekaan ditampilkan kali ini, merangkumi rekaan untuk wanita dan lelaki, aksesori dan hiasan rumah. Kebanyakannya menampilkan signatur klasik Versace seperti motif Greco Roman, pohon kelapa sawit Miami, baju kulit berstud, warna-warna tropikal dan sebagainya.


DRES paras lutut dengan cetakan hati tetapi diperinci dengan juraian halus menambahkan elemen feminin.


Kebangkitan semula Versace

Label Versace telah jauh meninggalkan radar fesyen sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan jarang dilihat dipakai di karpet merah apabila lensa kamera lebih memfokuskan kepada kisah pemulihan dadah Versace berbanding tawaran fesyennya.

Tetapi nampaknya Versace telah bangun semula dan bersedia untuk menuju era kegemilangannya kembali.

“Ini adalah momen Versace,” katanya.

Justeru, para penggemar fesyen yang lahir sebelum zaman kegemilangan Versace dijangka menjadi golongan pelanggan terbaru yang bakal beratur di butik H&M Sabtu ini untuk mendapatkan salah satu koleksi jenama legenda itu.

“Saya mahukan sehelai baju Versace. Kamu tidak akan faham betapa terujanya saya,” kata seorang blogger fesyen Toronto, Jay Strut, 20.

Blogger itu memberitahu, dia pernah meninjau laman web eBay untuk membeli koleksi vintaj Versace tetapi sukar menemukannya dan apabila ia ada, harganya terlampau mahal. Sebuah kerusi Versace yang ditemuinya di laman web berkenaan baru-baru ini dijual pada harga AS$27,000 (RM84,847).

“Saya obses! Cetakan dan perincian stud memberi impak dan kelihatan hebat,” katanya.

Label itu begitu dikenali dengan rekaan-rekaan hebat dan seksi, dres metalik dan cetakan hidupan liar yang penuh menggoda.

Koleksi terbaru ini dihasilkan menggunakan fabrik mahal dan dipakai di karpet merah, tetapi kebimbangan muncul apabila harganya jauh lebih rendah. Adakah kualitinya juga turut sama menjunam?

Eksklusif

Tetapi Versace membuktikan pandangan sinikal itu salah. Koleksi kali ini tetap kelihatan menawan dan eksklusif. Kualiti pembuatan dan gayanya jelas berbeza berbanding jenama lain yang ditemui di butik-butik high street.

Dres metalik yang hampir sama mempunyai suntikan Versace tetapi dijual lebih murah.

Menurut Versace, selepas koleksi itu dipersembahkan, dia mempunyai keinginan untuk melihat selebriti Lady Gaga menyarung rekaan busananya.

“Sudah tentu, saya sukakan Lady Gaga dan Nicki Minaj. Mereka tidak takut untuk tampil berani. Sudah lama saya tidak melihat seseorang yang berani berfesyen tanpa bimbang dengan pandangan masyarakat.

“Anda masih perlu mendengar pandangan orang lain tetapi, tidak 100 peratus,” katanya.

Pada petang pelancaran itu, Kesha menyarungkan jumpsuit cetakan harimau bintang, manakala Nicki Minaj memilih persalinan bertemakan hutan yang digayakan bersama rambut palsu alfro hijau dan dedaunan bagi mencipta elemen tropikal.

Dalam pada itu, selebriti lain yang hadir dilihat berjalan di karpet merah antaranya Jessica Alba, Emma Roberts, Chace Crawford, Blake Lively, Abbie Cornish, Selma Blair dan Chloe Moretz.

Supermodel Linda Evangelista dan Helena Christensen termasuk pereka fesyen Alexander Wang, Sophie Theallet, Joseph Altuzarra dan Eddie Borgo turut hadir memberikan sokongan mereka.

Namun, kehadiran Nicki Minaj dan Prince telah mencipta aura tersendiri ketika memberikan persembahan mereka pada petang itu.

Menurut model, pereka fesyen dan blogger, Coco Rocha yang sering dilihat menggayakan busana jenama itu, Versace adalah salah satu jenama kegemarannya untuk melakukan persembahan.

“Donatella mahu kami berjalan dengan yakin dan menjadi model terbaik. Dia sukakan hiburan semasa menyaksikan model berjalan di pentas peragaan,” katanya.


PRINCE memberi sokongan buat Donatella untuk menjengah pasaran high street.


Jessica Alba juga mempunyai memori bekerja dengan ikonik berambut perang itu.

“Dia adalah seorang legenda,” ujar Alba.

Tambahnya, dia memberitahu Donatella bahawa pereka fesyen legenda itu tidak akan mengerti betapa ramainya anak gadis yang melompat kegembiraan selepas Donatella memperkenalkan koleksi yang mampu dimiliki.

Menurut selebriti Blake Lively, dia merupakan peminat jenama itu kerana baginya, setiap dres yang dihasilkan sering mencipta lekuk yang sesuai untuk wanita.

“Dia (Versace) juga sering tampil dengan rekaan yang tidak dijangka dari segi rona dan corak serta perincian. Ia sering mengejutkan dan saya sukakannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: