Tuesday, November 8, 2011

Khidmat tempahan kaca mata mewah


(Dari kiri) Murphy Chan, Alistair Burroughs dan wakil TD Tom Davies, dari London, Nathan Mckinley.


MENEMPAH bingkai cermin mata atau kaca mata hitam yang direka dan dirangka khusus untuk anda adalah seperti mengubah suai wajah diri sendiri.

Bukan saja rekaan kaca mata itu mengikut cita rasa sendiri lebih penting ia eksklusif untuk anda seorang saja.

Ia juga sama seperti menempah sut atau baju yang anda sukai dan sesuai dengan diri anda sahaja.

Bagi yang sukakan kelainan dan mahukan sesuatu yang berbeza untuk kaca mata yang dipakai, perkhidmatan tempahan kaca mata mewah yang direka khusus mengikut ukuran pemakai sebagaimana ditawarkan jenama TD Tom Davies Bespoke, adalah jawapan terbaik.

Menariknya, pengguna cermin mata tempatan kini berpeluang merasai sentuhan jenama terkenal dari British itu apabila pakar optometri, Eyecon Optometry Network (Eyecon) telah dilantik sebagai pengedar tunggal di sini.

Pelantikan itu membuatkan Malaysia negara pertama di Asia yang memperkenalkan perkhidmatan tempahan khas kaca mata jenama tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Eyecon, Murphy Chan berkata, kalau pengguna boleh berbelanja beribu ringgit untuk mereka bentuk dan menempah pakaian mengapa tidak boleh berbelanja lebih bagi menempah cermin mata atau kaca hitam yang sesuai untuk diri sendiri.

Katanya, TD Tom Davies ialah jenama kaca mata British yang menawarkan perkhidmatan tempahan khas cermin mata dan kaca mata hitam yang pertama di dunia.

Ini kerana ia mempunyai pakar optometri terlatih untuk mencipta bingkai kaca mata menggunakan bahan seperti asetat, titanium dan tanduk kerbau.

''Bagi kebanyakan orang, kaca mata menyerlahkan raut wajah mereka dan melengkapkan kehidupan harian mereka.

"Jadi sudah tentu mereka memerlukan cermin yang betul-betul sepadan dan sesuai serta mendahului trend bagi menyerlahkan gaya peribadi.

''Ketika tempahan, biasanya pelanggan diberi kebebasan untuk memilih bingkai yang dikehendaki. Kemudian pakar optometri akan mengambil siri ukuran, pilihan warna, bentuk dan bahan yang ingin digunakan lalu memasukkan semua input ke dalam aplikasi reka bentuk dalam talian,'' kata Murphy yang ditemui pada majlis pelancaran TD Tom Davies Bespoke.

Turut hadir Pengarah Jualan TD Tom Davies UK, Alistair Burroughs , serta selebriti tanah air Hansen Lee dan Bernie Chan.

Murphy berkata, selepas itu pereka TD Tom Davies di London akan menyediakan portfolio tiga reka bentuk yang memberikan idea realistik rupa bentuk bingkai tersebut pada wajah pelanggan.

Apabila pilihan telah dibuat, bingkai akan dibuat dengan tangan menggunakan kombinasi teknik tradisional dan jentera moden.

"Salah satu ciri yang paling disukai pelanggan ialah ukiran nama mereka menggunakan laser secara halus di bahagian dalam salah satu lengan bingkai sebagai sentuhan akhir.

"Biasanya keseluruhan proses daripada peringkat rundingan sehingga penghantaran mengambil masa kira-kira tiga minggu," katanya.

Selain itu tambah Murphy, Eyecon yang mempunyai 12 pusat optometri di seluruh negara turut menyediakan khidmat ujian penglihatan dan kaca mata percuma kepada kanak-kanak kurang bernasib baik menerusi kempen Tanggungjawab Korporat Penglihatan Jelas, Prestasi Cemerlang (PJPC).f

Sempena dengan pelancaran TD Tom Davies Bespoke, Eyecon mengumumkan kesediaannya menaja kaca mata dan khidmat penjagaan mata untuk seorang kanak-kanak kurang bernasib baik bagi setiap pembelian produk TD Tom Davies daripada rangkaian tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: